Monday, November 16, 2009

Permaisuri Jagalah Daulatmu


Semalam saya menyampaikan ceramah yang bertajuk "Perhiasan Terindah Dunia". Khas ditujukan buat kaum hawa yang sangat saya hargai. Memikirkan harga mereka yang kian jatuh pada dagangan mata kaum lelaki durjana membuatkan hati saya tersentak untuk bangun dan berbicara mengenai kebejatan yang sungguh mengusik jiwa. Ramai muslimah yang hadir. Alhamdulillah.


Tidak dapat pada masa ini untuk saya menceritakan sinopsis dengan lebih panjang memandangkan masa yang dikekang dengan kerja-kerja akhir sebagai SUAK Biro Agama di IPG ini. Sungguhpun begitu, pada masa yang akan datang saya akan cuba untuk menulis mengenai apa yang saya sampaikan semalam. Insya Allah.


Namun pesan saya buat muslimah anggun, jagalah dirimu sebaik-baiknya. Jangan biarkan kedaulatanmu tercalar kerana hanyut melayan kehendak nafsu buas insan-insan keparat. Andai kata hati ingin memutikkan cinta, carilah insan yang mampu membimbingmu menuju jalan yang diredhai oleh Allah. Tanyalah insan tersebut mengenai sebab cintanya kepadamu. Kerana hartakah? Kerana rupakah? Atau kerana iman dan harga diri? Jikalau kerana iman dan harga diri, mintalah pada insan tersebut supaya menjagainya untukmu. Minta padanya supaya jangan memurahkan harga dirimu, pohon pada si dia agar jangan cuba menguji keimananmu. Namun, sebaik-baik tempat memohon petunjuk adalah kepada Allah yang Maha Pengasih kerana hanyasanya pada Dialah kita hambaNya memohon agar segala kekusutan yang melanda jiwa.


Muslimah. Saya bukanlah muslimin sejati kerana saya mampu bercakap dan menasihati muslimah. Namun, saya hanyalah insan biasa yang cuba untuk menjadi yang terbaik buat Pencipta saya, Rasul saya, Agama saya, keluarga saya, dan juga insan-insan kecintaan saya. Doalah kepada saya agar dapat meniti hidup dengan iman dan takwa dalam perjalanan mengetuk syurga Allah yang Maha Indah.

Saturday, November 14, 2009

Puisi Untuk Mata Hatiku



Ma,

tabahnya engkau melalui liku-liku ini,

tabahnya engkau meredahi gelora ini,

tabahnya engkau meredah ranjau duri ini

tabahnya engkau merenangi lautan duka ini,

walau kekadang kau tersadung dalam tangisan.

Ma,

tabahnya bukan seketika,

tabahnya bukan hangat yang sementara,

tabahnya bukan setanding fikiran,

tabahnya bukan sekadar mimpi,

tabahnya kekal dan setia,

walau kekadang digugat rasa

Ma,

tabahnya tidak akan kuyup dalam kebasahan,

tabahnya tidak akan kering dalam ketandusan,

tabahnya tidak akan hanyut dalam arus gelombang

tabahnya tidak akan tumbang dalam ribut dan taufan

kerana,

tabahnya berkudrat iman yang utuh,

tabahnya bertunjang sabar yang benar,

tabahnya berakarkan takwa kepadaNya.

Tuhan,

rahmatilah Ma,

kerana dugaanMu diterimanya redha,

kerana dugaanMu diterimanya dengan pasrah,

kerana dugaanMu diterimanya dengan zuhud,

kerana dugaanMu diterimanya dengan sabar.

Tuhan,

ampuni dosa Ma,

kerana dia amat berjasa kepada kami,

kerana dia amat setia dengan kami,

kerana dia amat memahami kami,

kerana dia amat menyayangi kami,

kerana dia amat menghargai kami,

kerana dia amat menyanjungi diriMU.


Puisi ini didedikasikan untuk Ma yang amat yang amat daku cintai dan kasihi. Pada Allah daku rafakkan rimbunan doa keampunan dan rahmat. Hanya untuk Ma

Thursday, November 12, 2009

Perhiasan Terindah Untuk Duniaku


Masih tak habis-habis perangai sekolah rendah biarpun sudah berjanggut. Kadang-kadang memang melucukan namun mual pun ada juga.

Inilah yang a

ku hadapi saban hari. Karenah kawan-kawan yang mewarnai kanvas hidupku yang masih kekurangan. Soal jodoh menjodohkan, gosip menggosip bagaikan resam di alam belajar. Namun, terkadang aku sedar ia hanya gurauan, dan terkadang aku bimbang ia membawa kesan kepada aku mahupun insan lain yang terlibat. Hahaha

Kawan-kawan

Dunia merupakan hiasan, dan sebaik-baik hiasan ialah wanita (isteri) yang solehah. Inilah merupakan kata-kata Nabi Muhammad (pbuh).

Analogi daripada kefahaman saya mengenai hadis di atas ialah wanita merupakan pelengkap kepada kepada kediaman lelaki di dunia mahupun akhirat yang mana Allah kurniakan bidadari di sana yang cantiknya tidak pernah terbayang pada mata mahupun kotak fikiran.

Perhiasan dan

kehendak dalam memilihnya merupakan suatu kondisi jiwa yang tidak mampu dibuat oleh orang lain samada kawan-kawan, sahabat, teman, bahkan ibu bapa sendiri. Sememangnya ramai yang mengatakan bahawa pilihan ibu bapa merupakan pilihan yang terbaik, memang tidak saya sangkal. Namun, adakah perhiasan pilihan ibu bapa walaupun harganya jutaan ringgit menepati konsep kediaman kita, atau lebih tepat menepati kehendak jiwa kita.

Sesiapa pun mampu memberi, menghadiahi kita dengan bermacam perhiasan untuk menambah rias kediaman kita. Namun, seindah-indah hiasan, dan tentunya yang paling membawa makna adalah hiasan yang kita pilih, beli, dan jagainya sendiri. Dan, semestinya akan meluap rasa sayang akan perhiasan tersebut jika perhiasan tersebut hanya satu di dunia ini dan hanya dimiliki oleh kita. Ramai orang melihatnya, namun hanya anda seorang yang memiliki dan menyentuhnya sepenuh belaian. Tentunya kegembiraan yang tidak terucap dengan kata-kata.

Saya sering dit

unjuk rakan-rakan dengan perhiasan-perhiasan yang sungguh indah, cukup memikat hati. Namun, sehingga kini belum juga berjumpa dengan perhiasan yang memikat hati, dan mampu membuatkan hati membujuk rindu untuk memilikinya. Mungkin saya cerewet; kata kawan-kawan. Namun, saya bukan begitu. Cuma saya belum yakin adakah perhiasan yang saya lihat sebelum ini mampu menepati konsep kediaman yang saya miliki. Mereka mungkin indah, cantik, mahal, tulen, namun, apakah jiwa perhiasan itu mampu memasuki jiwa kediaman saya dan bersatu di dalamnya sebagai sebuah rasa yang mendamaikan jiwa.

