Wednesday, May 26, 2010

Bayang-bayang nabi






Friday, May 21, 2010

Bersabarlah, Cahaya Jiwaku

Lewat kirmizi mewarnai latar langit, langkah daku atur menuju ke Balai Islam untuk berjemaah Maghrib sebagaimana tuntutan Baginda Rasulullah. Usai solat, daku gunakan peluang untuk berehat seketika sambil membelek nota-nota Pengajian Melayu. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Sekuntum mesej daripada insan yang mencicipi ruang hati. Muram dan sedih bunyi pesanan ringkasnya, membuatkan hati sedikit bergolak ketenangannya. Mengenai hubungannya dengan suami yang kini hambar serta bungkam. Dari kejauhan, hanya ucapan sabar dan tabah mampu daku ukirkan buat hati nan merah yang kian pudar warnanya.

“Sabarlah cahaya jiwaku, sesungguhnya Allah menyanyangi insan-insan yang sabar”.

Seusai solat, daku ingin luangkan secebis masa, cuba meluahkan pendapat buat cahaya jiwaku yang kecamuk fikirnya saat ini. Namun, perut mula berketuk kompang, minta diisi. Sekarang, jam 11.00 barulah mampu daku luahkan fikiran buatnya.

Cahaya jiwaku. Usiamu 25 tahun, dan suamimu 30 tahun. Daku memang berusia jauh lebih muda. Namun, sebagai persediaan menempuhi alam sebagaimana yang telah dikau alami, maka telah daku mula persiapkan segala pengetahuan mulai sekarang. Mengenai masalah yang mengganggu pelabuhan hatimu. Ini mungkin jawapan yang bisa menaut kembali kapal yang hanyut dipukul badai.

Cahaya jiwaku. Usia 30 tahun merupakan persimpangan dilema buat setiap insan yang bergelar lelaki biasa. Arus pada usia ini sungguh gagah, menyebabkan lelaki terkuat pun akan kelemasan dan tersungkur rebah. Pada takah ini. Suara suamimu akan sunyi dari pendengaranmu. Bukan kerana dirimu yang berubah wajah, mahupun susuk yang makin “indah”. Namun, bicara madahnya bagaikan patah, puisinya sudah tidak mampu untuk bernada. Bukan dia tidak cinta, namun segalanya merupakan suatu yang tiada bahasa untuk mendefinisikannya. Bagaikan satu fitrah yang tidak terelak. Daku akan alaminya juga. Namun, sebagai persiapan, telah daku ukirkan puisi-puisi indah mulai sekarang, agar ketika suaraku hambar dan sepi, puisiku masih mampu merungkai rindu seorang permaisuri.

Kata pujangga, dilema 40: saat malamnya daku rindukan mentari yang gemilang, namun, saat siangnya, daku rindukan bintang yang bertabur. Kenapa? Aku sendiri tidak mengerti. Akukah aku ini?

Cahaya jiwaku. Bersabarlah dengan sepenuh keimanan. Jika dahulu sering dikau dan dia solat berjemaah, maka kini tambahkan kepada qiamullail bersama. Pada saat 1/3 malam, rajutlah doa kepada Allah agar dikurniakan rahmatNya buat perhubungan ini. Sesungguhnya, hubungan yang dirahmati akan berbunga mekar dengan kebahagiaan dan dijauhi hati dari tersemai benih-benih prasangka serta curiga. Daku juga doakan kesabaran untuk dirimu, dan juga suamimu.

Cahaya jiwaku. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Menurut buku yang daku hayati, pada saat ini, bicara bukanlah medium yang terbaik. Lembarkan buat suamimu warkah cinta yang berbaur harapan dan kemaafan. Katakan padanya:

Suamiku,

Ini pesan dari teman wanitamu,

Yang kemudian menjadi isterimu,

Dan kini ibu kepada anak perempuanmu.

