There was an error in this gadget

Wednesday, September 2, 2009

Basikal Buruk

Basikal buruk itu kau sorong. Tayarnya pancit dan longgar. Raut wajahmu perit seribu menahan panahan mentari senja. Peluh muda yang mewarnai latar muka dan dahimu jelas memancarkan wajah-wajah kepenatan dan kesusahan. Semakin perlahan nampaknya masa berputar dalam duniamu. Aku sugul memerhatikan tingkahmu dalam pandangan mata yang berbayang. Terasa kesusahanmu inginku pikul bersama, melewati setiap titian kehidupan dan lorong-lorong kerinduan yang tenang dan bahagia. Muzik cinta kita ingin aku alunkan menjadi teman perjalananmu dalam setiap langkahmu pulang dari sekolah. Ingin aku sulamkan setiap doa dan harapan menjadi peneduh dan payungan daripada terik dan bahangnya cahaya mentari. Ingin sahaja aku elus lembut pipi dan dahimu, merasa dengan erat setiap titisan peluh mudamu yang menyegarkan, dan melupakan keringat yang memenatkan.

Yayang, maafkan abang. Abang hanya mampu memandang daripada tabir yang keras. Sentiasa abang cuba untuk merempuh dan keluar daripadanya, lantas memeluk erat tengkuk dan tubuhmu yang hangat. Namun, ternyata tabir di antara kita bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditembusi mahupun juga dicerobohi. Yayang, saat basikal buruk itu kau sorong, dada abang mula terisi sebak dan sesal. Biarpun hanya bayangan perlakuan yang dikau khabarkan dalam huruf-huruf ringkas tiada terisi vokal. Jiwa abang terasa jauh melayang mencari raut wajahmu yang kesunyian dan sepi menarik perlahan-lahan sebuah basikal pemberian ayah. Lorong-lorong hati mula mempersoal tentang cinta yang hadir di antara kita. Adakah ianya sebenar-benar cinta, mahupun hanyalah tautan perasaan yang palsu sahaja. Kata orang, “tak kenal, maka tak cinta.” Namun, sebaliknya yang berlaku di antara kita. Abang tidak pernah menatap wajah yayang yang sentiasa lembut dan indah dalam bayangan mahupun mimpi abang. Namun, kekadang bayangan itu tertutup dan terhalang apabila mengingati cerita tentang rupa paras yang Yayang ceritakan dan tuliskan dalam mesej-mesej ringkas yang mengisi ruang kita. Adakah benar cinta di antara kita, ataupun hanya kita berdua bersama menzahirkan cinta demi menjaga hati masing-masing. Entahlah.

Semenjak dua menjak ini, sengaja abang kurang menghubungi yayang. Sesungguhnya ini merupakan antara langkah pertama abang dalam menguji segalanya. Menguji cinta yayang, dan juga menguji cinta abang. Namun, mengapa ujian ini bagaikan satu perjalanan yang amat mudah bagi abang. Setiap masa yang abang lalui tanpa mengingati, mahupun menghubungi yayang terasa bagaikan sesuatu yang biasa. Sejak akhir-akhir ini, abang mula merasakan yayang hanyalah watak sisipan dalam hidup abang. Bukan cinta, namun, tidak lain daripada kasih sayang dan persahabatan. Apa yang abang harapkan, begitulah juga perasaan yayang terhadap abang.

Yayang, sejujurnya hubungan yang wujud di antara kita, samada benar mahupun palsu merupakan suatu perhubungan yang silap dan menyalahi fitrah manusia. Abang amat jelas akan perkara itu. Dan, abang pun amat jelas akan pengetahuan yayang mengenai perkara itu. Sering sahaja dalan sujud dan doa abang meminta supaya nafsu yang hina dan sesat ini dibuang jauh daripada hati dan jiwa abang, jauh melewati dan merentasi sempadan fana sekelian alam. Sentiasa dalam air mata yang melewati pipi dan juga sendu yang mengiringi doa permintaan, pada Allah abang mohonkan petunjuk dan hidayah yang sebenar. Namun, pada masa yang sama, abang sering memikirkan akan perasaan yayang yang mungkin kecewa dengan peninggalan abang daripada dunia hitam ini, mahupun juga abang bimbang akan kedudukan yayang yang terus sesat dalam himpunan nafsu yang tidak mengenal apa-apa. Sesunggunya abang bagaikan bangau yang bingung. Ingin hinggap di belakang kerbau semula, namun, pada masa yang sama kaki akan juga terpalit lumpur yang kotor.