Namun, saya juga menyimpan bimbang. Suatu hari nanti saya mungkin menemui perhiasan indah yang saya idamkan. Apakah mungkin pada ketika itu mampu saya jagainya dengan sepenuh jagaan dan perlindungan. Dan, dalam keindahan yang d

imiliki, adakah ia sebenarnya sudah pernah dimiliki sepenuhnya oleh insan-insan lain? Kebimbangan sebegini membuatkan saya buntu dalam pencarian. Hasilnya, biarlah saya mencari perhiasan abadi iaitu cinta Allah terlebih dahulu. Kerana cinta Allah hanya dimiliki oleh insan yang mencari cintaNya dan Dia tidak pernah akan khianat akan kesetiaan seorang kekasih. Apapun, perjalanan akan menjadi lebih indah andai ada yang sudi menemani perjalanan tersebut agar tidaklah saya jatuh tanpa ada pendokongnya. Sesungguhnya Allah mengerti akan niat hati saya.

So kawan-kawan. Jangan gosip-gosip lagi.

Perhiasan untuk kediaman saya hanya saya yang tahu untuk memilihnya kerana hanya saya yang tahu konsep kediaman hati saya. Hik hik.

Assalamualaikum.

Sunday, November 8, 2009

Wahhabi; Sunnah Kita Semua Sama

Sekarang ini sungguh hangat mengenai suatu isu yang cukup menyentuh hatiku. Saya pengikut wahhabi walaupun terpaksa mengamalkannya secara sembunyi. Bukan kerana saya takut, namun kerana saya menyimpan rasa damai yang berkekalan.

Dewasa ini tuduh menuduh di antara wahhabi dengan sunnah wal jamaah semakin hebat diperdebatkan. Namun, sungguh malang. Perdebatan berlaku kerana ideology yang berbeza dan hanya menggunakan pendapat akal semata-mata. Al-Quran dan Sunnah yang menjadi rujukan agung ditinggalkan sewenang-wenangnya. Apa perdebatan ini akan terus berlangsung sehinggalah antara dua yang bergaduh ini salah satunya memulakan perang dan yang satu hangus kebinasaan. Menang jadi arang, kalah jadi abu, dan yang musyrik bergembira, kerana dengannya mereka membakar makanan yang lazat-lazat.

Mengapa hal yang ini terjadi. Saya yang muda ini ingin menjelaskan sahaja, namun kepada pendapat tualah yang mereka mahu terima atau sebaliknya. Kerana menjadi adapt dunia hari ini, pendapat si kecil hanyalah kecil, pendapat si besar, dipandang besar biarpun akalnya senipis kulit bawang.

Wahhabi mahupun ahli sunnah wal jamaah kedua-duanya ada silap dan ada betulnya. Saya dan rakan saya (ahli sunnah) juga ada khilaf dan baiknya. Itu sememangnya adat dunia dan kita hambaNya yang maha lemah lagi kerdil. Wahhabi merupakan suatu wacana perpaduan tatkala kerajaan Islam di Turki dan di Tanah Arab mulai berpecah. Ramai yang menyatakan bahawa wahhabi punca Turki Uthmaniyyah jatuh rebah. Namun, jarang yang bertanya kenapa empayar agung itu jatuh dengan sebuah kefaham. Jawapannya telus dan mudah, kerana empayar itu bagaikan bola berisi angin. Luarnya nampak kukuh, namun dalamnya amat rapuh. Wahhabi telah melihat kepincangan ini dan ingin memperbetulkan keadaan agar kembali menjadi tenang serta mengikut syariat Islam yang sebenarnya. Khurafat dan bidaah berleluasa. Pemimpin bukan lagi memimpin kerana Allah, namun kerana dirinya sendiri, pemimpin tidak fikir untuk menyenangkan rakyat, namun memikirkan cara mencari kekayaan untuk dirinya sendiri. Wahhabi bangkit dan menyemai jihad untuk membangkitkan syiar Islam yang kian pudar. Apakah mungkin ingin sahaja kita melihat, dan menonton Islam di saat-saat dia merayu bantuan kita. Apa maknanya kita mengatakan cinta pada Allah dan RasulNya, namun kita bakhil saat seruan Islam memanggil-manggil. Apa sanggup kedua mata ini hanya melihat dan tidak berana berbuat apa-apa hanya kerana kerajaan khurafat itu berbayangkan struktur khulafak yang kian bobrok? Begitu yang diinginkan pihak yang lain???? Tepuk dada tanya iman!

Kami wahhabi bukanlah seburuk yang anda sangka. Memang kami tidak nafikan ada antara kami yang menyinggung perasaan insan-insan pengikut ahli sunnah wal jamaah. Namun, apa mungkin dalam segantang beras tidak ada melukut. Dan apakah mungkin kerana melukut, segantang beras dicurahkan? Pihak tuan juga ada yang menuduh kami kafir, kufur, murtad, dan terpesong daripada agama Islam? Apa ini?! Kami meyembah Allah, taat pada Rasulullah, meneladani hadis-hadis baginda, mentauladani al-Quran. Apa kami kufur? Apa kami ingkar? Apa kami murtad? Saya sungguh sedih dan terkilan membaca akhbar yang tidak habis-habis menyatakan bahawa wahhabi merupakan sesat dan membahayakan umat Islam. Namun, cukup saya hairan. Kami ini yang Islam ditindas, namun bangsa-bangsa lain yang jelas kekafirannya, kekufuran, dan kemurtadannya dibiarkan bebas leluasa melebihi burung-burung di langit. Sehingga hari ini, tidak pernah sekali saya membaca akhbar, mahupun majalah arus perdana mengenai bahaya agama Kristian, Hindu, Buddha, Yahudi, Sakai, Sikh, dan semacam lagi kekafirannya. Tidak pernah! Namun, agama Islam yang penganutnya menolak amalan-amalan yang tidak dibuat oleh Nabi Muhammad sallallahualaihiwasalam, menolak apa yang tidak tercatat dalam al-Quran; bidaah dan khurafat ditindas dengan sehabis-habisnya? Apa ini? Kegilaan apakah ini? Kebodohan apakah ini?

Tuan-tuan dan puan-puan.

Kita sesama Islam bergaduh bagaikan suatu yang adat dan kemestian. Sebagaimana sunni dan syiah yang tidak pernah padam api kemarahannya. Cuba kita perhati apa kesannya? Umat kita dipandang rendah melebihi hinanyadedebu kaki seorang hamba yang tidak ada agamanya. Apa tidak kita mengambil iktibar daripada hal yang ini? Apa ingin kita melihat pertumpahan darah yang bakal sekali lagu mencipta sempadan di antara kita yang digelar bersaudara. Mengapa tidak kita duduk semeja dan mencari jalan penyelesaian bagi membebaskan negara-negara Islam daripada belenggu penjajah, mengapa tidak kita menggunakan pendapat yang banyak untuk menukar ganti pemimpin yang bersangatan dalam takutnya dia untuk membantu negara-negara Islam yang merayu simpati. Pekakkah kita akan panggilan sayu dan pilu saudara-saudara kita di seluruh dunia? Butakah kita daripada melihat al-Aqsa yang dicabul oleh rabbai-rabbai Yahudi celaka? Buta?! Pekak?! Gila?!