Kini daku lihat dikau banyak membungkam,

Kata dan madahmu hilang ditelan angan

Daku rindukan sebentuk penghargaan

Bukan emas mahupun intan

Namun cukuplah sekadar gurauan, dan pelukan.

Daku masih isterimu yang dahulu,

Sebagaimana perkenalan,

Setelah berkelana diriku tetap begini,

Mungkin susukku tidak seanggun dulu,

Kerana bukan sedikit urat yang putus

bukan sedikit luka dan parut,

saat zuriat kita menjengah dunia.

Suamiku,

Cintaku padamu tidak pernah berkurang,

Bahkan sentiasa bertambah,

Entah dari mana bermulanya lautan cinta ini,

Sedar-sedar,

Daku sudah berlabuh pada syurga dunia.

Suamiku,

Andai ada yang tersilap maka maafkanlah daku,

Jangan hilangkan cintamu padaku,

Kerana hatiku sudah dikau ukir dengan kasihmu.

Pada Allah daku rafakkan doa serta harapan,

Agar cinta kita kembali berbahagia,

Gagahilah dirimu duhai perwiraku,

Tempuhilah arus dengan iman dan taqwa,

Daku akan sentiasa bersamamu,

Dengan tega dan lantang,

“Maralah suamiku, daku sentiasa ada di sisimu”.

#pedoman buat Cahaya Jiwaku yang kini tenang jiwanya tergugat pada ombak yang membadai pantai hatinya. Moga Allah kurniakan ketabahan buat Cahaya Jiwaku.

Thursday, May 20, 2010

Takziah Saudaraku!


Baru semalam sekuntum doa daku tagihkan buat Maha Pencipta. Namun, kerana Dia yang Maha Mengerti, maka hari ini telah selamat pulanglah Puan Zainap ke pangkuan Illahi. Bergembiralah roh beliau kerana terlepaslah dia hari ini daripada penjara dunia. Moga rohnya dirahmati Allah subhanahuataala. Buat saudaraku, tabahkanlah hatimu menerima keputusan Illahi. Sesungguhnya ada suatu hikmah yang tidak mungkin terjangkau dek akal kita.

al-Fatihah...




Wednesday, May 19, 2010

Sekuntum Doa Buat Cahaya Hati Sahabatku

Ya Allah,
entah yang ke berapa kali tangan ini menadah pemberianMu,
namun,
hari ini doa ini bukanlah untuk diriku,
namun daku tujukan buat saudaraku yang jauh di mata,
tentang ibunya yang kini tenat
menyarung sakaratul maut,
membina jambatan menuju wilayahMu.

Ya Allah,
andai kata hidupnya merupakan suatu keberkatan,
maka panjangkanlah umurnya,
berikanlah dia kesempatan mencari cintaMu
dalam menyemai rindu cahaya matanya.

Namun,
kiranya hidupnya yang hadapan merupakan ujian iman,
maka permudahkanlah laluannya menghadapmu,
kurniakan kesabaran buat cahaya matanya,
redhailah hidupnya di atas muka bumi Mu Ya Allah.

Ya Allah,
peliharalah akan Zainap Binti Zaib,
sembuhkanlah dia sekiranya dunia ini merupakan jalannya menuju syurga,
sembuhkanlah dia sekiranya dunia merupakan rajut cintanya buatMu.
sembuhkanlah diaYa Allah.

Amin, ya robbal alamin.

#doa ini ditujukan buat saudara saya. kini bondanya sedang bertarung nyawa. moga Allah kurniakan rahmat buatnya. amin

Tuesday, May 18, 2010

Cinta Ini Dari Bagaimana Untuk Bila?



Mencari sahabat sejati. Bukan senang menyelongkar jarum bagi mencari jerami. Apatah lagi membelek deraian kaca demi mencari sebentuk intan. Sungguh payah. Namun, saat perjuangan itu menemukan hasilnya, hati berasa puas dan jiwa dibaluti seribu kebanggaan.