Yayang, sesungguhnya, tiadalah yang benar mengenai cinta kita. Abang dan yayang hanya membina mimpi dan angan-angan yang panjang. Tidakkan mungkin garam akan menjadi semanis gula. Maafkan abang yayang. Bukan maksud abang untuk melukai dan mendustai yayang. Namun, abang inginkan cinta yang lebih bermakna dan abadi. Abang ingin dekat kepada cahaya yang akan membantu abang mencari laluan yang benar dan membenarkan. Sudah jauh abang melewati lelorong yang kelam dan berkabut. Ingin pula rasanya hati abang melalui lelorong syahdu yang dipenuhi cahaya dan wangian syurga yang sejati. Abang ingin menebus segala kesilapan dan kekhilafan memilih. Abang ingin memiliki cinta agung. Cinta yang mampu membawa bahagia berpanjangan. Dalam setiap riwayat dan firman, ingin abang petik dan jadikan ia sebagai peneduh daripada panahan mata-mata iblis dan syaitan. Ingin abang kutip setiap ingatan dan pedoman sebagai benteng daripada tentera nafsu yang sentiasa dengan berkobar-kobar ingin merempuh jalanan taqwa dan iman. Sesunggunya Allahlah pemilik cinta agung, dan segala mimpi mengenai cinta dan kesetiaan abang hanyalah kepadanya. Tidak ingin abang mensia-siakan persinggahan ini dengan mengumpul racun dan juga penyakit. Ingin abang menjadi tabib sepanjang perjalanan ini agar abang mencapai destinasi dengan membawa penawar dan juga jasa yang dikenang.

Demi sesungguhnya, perit yang abang tanggung ini lebih hebat dari menelan racun. Tipu rasanya jikalau mengatakan bahawa abang tidak pernah bercinta. Namun, jujurnya, inilah suatu perhubungan cinta yang amat hebat pernah abang lalui. Sehari yang dilalui tanpa mendengar suara yayang sungguh menyepikan dan sunyi. Namun, abang kuatkan juga setiap indera dan rasa demi mengejar suatu yang pada nyatanya amat payah dan memeritkan. Yayang, mungkin juga abang akan menemui cinta lain dalam sepanjang usia ini. Namun, dalam doa yang berpanjangan abang impikan cinta yang halal dan sah pada pandangan duniawi mahupun ukhrawi. Sesungguhnya, cinta abang pada yayang bukanlah suatu permainan dan sandiwara melainkan suatu simfoni rasa yang amat hebat dan juga benar. Tetapi, kesedaran dan hidayah membawa abang ke suatu pelabuhan yang sungguh indah dan bercahaya. Ingin abang tinggalkan segala bebanan dan masalah di dalam bahtera yang compang. Ingin rasanya abang berehat di pulau itu tanpa sebarang kerunsingan dan dosa yang membelenggu diri. Biarpun ia bakal menjadi suatu istirehat yang panjang mahupun sesingkat kerdipan mata, memadailah sekiranya ia mampu melupakan abang pada dunia dan cintanya.

Yayang, benarkan abang menyimpuhkan nada kemaafan daripadamu. Benarkanlah abang bebas daripada belenggu kesalah dan juga kedukaan. Sungguhnya abang membawa diri yang penuh kesedihan dalam perjalanan meninggalkan dirimu. Sesungguhnya abang bakal menempuhi suatu kesunyian dunia yang ingin abang elak. Kehilangan yayang bagaikan merenggut jiwa kebahagiaan abang, merampas deria cinta dan sayang. Namun, demi sebuah cinta yang agung dan abadi, abang tempuhi sebuah jalan derita dengan harapan menemui sebuah kemanisan di penghujung jalan. Semoga, abang akan terus kuat dan hebat dalam menempuh perjalanan yang sungguh panjang dan jauh ini. Maafkan abang wahai insan yang amat daku cintai dan rindui; Amera!

Ini merupakan cerpen yang pertama saya tulis setelah bergelar Guru Pelatih di Institut Perguruan Kuala Terengganu atau kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato’ Razali Ismail

2 comments:

Asni Amni said...

Siapakah amera itu wahai saudara Baha..? ingin saja hati ini mengenalinya..?

cerpen ini adaptasi daripada pengalaman sendiri kah..? =)

menarik. boleh jadi pedoman kepada saudara kita diluar sana tentang cinta dan hakikat hidup ini.. =)

NurHafiz said...

kisah yang hanya rekaan sebagai pedoman

Blog Stats

SEKAYU

SEKAYU