Tidak mengiralah samada saya wahhabi, dan tuan-tuan sunnah wal jamaah mahupun sunni. Kita masih lagi Islam, bertuhankan Allah, berasulkan Nabi Muhammad, merujuk kitab al-Quran, berpegang pada hadis. Kita masih lagi sama. Sama-sama mencari redha Allah, mengejar syurga dan pengampunan, meminta kejauhan daripada neraka. Kita sama, tujuan kita sama. Kita menunaikan haji pada tempat yang sama, tarikh yang sama, syarat-syarat yang sama. Ihram yang kita sarungkan pada batang tubh juga sama warnanya. Kita sama-sama berjalan menuju Arafah, sama-sama melontar dengan niat membuang unsur-unsur kejahatan dalam diri. Kita bercukur juga sama-sama meninggalkan rambut. Kita hanya berbeza dalam mengamalkan perkara-perkara sunat. Itu sahaja. Apakah kerana perbezaan sekecil itu, kita melatah dan mengkafirkan sesama sendiri.

Tepuk dada tanya iman!

Puisi Untuk Cintaku


Menyayangi seseorang bukan bererti selalu kita bercakap dengannya

Menyayangi seseorang bukan bermakna kerap kita bersamanya

Namun,

Sayangilah seseorang sebagaimana menyayangi dirimu sendiri

Biarkan dia bersendiri sebanyak kamu ingin sendirian.

Bercakaplah dengan dia sekadar perlu

Namun,

Sebaik-baik diam adalah ketika kamu ingin bercakap

Dan

Seburuk buruk diam adalah tatkala kamu diingini untuk bercakap.

Di situ kamulah guru

Tegurlah dia sekadar cuma

Namun,

Seelok-elok teguran adalah ketika dia belum kesilapan

Dan

Seburuk-buruk teguran adalah saat dia sudah kesilapan

Di situ kamulah bapa dan ibu

Diamlah ketika dia mahu kamu diam

Senyaplah selagi dia inginkan kesunyian

Bisulah selagi dia inginkan kebisuan

Butalah selagi dia inginkan kebebasan

Pekaklah selagi dia inginkan keleluasaan

Namun,

Jangan pergi sebelum dia beriman

Jangan undur sebelum dia berpedoman

Jangan putus asa sebelum dia bertauladan

Jangan!

Kerana saat itu

Kamulah insan yang bergelar teman.

Tuesday, November 3, 2009



Nukilan ini untuk para wanita yang ingin mengerti akan kehendak jiwa seorang lelaki bagi wanita yang ingin menjadi suri hati dan jiwanya.

Warkah Cinta Untuk Allah

Salam ya uhibbu akhi. Semalam; 2 November 2009 jam 9 - 12.30 tgh/mlm diadakan suatu ceramah yang bertajuk Mencari Kemanisan Iman yang disampaikan oleh Taman Quran Hadiiqatul Consultant. Antara penceramahnya ialah Ustaz Mohamad Mizan Bin Mohd Nor.

Ceramah yang disampaikan sangat meruntun jiwa sehinggakan tidak saya menyedari air mata berderai membasahi pipi, sehinggalah sendu membatasi perlakuan jiwa. Kata-katanya yang mengingatkan tentang dosa, serta khilaf yanf pernah saya lakukan membuatkan hati terasa sungguh kerdil dalam meminta ampun pada Allah yang Maha Pengampun. Terasa diri sungguh hina di hadapan Allah kerana menagih nikmatnya sedangkan hidup penuh dengan perbuatan yang mengundang kemurkaannya.

Pada pertengahan ceramah tatkala hanya sendu yang mengisi ruang bicara, dan juga reruang Dewan Ungku Umar, al-fadhil ustaz meminta kami untuk menulis suatu warkah kepada Allah subhanahuataala. Inilah warkah yang saya utuskan kepada Allah ya rabbi.

Ya Allah,
ampunkan daku atas dosa-dosa yang telah daku lakukan.
Ya Allah,
Aku sayang sangat padaMu. Sayang sangat!
Aku sayang sangat padaMu,
tapi aku tak taat atau jadi yang terbaik.
Allah, ampunkan aku!

Ampunkan daku Ya Allah,
matikankanlah segala nafsuku yang sesat,
matikanlah segala perkara yang mampu menghalang aku ke syurga.
Allah!Allah! Allah!

Hanya Dikau tempat aku mohon ampun.
HanyaMu Ya Allah.
Allah ampunkan aku.
Kuatkan daku.
Jangan biarkan daku bertatih,
jangan jatuhkan daku dalam perjalanan ini. Kuatkan daku.
Kurniakan daku kasih sayang dan ketaatan padaMu.

Ya Allah,
rindunya aku padamu.
Rindu yang tidak mungkin dapat aku ungkap dengan kata,
aku rindu sangat-sangat.
Terimalah taubatku.
Jadikan daku kekasihMu!
Jadikan daku kekasihMu!

Allah.
Bantulah daku dalam mencari redhaMu.
Bantulah daku Ya Allah.
Jauhi daku dari maksiat.
Jangan biarkan daku bertatih dalam perjalanan panjang menuju agamaMu.
Jagailah daku.
Peliharalah daku.

Aku ini insan yang lemah.
Kau Maha Mengetahui akan kejahilan dan dosa-dosaku.
Disebalik iman dan taqwa yang senantiasa aku cari,
sebenarnya aku sentiasa melakukan dosa.

Terimalah daku sebagai kekasihMu.
Terimalah daku sebagai hambaMu.
Redhalah Dikau atas diriKu
sebagaimana yang didambakan dan yang selalu daku pohon.

bait-bait seterusnya merupakan bicaraan peribadi saya dengan Allah yang tidak dapat saya pamerkan disini. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar dari apa yang saya pamerkan. Dan sungguh rugi insan-insan yang gagal menghadiri ceramah semalam.

Monday, October 26, 2009

Teman solatku.

Hari ini keseorangan lagi
Semalam pun seorang juga
Di mana teman solatku ?

Semalam
Dia ada di padang bersamaku,
Hari ini di pasaraya dia temanku,
Namun,
Solatku masih keseorangan.

Siapa ingin jadi teman solatku?
Adakah dia yang sering ketawa
Adakah dia yang sering juara
Adakah dia yang kacak rupanya
Atau kaya orangnya
Atau dia yang sering daku lupa???

Wanita; Hiasan Agung Ciptaan Allah

Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, namun Nabi Adam a.s tetap rindukan Siti Hawa.

Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan dari-Nya. Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada zat Allah yang kekal, disitulah suisnya.

Akal setipis rambutnya, tebalkan dengan ilmu. Hati serapuh kaca, kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera, hiasilah dengan akhlak. Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan keadilan Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun tidak jadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri negara atau 'women gladiator'. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan. Itu bukan diskriminasi Tuhan. Sebaliknya disitulah kasih sayang Tuhan, kerana rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan lelaki-lelaki waja : negarawan, karyawan, jutawan dan "wan-wan" yang lain. Tidak akan lahir 'superman' tanpa 'superwoman'.

Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula membengkokkan.

Lebih ramai lelaki yang dirosakkan oleh perempuan daripada perempuan yang dirosakkan oleh lelaki. Sebodoh-bodoh perempuan pun boleh menundukkan sepandai-pandai lelaki. Itulah akibatnya apabila wanita tidak kenal Tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri, apalagi mengenal lelaki. Kini bukan saja ramai boss telah kehilangan 'secretary', bahkan anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan kehilangan puteri.