Perjalanan yang terkadang indah, dicatur dengan sebuah keperitan, menjadikan insan lebih dewasa. Marah dan rajuknya membujuk sebuah kenangan yang membantu jiwa merandai kehidupan. Seringkali wajah mentari yang kirmizi menjadi tempat hati memperduakan perasaan. Membahagikan cinta kepada Allah, dan kasih sesama insan. Sebuah silaturrahim kian wujud menuntut sebuah penghormatan dan mesti dijaga dengan sebaik mungkin. Sungguhpun akan berlabuh jua tirau kekacauan dan curiga, ikatlah ia kembali dengan nada-nada kepercayaan. Jangan biarkan jambangan silaturrahim berderai sebelum harumnya menusuk kalbu dan pengalaman.

Kata orang, hidup ini sunyi tanpa bisikan dari insan bergelar teman. Tawa dan riangnya umpama warna yang melenterai segenap ruang kehidupan. Nasihat dan tegurannya umpama peringatan saat pemburu kehancuran menarik busur ingin melepaskan panah kekejaman, menikam, merobek, jiwa dan iman. Matanya yang redup sayu menggambarkan beribu kenangan yang tidak mungkin tersulam pada madah mahupun pujangga. Masih segar dalam ingatan insan ini. Bagaikan baru semalam ingatan itu dilontarkan buat daku yang hampir lemas dalam lautan kekecewaan. Peringatan lembut yang menaut kembali cintaku pada perjuangan.

“Entah dari mana bermulanya cinta yang sebesar ini. Tanpa disedari, daku sudah berada di syurga dunia”. Bait kata madah terindah dari sebuah jiwa lembut, Sang Bidadari Dari Timur. Anggaplah ia suatu gapaian yang mesti dicapai. Dalam persahabatan sememangnya tidak ‘kan mungkin ternilai sejauh mana wujudnya cinta yang bertarikh mahupun masa yang tercatat. Semuanya kabur dalam catatan, namun segar dalam ingatan. Ungkit-mengungkit mampu memadamkan obor kesetiaan dan cintanya kepada dirimu. Janganlah membakar kemarahannya dengan tawa sindirmu, namun sejukkanlah ia dengan zikrullah pengubat jiwa yang utama.

“Mata hatiku, ini sebuah kenangan kita. Jangan biarkan ia berlalu tanpa penghargaan. Jangan biarkan ia pergi tanpa ketenangan”.

Burulah kasihnya dengan sebuah penghargaan. Samada madah berkait seindah lautan bergemerlapan disimbah ketenangan rembulan, mahupun sebuah kenangan daripada barang-barangan. Ucapkanlah, “saya menghargai awak. Terima kasih kerana berlabuh pada jiwa saya, dan terima kasih kerana menjadikan saya watak kecil dalam cerita hidup awak. Terima kasih”. Padanya, dedikasikanlah sebentuk cinta yang terluah pada warkah yang membisu namun bercerita, ataupun pada yang kaku namun menemukan beribu hikayat. Hargailah sahabatmu.

Entah dari mana datangnya buah akal budi ini. Tiba-tiba sebuah cerita sudah hampir ke penghujungnya. Tiba-tiba nada semalam membuatkan hatiku membujuk rindu. Rupanya akal budi ini dari Allah, tetap dariNya, namun melalui sebuah cinta yang terkarya pada sekeping hati yang jauh di mata, membuatkan mataku gembira, jemariku riang menari, melontar sebuah harapan bagi sebuah perhubungan.