Bila wanita derhaka dunia lelaki akan huru-hara . Bila tulang rusuk patah, maka rosaklah jantung, hati dan limpa. Para lelaki pula jangan hanya mengharap ketaatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah pimpinlah diri sendiri dahulu kepada-Nya.

Jinakkan diri dengan Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya dibawah pimpinan kita. Jangan mengharap isteri seperti Siti Fatimah, kalau peribadi belum lagi seperti Sayidin Ali

Wednesday, October 14, 2009

hanyasanyaMu

Ya Allah. Hamba jenis apa aku ini? Melupai diriMu sedangkan cukup daku sedar bahawa diriku, nyawaku, dan jasadku sesungguhnya dibawah pemilikan; kekuasaanMu.

Ya Allah. Hamba jenis apa daku ini? Mengatakan akan mati, namun daku berbuat sesuka hati bagaikan mati bukanlah suatu yang pasti, dan balasanMu akan setiap tingkah laku hanyalah omongan mimpi.

Ya Allah. Hamba jenis apa daku ini? Mengakui bahawa Dikaulah pemberi rezeki. Namun, amat senang dengan harta dunia yang melimpah ruah sedangkan jelas daku mengetahu bahawa sesungguhnya Dikaulah Allah Yang Maha Adil dan Saksama.

Ya Allah. Hamba jenis apa daku ini? Berkata akan cinta padaMu, merindui diriMu. Namun, daku senang sekali didampingi cinta sesama makhluk yang belum pasti membawa kebahagiaan yang hakiki.

Ya Allah. Hamba jenis apa daku ini? Sering mengatakan ingin hidup dalam qanaah. Namun, cukup daku senang apabila mampu membuat insan lain berasa kagum akan diriku, sedangkan daku tahu bahawa pujian merupakan racun yang sungguh berbisa.

Ya Allah. Hamba jenis apa daku ini? Sering sahaja daku berkata bahawa hanya padaMu jualah daku bermohon dan meminta pertolongan. Namun, seringkali aku terlebih dahulu meminta bantuan sesama makhluk mendahului meminta dariMu.

Ya Allah. Hamba jenis apa daku ini? Yang melakukan dosa dengan leluasa tanpa mengingati akan mati dan balasan azab seksa yang dijanjikan bagi setiap pelaku dosa. Hamba jenis apa daku ini? Sering daku baca di dalam al-Qur’am akan janji-janjiMu untuk setiap hamba yang menderhaka. Kulit yang bakal dibakar, lidah yang bakal digunting, otak yang bakal menggelegak, tangan yang bakal dipasung, tengkuk yang bakal diikat beban, kaki yang bakal diseret jauh, mata yang bakal hancur dimamah tembaga menggelegak, dan tubuh yang bakal terendam dalam nerakaMu yang maha panas lagi maha menyeksakan. Mengapa masih leluasa dosa daku lakukan? Apakah iman yang daku himpun selama ini hanyalah mimpi dan kesenangan daku melepaskan diri daripada mata dunia yang memandang.

Ya Allah. Jadikanlah daku hamba yang taat, kasih, setia, dan cinta padaMu. Tiada yang lain hanyalah diriMu, hanyasanya diriMu.

Wednesday, October 7, 2009

al-Fatihah


Salam ya akhi yang daku sayangi. Ini merupakan suatu yang sangat menyedihkan hati dan perasaan. Datuk kepada sahabat saya yang tercinta; Aidil Bin Sahipaludin telah pulang ke rahmatullah; kembali mengadap Allah yang Maha Esa. Semoga roh beliau dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan pada makam yang mulia. al-Fatihah.

Usrah

Salam Ikhwan...
Alhamdulillah saya telah dilantik menjadi naqib bagi adik-adik semester 1. Walaupun gembira kerana diberi kepercayaan namun pada masa yang sama, saya amat bimbang jikalau gagal menjalankan amanah ini. Sungguhpun begitu, saya bertuah punyai sahabat-sahabat usrah yang baik, komited, dan sangat sporting. Harapnya kami dapat melansungkan hubungan ukhwah sepanjang hayat yang ada dan biarlah ianya panjang melunjur ke alam akhirat. Semoga Allah merahmati kami. Kepada sahabat-sahabat usrah:

Mohd Helmi Syazwan Bin Mohd Zaki,
Mohamad Firdaus Bin Jaafar,
Mohd Azam Bin Ashri,
Ahmad Amry Bin Abd. Wahab,
Nasrullah Anas Bin Che Razali,
Muhammad Adib Bin Misslaini, dan
Wan Mohd Zulfaqar Bin Wan Yahya,

semoga kita semua dikasihi oleh Allah. Baha doakan ukhwah yang kita jalinkan akan berkekalan buat selama-lamanya. Marilah kita sama-sama berjuang untuk menjadi muslim yang baik, anak yang soleh, sahabat yang menggembirakan, dan insan yang diredhai Allah subhanahuataala. Baha bukanlah insan yang terbaik untuk menjadi penasihat mahupun contoh ikutan, namun dalam doa dan sujud, Baha amat berharap agar ada insan yang hadir mampu membentuk Baha menjadi insan yang lebih baik. Dan, Baha harap insan tersebut adalah sahabat-sahabat sekalian... Firahmatillah abadan abadan

Wednesday, September 2, 2009

Basikal Buruk

Basikal buruk itu kau sorong. Tayarnya pancit dan longgar. Raut wajahmu perit seribu menahan panahan mentari senja. Peluh muda yang mewarnai latar muka dan dahimu jelas memancarkan wajah-wajah kepenatan dan kesusahan. Semakin perlahan nampaknya masa berputar dalam duniamu. Aku sugul memerhatikan tingkahmu dalam pandangan mata yang berbayang. Terasa kesusahanmu inginku pikul bersama, melewati setiap titian kehidupan dan lorong-lorong kerinduan yang tenang dan bahagia. Muzik cinta kita ingin aku alunkan menjadi teman perjalananmu dalam setiap langkahmu pulang dari sekolah. Ingin aku sulamkan setiap doa dan harapan menjadi peneduh dan payungan daripada terik dan bahangnya cahaya mentari. Ingin sahaja aku elus lembut pipi dan dahimu, merasa dengan erat setiap titisan peluh mudamu yang menyegarkan, dan melupakan keringat yang memenatkan.