“Mata hatiku, tunggulah daku di pelabuhan cintamu. Di sini, daku sedang siagakan diri dan jiwa, demi merangkul iman dan taqwamu, sebagai amanah menuju keredhaan Illahi. Sabarlah mata hatiku. Jarak yang tercipta bukanlah ujian untuk merenggangkan silaturrahim, namun sebagai medan menguji sejauh mana keikhlasanku, sejauh mana kepercayaanmu, pada tasbih cinta yang telah kita untaikan bersama. Marilah mata hatiku, kita rajutkan simpati dan doa kepada Illahi, agar Dia sentiasa meredhai, kerana, hanyasanya Dialah yang tahu, apa yang bermain di akalku, dan berlegar di fikiranmu”.

Thursday, May 13, 2010

Titipan Buat Permata Dunia

Permata Dunia,
Jangan serahkan hatimu kepada insan biasa.
Jangan mati akal kerana cinta,
Jangan buta hati kerana nafsu.

Berbicaralah dengan imanmu,
jangan mudah menyerahkan hatimu kepada insan biasa,
kerana tidak dia mengerti nilai dan harga dirimu.

Permata Dunia,
lelaki yang mencintaimu ialah:
lelaki yang ingin dirimu dipandang tinggi
lelaki yang ingin dirimu menjadi mulia
lelaki yang ingin dirimu bahagia
lelaki yang mengimpikan syurga bersama mu
bukan malam pertama bersamamu!

Dan dia,
mencintaimu sebagai amanah Allah,
bukan sekadar suka-suka
"tidak biasa hidup solo"

Permata Dunia
jagalah dirimu
jagalah imanmu
jagalah malumu
jagalah ketakwaanmu

Allah....