Yayang, maafkan abang. Abang hanya mampu memandang daripada tabir yang keras. Sentiasa abang cuba untuk merempuh dan keluar daripadanya, lantas memeluk erat tengkuk dan tubuhmu yang hangat. Namun, ternyata tabir di antara kita bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditembusi mahupun juga dicerobohi. Yayang, saat basikal buruk itu kau sorong, dada abang mula terisi sebak dan sesal. Biarpun hanya bayangan perlakuan yang dikau khabarkan dalam huruf-huruf ringkas tiada terisi vokal. Jiwa abang terasa jauh melayang mencari raut wajahmu yang kesunyian dan sepi menarik perlahan-lahan sebuah basikal pemberian ayah. Lorong-lorong hati mula mempersoal tentang cinta yang hadir di antara kita. Adakah ianya sebenar-benar cinta, mahupun hanyalah tautan perasaan yang palsu sahaja. Kata orang, “tak kenal, maka tak cinta.” Namun, sebaliknya yang berlaku di antara kita. Abang tidak pernah menatap wajah yayang yang sentiasa lembut dan indah dalam bayangan mahupun mimpi abang. Namun, kekadang bayangan itu tertutup dan terhalang apabila mengingati cerita tentang rupa paras yang Yayang ceritakan dan tuliskan dalam mesej-mesej ringkas yang mengisi ruang kita. Adakah benar cinta di antara kita, ataupun hanya kita berdua bersama menzahirkan cinta demi menjaga hati masing-masing. Entahlah.

Semenjak dua menjak ini, sengaja abang kurang menghubungi yayang. Sesungguhnya ini merupakan antara langkah pertama abang dalam menguji segalanya. Menguji cinta yayang, dan juga menguji cinta abang. Namun, mengapa ujian ini bagaikan satu perjalanan yang amat mudah bagi abang. Setiap masa yang abang lalui tanpa mengingati, mahupun menghubungi yayang terasa bagaikan sesuatu yang biasa. Sejak akhir-akhir ini, abang mula merasakan yayang hanyalah watak sisipan dalam hidup abang. Bukan cinta, namun, tidak lain daripada kasih sayang dan persahabatan. Apa yang abang harapkan, begitulah juga perasaan yayang terhadap abang.

Yayang, sejujurnya hubungan yang wujud di antara kita, samada benar mahupun palsu merupakan suatu perhubungan yang silap dan menyalahi fitrah manusia. Abang amat jelas akan perkara itu. Dan, abang pun amat jelas akan pengetahuan yayang mengenai perkara itu. Sering sahaja dalan sujud dan doa abang meminta supaya nafsu yang hina dan sesat ini dibuang jauh daripada hati dan jiwa abang, jauh melewati dan merentasi sempadan fana sekelian alam. Sentiasa dalam air mata yang melewati pipi dan juga sendu yang mengiringi doa permintaan, pada Allah abang mohonkan petunjuk dan hidayah yang sebenar. Namun, pada masa yang sama, abang sering memikirkan akan perasaan yayang yang mungkin kecewa dengan peninggalan abang daripada dunia hitam ini, mahupun juga abang bimbang akan kedudukan yayang yang terus sesat dalam himpunan nafsu yang tidak mengenal apa-apa. Sesunggunya abang bagaikan bangau yang bingung. Ingin hinggap di belakang kerbau semula, namun, pada masa yang sama kaki akan juga terpalit lumpur yang kotor.

Yayang, sesungguhnya, tiadalah yang benar mengenai cinta kita. Abang dan yayang hanya membina mimpi dan angan-angan yang panjang. Tidakkan mungkin garam akan menjadi semanis gula. Maafkan abang yayang. Bukan maksud abang untuk melukai dan mendustai yayang. Namun, abang inginkan cinta yang lebih bermakna dan abadi. Abang ingin dekat kepada cahaya yang akan membantu abang mencari laluan yang benar dan membenarkan. Sudah jauh abang melewati lelorong yang kelam dan berkabut. Ingin pula rasanya hati abang melalui lelorong syahdu yang dipenuhi cahaya dan wangian syurga yang sejati. Abang ingin menebus segala kesilapan dan kekhilafan memilih. Abang ingin memiliki cinta agung. Cinta yang mampu membawa bahagia berpanjangan. Dalam setiap riwayat dan firman, ingin abang petik dan jadikan ia sebagai peneduh daripada panahan mata-mata iblis dan syaitan. Ingin abang kutip setiap ingatan dan pedoman sebagai benteng daripada tentera nafsu yang sentiasa dengan berkobar-kobar ingin merempuh jalanan taqwa dan iman. Sesunggunya Allahlah pemilik cinta agung, dan segala mimpi mengenai cinta dan kesetiaan abang hanyalah kepadanya. Tidak ingin abang mensia-siakan persinggahan ini dengan mengumpul racun dan juga penyakit. Ingin abang menjadi tabib sepanjang perjalanan ini agar abang mencapai destinasi dengan membawa penawar dan juga jasa yang dikenang.

Demi sesungguhnya, perit yang abang tanggung ini lebih hebat dari menelan racun. Tipu rasanya jikalau mengatakan bahawa abang tidak pernah bercinta. Namun, jujurnya, inilah suatu perhubungan cinta yang amat hebat pernah abang lalui. Sehari yang dilalui tanpa mendengar suara yayang sungguh menyepikan dan sunyi. Namun, abang kuatkan juga setiap indera dan rasa demi mengejar suatu yang pada nyatanya amat payah dan memeritkan. Yayang, mungkin juga abang akan menemui cinta lain dalam sepanjang usia ini. Namun, dalam doa yang berpanjangan abang impikan cinta yang halal dan sah pada pandangan duniawi mahupun ukhrawi. Sesungguhnya, cinta abang pada yayang bukanlah suatu permainan dan sandiwara melainkan suatu simfoni rasa yang amat hebat dan juga benar. Tetapi, kesedaran dan hidayah membawa abang ke suatu pelabuhan yang sungguh indah dan bercahaya. Ingin abang tinggalkan segala bebanan dan masalah di dalam bahtera yang compang. Ingin rasanya abang berehat di pulau itu tanpa sebarang kerunsingan dan dosa yang membelenggu diri. Biarpun ia bakal menjadi suatu istirehat yang panjang mahupun sesingkat kerdipan mata, memadailah sekiranya ia mampu melupakan abang pada dunia dan cintanya.

Yayang, benarkan abang menyimpuhkan nada kemaafan daripadamu. Benarkanlah abang bebas daripada belenggu kesalah dan juga kedukaan. Sungguhnya abang membawa diri yang penuh kesedihan dalam perjalanan meninggalkan dirimu. Sesungguhnya abang bakal menempuhi suatu kesunyian dunia yang ingin abang elak. Kehilangan yayang bagaikan merenggut jiwa kebahagiaan abang, merampas deria cinta dan sayang. Namun, demi sebuah cinta yang agung dan abadi, abang tempuhi sebuah jalan derita dengan harapan menemui sebuah kemanisan di penghujung jalan. Semoga, abang akan terus kuat dan hebat dalam menempuh perjalanan yang sungguh panjang dan jauh ini. Maafkan abang wahai insan yang amat daku cintai dan rindui; Amera!

Ini merupakan cerpen yang pertama saya tulis setelah bergelar Guru Pelatih di Institut Perguruan Kuala Terengganu atau kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato’ Razali Ismail

Kenangan di IPGM KBMM Lembah Pantai



Gambar dengan Ketua Hakim. Beliau merupakan presiden kelab pidato kebangsaan. Nama tak ingat coz sering panggil beliau dengan panggilan Datuk Syed



Ini gambar dengan Kiven, dari IPGM Keningau. Roomate jugak masa kat sana. Nice and happening guy with tagline "saya faham, saya terbuka."



Ini pula Ustaz Faiz. SO cute as I called him Ustaz Cute and sometimes Ustaz Pink. Very nice guy from IPGM TAA Pahang. Dia nak datang sini tak lama lagi untuk pertandingan nasyid. Can't wait to see him.

Saturday, August 15, 2009

Doa Tuan Guru Nik Aziz (Menteri Besar Kelantan Yang Tercinta.)





Doa Tuan Guru Nik Aziz

"Wahai Tuhan kami, berilah kami perasaan takut kepadamu yang dapat menghalang kami dari kemaksiatan, dan berilah kami ketaatan kepadaMu yang menyampaikan kami ke syurgaMu, dan berilah keyakinan yang memudahkan kami menghadapi bencana di dunia."

"Wahai Tuhan kami, berilah kami kenikmatan pendengaran, penglihatan, dan kekuatan tubuh badan selama hidup kami, dan jadikanlah dia mewarisi kami, dan berilah pembalasan kepada orang yang menzalimi kami. Dan tolonglah kami terhadap orang yang memusuhi kami. Dan janganlah Engkau jadikan bencana bagi kami dalam ugama kami dan janganlah jadikan keduniaan sebesar-besar cita-citanya kami dan tidak sampai batasan ilmu kami. Dan janganlah Engkau biarkan orang yang tidak menaruh kasihan balas terhadap kami, dapat menguasai ke atas kami."

"Wahai Tuhan kami, kami pohon perlindungan dengan nur kesucian Engkau dan berkat kebersihan dan keagungan sifat Jalal Engkau, dari setiap yang datang waktu malam kecuali yang datang dengan baik."

"Wahai tuhan kami, Engkaulah penolong kami, maka kepada Engkau kami mohon pertolongan. Wahai tuhan kami, engkaulah tempat kami menyelamatkan diri, maka kepada Engkaulah kami pohon selamat. Wahai Tuhan bagilah kelemahan dan kehinaan yang mana segala tengkuk pembesar dunia."

"Dan tunduk kepadaNya segala urusan dan kebesaran raja-raja Firaun, selamatkan kami dari penghinaan dan hukuman seksamu, ketika malam atau siang, ketika kami tidur atau berada di suatu tempat. Tiada Tuhan bagi kami melainkan Engkau demi kebesaran wajah Engkau dan kemuliaan kesucian Engkau, hindarkanlah kami dari segala kejahatan hamba-hamba Engkau, berilah kemudahan kepada kami dengan limpah kurnia dari Engkau wahai Tuhan yang maha pemurah."

"Wahai Tuhan sama ada Engkau lembutkan hati-hati mereka untuk kami sebagaimana Kamu lembutkan besi untuk Nabi Daud, dan Kamu menundukkan mereka seperti seperti Kamu tundukkan bukit bukau, gunung ganang untuk Nabi Sulaiman atau pun Kamu lipat balik rancangan jahat mereka supaya berpatah balik ke atas mereka sendiri , dan Kamu hancur leburkan pakatan mereka dan kacau bilaukan kumpulan mereka dan goncangkan pendirian mereka dan Ya Allah turunkan bendera mereka rapat ke bumi, Wahai Tuhan yang tetap hidup yang mentadbir urusan makhluknya, Wahai Tuhan yang mempunyai keagungan dan kemuliaan, sesungguhnya Engkau berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu."

"Ya Allah Tuhan kami, limpahkanlah rahmat ke atas junjungna kami Nabi Muhammad S.A.W yang dengannya dapat mengubati hati dan menjadikan penawar, menyihatkan badan yang menyembuhkannya, menjadi cahaya bagi pandangan mata dan menyinarkannnya dan limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan kepada keluarga dan para sahabat baginda sekalian."

Siapa Sahabat Anda

Apakah erti persahabatan yang sebenar? Adakah sahabat merupakan insan yang membuatkan kita gembira? Atau yang sentiasa mengundang kesedihan dan kegundahan? Apakah ertinya persahabatan? Mengapa sering sahaja orang mengatakan sahabat amat mempengaruhi hidup kita? Adakalanya juga mereka mengatakan kematangan amat diperlukan dalam memilih sahabat. Persoalan demi persoalan mulai timbul. Kita sering bermonolog. “Adakah dia seorang sahabat?” “Adakah benar dia sahabat?” “Atau, adakah hanya kenalan?” “Atau insan asing itukah sahabatku?” Pertanyaan ini sering sahaja menemui kebuntuan dan jawaban yang tiada kepastiannya. Mari kita kupas erti persahabatan yang sebenar, dari sudut pandang yang mungkin berbeza, dan mungkin membawa anda menerokai sebuah lembaran persahabatan yang baru; yang lebih bernilai.

1. Adakah sahabat sering membuatkan kita gembira?

Setiap insan senang sahaja bergembira dan melupakan segala kekecewaan. Ingin sahaja bergelak ketawa dengan bebasnya. Hadirnya seorang sahabat yang periang, ceria, ‘raja lawak’ dan banyak cerita memungkinkan perasaan ini menjadi realiti. Hati merasai sebuah kesenangan dan ketenangan yang diidamkan. Hadiah dan cenderahati yang dititipkan saat bersua sepastinya membuatkan diri berasa sungguh dihargai dan disayangi. Sungguh hebat rasanya punya sahabat yang sedemikian rupa. Setiap perbuatan kita akan disokong tanpa banyak soal.

Namun,

Persahabatan bukan sekadar ketawa dan gembira. Persahabatan merupakan hubungan telus dan ikhlas. Sahabat yang beriman, tidak membawa kepada kegembiraan tatkala hadir, namun, membawa kepada sebuah kesedaran. Hadirnya dia dengan lafaz bibir yang teratur dan bermakna mendamaikan jiwa. Sedikit ketawa membuatkan anda berdua dihormati. Ingat-mengingati satu sama lain adalah sangat penting. Di dunia, sahabat yang beriman tidak membawa kegembiraan, dan ketawa, kerana dia mengharapkan syurga Allah, dan dia berharapkan anda sebagai jiran tetangganya. Di dalam doa dia merafak kepada kesejahteraan anda, bukan dengan membuat lawak jenaka. Di dalam puisi dia lafazkan sebuah penghargaan untuk anda, bukan dengan berjenaka menceriakan anda. Dia tidak lokek untuk menyatakan sayang dan kerinduan kepada anda, bukan dengan mengajak anda berkareoke sepanjang malam. Dan, dia mengajak anda untuk berjemaah, untuk qiamullail, dan berzikir mengingati Allah, bukan mengajak anda bersukan sehingga meninggalkan solat berjemaah. Bukan mengejutkan anda untuk menonton bola sepak pada pukul dua atau tiga pagi. Dia tidak juga menjemput anda untuk menghafal lagu-lagu yang lagha melainkan zikir-zikir yang amat berguna. Namun, tatkala dia hadir, anda mengatakan dia kolot, anda mengatakan dia penyibuk, anda mengatakan dia alim-alim kucing, anda mengatakan “kubur masing-masing!”. Dan, dia hanya berlalu, mungkin hatinya terluka. Namun, anda tidak pernah cuba merasai perasaan seorang teman yang ingin membawa anda ke syurga Allah yang abadi. Jadi, siapakah sahabat anda?