Ini Sebabnya; Ayuhai Mata Hatiku

Sahabat. Berikan daku masa dan ruang. Bukan daku minta suatu berbayar yang perlu kalian tanggung rugiannya. Namun, hanya detik masa yang lalunya adalah melalui jiwa dan jasadku seorang. Berikan daku ruang untuk menguntaikan muhasabah yang lama tempohnya berlalu merentasi ruang angkasa ketakwaan, biarlah daku sendiri yang tentukan. Janganlah menjaga bimbang dan kerisauan di dalam benak akal dan fikirmu. Tahulah daku menjaga diri dan merajut simpati pada Illahi. Tahulah daku memilih akal untuk daku pautkan pada cinta agung yang masih daku tercari-cari. Sahabat, janganlah terlalu mengikat daku. Daku bimbang kelemasan ini mampu merenggut jiwa yang kini pecah dan berderai. Beribu bintang akan terus berkerlipan sungguhpun daku hentikan jasad demi mencantumkan kembali kepingan-kepingan hati yang bertebaran di pelusuk kalbu yang kosong. Sahabatku, sesungguhnya daku pincang dalam langkah yang seringkali dikau katakan berkarisma. Dalam diam daku menyulam seribu kesedihan yang tiada lagu untuk menjadi nadanya, tiada puisi untuk mengungkapnya, dan tiada bait yang mampu menghuraikannya. Sahabatku, jangan memandang daku terlalu tinggi. Sesungguhnya benar bulan itu indah, namun hanyalah dari kejauhan keindahan itu. Saat kaki memulakan langkah pertama menginjak mukanya, barulah kita ketahui bahawasanya ia tandus. Sungguhpun menjadi pujaan pujangga dan puisi, mereka hanya melihat sinarnya sedangkan belum pernah pawananya menyapa pipi yang meratap pada puisi bulan. Sahabatku, daku umpama bulan, dari bumi bulan tampak indah, namun dari bulan, bumilah tanah yang paling mengagumkan. Di bumi ada sungai yang mengalir sejuk, suaranya yang berbisik dibatasi siulan angin yang menyapa lembut dedaunan hijau yang semilir bambu berketuk menari riang. Di bulan suasananya tidak sebegitu. Rupanya dari jauh memang indah. Seringkali cahayanya dikaitkan dengan madah cinta yang sungguh mengasyikkan. Tapi sayang, rupanya itu sinar mentari, hanya terpantul pada muka bulan. Bulan sedih. Seringkali bulat bujur bentuknya menjadi gambaran cantik jelita perawan bumi yang bermain di gigi-gigi air mengalir tenang. Namun, kala mata melihatnya dekat pada rupa, jiwa terkedu, hati hampir membeku. Rupanya rawan pujangga pada bulan adalah kerana mimpi, bukannya kerana pasti. Bulan tidak indah. Anginnya tidak semilir angin yang menyanyi di bumi, di sana manusia tidak boleh bernafas. Di sana, sungai hanyalah suatu angan-angan. Bambu dan senduduk hanyalah khayalan yang jauh meliar membatasi awan yang tidak mungkin ada. Subhanallah. Bulan tidak seindah yang difikirkan. Bulan sungguh cacat. Sahabatku, dengan imanmu dan takwamu jagailah agamaku, amalku, dan bajailah keyakinan yang sedang berputik ini. Daku perlukan secebis masa. Secebis masa yang bayarannya hanya daku yang menanggungnya. Fahamilah daku. Fahamilah daku. Fahamilah daku. Ada luka yang belum terubat, ada parut yang masih tersisa, ada sakit yang masih terasa, ada lemah yang masih menyengat, ada letih yang memerlukan rehat, ada silap yang perlu diperbetulkan, ada perjuangan yang menuntut pengorbanan, ada jiwa yang perlu diubati, ada kalbu yang perlu dicuci, ada iman yang perlu dicari. Berikan daku seuntai masa untuk daku mempercukupkan diri dengan siaga yang lengkap bagi menyertaimu di perbatasan. Kini, saat ini, masa ini, daku baharu mula belajar mengasah pedang, jangan ajak daku berperang kerana belum aku belajar untuk menyarung apatah lagi mengangkat pedang. Secara luarnya mungkin daku tukang besi mencipta sejuta pedang, namun bukan ertinya daku pakar dalam peperangan. Berikan daku masa untuk mempelajari semuanya. Sahabatku, teruskanlah perjuangan. Daku sentiasa menyokong dari belakang sungguhpun sekadar orang suruhan pembawa air. Percayalah, perjuangan kalian merupakan perjuangan mulia. Teruskanlah langkah dan berlarilah untuknya. Daku akan menunggu di garisan penamat dengan segelas air dan secangkir tahniah. Namun, tunggulah saat daku sudah boleh berlari, kita akan sama-sama menuju garis penamat, dan di situ daku bukanlah seorang yang mudah mengaku kalah. Untuk saat itu, daku perlukan masa ini. Persiapan dan siaga perlu daku lengkapkan. Sahabatku, tunggulah hari daku berlari bersamamu. Jangan berani mengelip mata, kerana saat itu daku sudah mendahuluimu sungguhpun hanya setapak dua.


Thursday, May 6, 2010

Kisah Roh Berpisah dengan Jasad

Dalam sebuah hadith daripada Aisyah r.a katanya, "Aku sedang duduk bersila di dalam rumah. Tiba-tiba Rasulullah s.a.w. datang dan masuk sambil memberi salam kepadaku. Aku segera bangun kerana menghormati dan memuliakannya sebagaimana kebiasaanku di waktu baginda masuk ke dalam rumah. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Duduklah di tempat duduk, tidak usahlah berdiri, wahai Ummul Mukminin." Maka Rasulullah s.a.w. duduk sambil meletakkan kepalanya di pangkuanku, lalu baginda berbaring dan tertidur.

Maka aku hilangkan uban pada janggutnya, dan aku dapat 19 rambut yang sudah putih. Maka terfikirlah dalam hatiku dan aku berkata, "Sesungguhnya
baginda akan meninggalkan dunia ini sebelum aku sehingga tetaplah satu umat yang ditinggalkan olehnya nabinya." Maka aku menangis sehingga mengalir air mataku jatuh menitis pada wajah baginda. Baginda s.a.w. terbangun dari tidurnya seraya bertanya, "Apakah sebabnya sehingga engkau menangis wahai Ummul Mukminin?" Masa aku ceritakan kisah tadi kepadanya, lalu Rasulullah s.a.w. bertanya, "Keadaan bagaimanakah yang hebat bagi mayat?" Kataku, "Tunjukkan wahai Rasulullah!"