2. Adakah insan yang sentiasa mengundang amarah dan dan ketidakselesaan?

Sepastinya anda tidak menyukai marah, bengang, dan suasana yang tidak selesa. Sahabat yang mendesak dan mengongkong amat tidak memuaskan hati. Perbuatan kita terbatas. Seumpama dia menjadi abang, kakak, atau ibu bapa anda pula. Menemui insan yang sebegini membuatkan anda rasa menyampah dan meluat. Persahabatan yang sebegini biasanya tidak bertahan lama. Mungkin hanya berlansung dua atau tiga bulan sahaja. Selepas menemui sahabat yang menepati citarasa, anda pasti akan meninggalkannya tanpa tertunggu-tunggu lagi. Atau, dia hanya akan menjadi tempat rujukan kerja kursus, tempat meluahkan masalah, atau melepaskan geram!

Namun,

Tahukah anda bahawa dunia ini penjara bagi muslim, dan syurga merupakan kebebasan yang mutlak. Salahkah jika si dia melarang anda merokok, berzina, membuka aurat. Apa juga suatu yang menyampah jika teman anda itu melenting tatkala anda menjadikan solat sebagai mainan, dan agama sebagai gurauan. Dia hanya inginkan yang terbaik buat anda. Dia inginkan syurga bersebelahan dengan anda, dia ingin berkongsi segala kebahagiaan dan kegembiraan di akhirat kelak. Namun, anda hanya melihat dari segi kebendaan, sedangkan hidup seharian menuju kematian. Anda mengatakan dia ria’ setiap kali dia menyeru anda supaya solat berjemaah, mahupun menghadiri majlis-majlis ilmu. Namun, betapa dia sabar dengan karenah anda kerana dia sedar bahawa hidayah milik Allah. Dalam doa dia nyatakan nama anda, dan doakan kebahagiaan anda. Tatkala anda menemui masalah dialah yang pertama berada di sisi anda sedangkan selama ini dialah insan yang sering anda herdik. Dari luar dia menampakkan ketabahan dan keceriaan, namun, di dalam hatinya tersemat sebuah kekecewaan yang bersulam dengan harapan yang tidak mungkin kecundang. Setiap kali dia bercerita mengenai agama, akhirat, dan kematian; anda dan rakan-rakan yang lain segera menunjukkan rasa bosan, bahkan lebih menyedihkan ialah mengherdik dengan sebuah perlakuan yang amat senang melukai hati. Sememangnya dia bukan teman bermain yang baik, tidak juga aktif bersukan seperti anda, tetapi dialah satu-satunya insan yang hadir tatkala anda memerlukan sebuah pengorbanan dan pertolongan. Sering anda mengatakan sahabat adalah teman berhibur. Sesungguhnya hiburan yang hakiki hanya dimiliki teman-teman yang memahami agama yang sejati; Islam.

Sidang pembaca sekalian.

Sehari-harian tidak lepas kita daripada bersua dengan insan-insan yang kita anggap sebagai sahabat. Pada usia remaja, sahabat-sahabat menjadi suatu pengaruh yang besar dalam kehidupan. Kita bagaikan telur di hujung tanduk; sahabat umpama tiupan angin. Jika angin lintang yang datang, jatuhlah telur, namun, jika angin yang bayu yang menyapa, selamatlah telur meniti tanduk ke tempat yang lebih selamat. Kita tidak pernah salah dalam memilih sahabat, namun kita sering salah dalam menilai sebuah persahabatan. Persahabatan yang kita impikan merupakan sebuah perhubungan yang sesuai dengan nafsu remaja; ingin bersuka dan gembira saban masa. Sahabat-sahabat yang hadir dengan nasihat agama kita pinggir sehingga mereka hidup dalam kelompok mereka sahaja, dan kita mengatakan mereka sombong. Sedangkan saat mereka ingin mendekati kita, sering sahaja kita lupa bahawa mereka punya perasaan yang bisa terguris, dan sebentuk hati yang bisa menangis. Mereka juga manusia seperti anda, semuanya sama; yang berbeza cumalah mereka sentiasa inginkan yang terbaik buat kita. Merekalah penyambung doa rahmat untuk kita, merekalah perayu hidayah untuk kita, merekalah yang menangisi dosa-dosa kita; merekalah yang kita gelar ria’!.

Tepuk dada tanya iman. Adakah teman bermain kita hari ini benar-benar sahabat, atau sekadar kenalan, atau sebatang susuk asing yang tidak pernah kita kenali.



Warkah Buat Para Pemimpin




Menjadi pemimpin bukanlah senang. Menjadi titik rujukan dan perhatian cukup merimaskan. Setiap perlakuan harus dijaga dengan seindah mungkin, percakapan dan tutur kata sering sahaja menjadi kira. Kesilapan yang kecil; yang biasa insan lain lakukan akan menjadi luar biasa apabila dilakukan oleh pemimpin.

Namun, perkara paling utama yang harus dijaga oleh seorang insan yang bergelar pemimpin ialah amanah yang terpikul di bahu kita. Amanah mungkin kelihatan sangat kecil bagi insan biasa, tetapi pada kaca mata insan yang mengerti, amanah kelihatan besar dan sungguh berat sekali. Insan yang mampu memikul amanah dengan baik merupakan insan yang amat kuat dan tabah.

Setiap amanah yang diberi samada diterima secara rela mahupun paksa haruslah dijagai dengan sebaik mungkin. Melaksanakannya memerlukan kesungguhan samada amanah itu ringan, kecil, besar, berat, diminati, mahupun tidak diminati. Semuanya memerlukan tanggungjawab yang unggul agar gelaran pemimpin yang diterima dan dipakai itu tidak tercalar. Menjadi tanggungjawab seorang pemimpin memastikan anak-anak pimpinannya sentiasa bersama dalam menjayakan sesuatu. Paksaan mungkin terpaksa dilakukan apabila berada dalam saat yang amat memerlukan. Sudah kita ketahui umum bahawa menjaga sepuluh orang manusia lebih susah daripada menjaga beratus ekor lembu. Lembu boleh dipukul sebat, namun, manusia amat janggal untuk diperlakukan yang sedemikian rupa. Oleh yang demikian, seperti yang diperkatakan, paksaan amat perlu jika keadaan memerlukan.

Letih, penat, DAN jemu, tidak dapat tidak senantiasa hadir dalam diri manusia. Saya, tuan-tuan, puan-puan, dan saudara saudari sekalian juga punyai rasa yang demikian juga. Namun, sebagai pemimpin, semua perasaan yang demikian haruslah diketepikan demi menjaga amanah yang terpikul. Jikalau diikut pada letih dan penat, nescaya tiadalah berkembang agama yang teragung; Islam pada hari ini. Cuba bayangkan jika Nabi Muhammad rasulillahualaihiwasallam mengikut perasaan letih, jemu, penat, dan sakit hati. Apakah mungkin kita semua dapat menikmati Islam pada hari ini? Namun dia Nabi, insan pilihan Allah. Kita ini manusia biasa sahaja! Ya, tidak saya nafikan kita ini hanyalah insan yang biasa-biasa sahaja, hamba sahaya, namun tidakkah pernah terdetik di dalam hati kita; pemimpin; untuk berkerja sebagaimana Rasulallah bekerja? Tidakkah ingin kita menjadikan Nabi yang Agung sebagai suri tauladan dalam memimpin? Tepuk dada, tanyalah iman!