Rasulullah s.a.w. berkata, "Engkaulah katakan!," Jawab Aisyah r.a : "Tidak ada keadaan lebih hebat bagi mayat ketika keluarnya mayat dari rumahnya di mana anak-anaknya sama-sama bersedih hati di belakangnya. Mereka sama-sama berkata, "Aduhai ayah, aduhai ibu! Ayahnya pula mengatakan: "Aduhai anak!" Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Itu juga termasuk hebat. Maka, manakah lagi yang lebih hebat daripada itu?" Jawab Aisyah r.a : "Tidak ada hal yang lebih hebat daripada mayat ketika ia diletakkan ke dalam liang lahad dan ditimbuni tanah ke atasnya. Kaum kerabat semuanya kembali. Begitu pula dengan anak-anak dan para kekasihnya semuanya kembali, mereka menyerahkan kepadaAllah berserta dengan segala amal perbuatannya." Rasulullah s.a.w. bertanya lagi, "Adakah lagi yang lebih hebat daripada itu?" Jawab Aisyah, "Hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih tahu."

Maka bersabda
Rasulullah s.a.w.: "Wahai Aisyah, sesungguhnya sehebat-hebat keadaan mayat ialah ketika orang yang memandikan masuk ke rumahnya untuk memandikannya. Maka keluarlah cincin di masa remaja dari jari-jarinya dan ia melepaskan pakaian pengantin dari badannya. Bagi para pemimpin dan fuqaha, sama melepaskan serban dari kepalanya untuk dimandikan."Di kala itu rohnya memanggil, ketika ia melihat mayat dalam keadaan telanjang dengan suara yang seluruh makhluk mendengar kecuali jin dan manusia yang tidak mendengar. Maka berkata roh, "Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah, lepaskanlah pakaianku dengan perlahan-lahan sebab di saat ini aku berehat dari kesakitan sakaratul maut." Dan apabila air disiram maka akan berkata mayat, "Wahai orang yang memandikan akan roh Allah, janganlah engkau menyiram air dalam keadaan yang panas dan janganlah pula dalam keadaan sejuk kerana tubuhku terbakar dari sebab lepasnya roh," Dan jika mereka memandikan, maka berkata roh: "Demi Allah, wahai orang yang memandikan, janganlah engkau gosok tubuhku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh."

Apabila telah selesai dari dimandikan dan diletakkan pada kafan serta tempat kedua telapaknya sudah diikat, maka mayat memanggil, "Wahai orang yang memandikanku, janganlah engkau kuat-kuatkan dalam mengafani kepalaku sehingga aku dapat melihat wajah anak-anakku dan kaum keluargaku sebab ini adalah penglihatan terakhirku pada mereka. Adapun pada hari ini aku dipisahkan dari mereka dan aku tidak akan dapat berjumpa lagi sehingga hari kiamat." Apabila mayat dikeluarkan dari rumah, maka mayat akan menyeru, "Demi
Allah, wahai jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi janda, maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim, janganlah menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari ini aku akan dikeluarkan dari rumahku dan meninggalkan segala yang kucintai dan aku tidak lagi akan kembali untuk selama-lamanya."

Apabila mayat diletakkan ke dalam keranda, maka berkata lagi mayat, "Demi
Allah, wahai jemaahku, janganlah kamu percepatkan aku sehingga aku mendengar suara ahliku, anak-anakku dan kaum keluargaku. Sesungguhnya hari ini ialah hari perpisahanku dengan mereka sehingga hari kiamat."

Blog Stats

SEKAYU

SEKAYU