Tuan-tuan dan puan-puan yang mulia. Sedarlah, tatkala dilantik menjadi pemimpin, kita menerima suatu ujian daripada Allah. Memimpin merupakan ujian, untuk menguji ketabahan, keikhlasan, kesabaran, kekuatan mental, kebijaksanaan, dan juga keimanan. Kita dilantik oleh Allah untuk menjadi pemimpin. Cuba bayangkan, di antara ramai insan lain, kenapa kita yang dilantik? Kenapa kita? Kenapa tidak orang lain? Sidang pembaca, sedar mahupun tidak, Allah yang melantik kita, Allah yang memilih kita. Allah Maha Mengetahui. Teringat saya akan surah al-Baqarah ayat 286 yang maksudnya:

“Allah tidak membebani seseorang itu, melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”

Kepada semua insan yang bergelar pemimpin. Sabarlah menghadapi ujian ini. Sesungguhnya ujian ini melatih kita untuk menjadi insan yang lebih baik, lebih sabar, dan lebih memahami. Bagi saya, bergelar pemimpin dengan pelbagai jawatan selama dua belas tahun, banyak mengajar saya menilai kaca dan permata, mengenal sahabat dan rakan, mengenal teman dan kawan. Sesungguhnya kekadang saya terkilan, terluka, dan berkecil hati. Namun, hakikatnya hidup ini bukanlah senang, bukanlah seindah wayang. Garapan hidup ini tidak pernah terjangka dan terfikir. Kekadang tersadung, terjatuh, saya bangun semula. Semuanya membuatkan hidup saya lebih bermakna dan berwarna warni. Pengalaman membuatkan hidup saya mempunyai isi dan lakaran yang indah. Kepada pengalaman pahit, kita jadikan ia pedoman menempuh jalan, kepada pengalaman manis, jadikanlah ia ubat ketika kita jatuh tersadung.

Kepada para sahabat yang punyai teman bergelar pemimpin, sokonglah mereka. Bantulah mereka. Andai kata mereka terjatuh, angkatlah mereka. Dakaplah tubuh mereka tatkala tangisan kekecewaan mengaliri pipi. Janganlah mengerdik tatkala mereka meluahkan perasaan melainkan menerimanya sebagaimana tugas seorang teman. Jangan biarkan sahabat-sahabat anda yang bergelar pemimpin jatuh keseorangan, dan bangkit sendirian, kerana suatu hari nanti kepada mereka jualah anda akan meminta pertolongan walaupun hanya sekeping nota.

Kepada semua sahabatku yang bergelar pemimpin, daku sentiasa bersamamu. Ranjau yang ada dihadapan sanggup daku tempuhi agar dikau selesa dan selamat. Biarlah kita luka bersama, kerana tidak sanggup bagiku melihat dikau keseorangan bertatih dalam perjalan yang cukup panjang. Demi Allah yang Maha Penyantun, daku amat mengasihi kalian.

Apa tanda sampin bermutu,
Sampin bermutu indah tekatnya;
Apa tanda pemimpin bermutu,
Pemimpin bermutu indah adatnya.

Sampin bermutu indah tekatnya,
Karya molek bersyarat tanjung;
Pemimpin bermutu indah adatnya,
Dunia dikelek akhirat dijunjung.

Sekian, segala yang baik datangnya daripada Allah yang Maha Sempurna, dan segala kelemahan adapun jua daripada saya; hamba yang serba kekurangan.

Assalamualaikum.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah insan-insan yang paling tinggi darjatnya, jika kamu insan-insan yang beriman.”

Surah al-Imran: ayat 139

Nukilah dan buah fikiran:
Mohd Nurhafizu Adha Bin Shamddin
15 Ogos 2009 bersamaan 24 Syaaban 1430H

Monday, August 3, 2009

Pertandingan Pidato Piala Datin Asariah

Assalamualaikum. Hari ini tidak dapat nak update banyak sangat coz semua gambar masih tak transfer dari fon and kamera. Insya Allah dalam sehari dua lagi. Tapi suatu yang nyata, pengalaman yang dikutip sepanjang pertandingan itu amat berguna dan tidak mungkin dapat saya lupakan sampai bila-bila. Alhamdulillah, semuanya manis-manis belaka. Perkenalan dengan teman-teman baru; Kiven, Amer, Faiz, Rauf, dan Shukri membuatkan hidup lebih berwarna warni.

Monday, July 20, 2009

Nizam The Cutest!!!



ini gambar Nizam dalam bas masa OTW balik dari Langkawi. COMEL SANGAT!!!!!!

Tuesday, July 7, 2009

Cutest birthday card


Ini merupakan kad harijadi yang saya terima daripada kawan-kawan saya. Memang ringkas, tapi cukup bermakna. Kata Aidil, Fuad yang buat kad itu untuk saya. TERIMA KASIH FUAD!!! Aku pun sangat sayangkan kau dan kawan-kawan yang lain. Semoga kita semua dirahmati Allah sentiasa, dan hubungan kita kekal abadi. Barakallahu Fikh.. mmmmmuuuahh!!!!

Konsep Kepimpinan

Konsep kepimpinan:

“ kepimpinan merupakan jentera atau daya penggerak daripada sumber dan alat yang terdapat pada sesuatu persatuan atau organisasi
(Saigon)

“ orang yang layak digelar pemimpin adalah orang yang dapat membuat keputusan yang kritis dan dapat bertindak dengan jayanya membawa perubahan yang besar dan tertentu dalam sesebuah organisasi.”
(Philip Selznike)

Berfikiran Kritis: tidak menerima sesuatu perkara dengan bulat-bulat. Menimbang baik dan buruknya terlebih dahulu. Mempunyai sifat mengkritik.

“ bertindak tanpa berfikir itu mengundang malapetaka.”
(Lidah Pendeta)

“ikut hati mati, ikut rasa binasa,ikut nafsu lesu.“

Kepentingan bersifat kritis:

• Mengelakkan perasaan tidak puas hati
• Menimbang sesuatu perkara dengan mendalam
• Mengelakkan daripada timbul perpecahan



Berfikir:

Manusia sering berfikir. Namun 90% daripadanya hanya berfikir terus yakni tidak mendalami sesuatu perkara itu dengan sebenar-benarnya dan kebiasaannya manusia sebegini adalah pengikut. 10% manusia berfikir secara kritis ataupun menggunakan logik akal yakni berfikir dan mendalami sesuatu perkara sehingga mendapat pucuk pangkalnya dan fikirannya tidak hanya bersifat setempat dan sementara. Manusia seperti ini cenderung untuk memikirkan akan masa depan kehidupan sejagat. Manusia sebegini biasanya adalah pemimpin. Mereka menggunakan fikiran dengan sebaik-baiknya tanpa hanya berfikir kepada sesuatu perkara sahaja. Mereka juga tidak pernah meminggirkan segala hal samada kecil mahupun besar. Bagi manusia yang berfikiran kritis, segalanya haruslah didalami dan difahami sepenuhnya ataupun dalam erti kata lain haruslah melalui proses kritikan sebelum dapat diterima pakai. Sesungguhnya merekalah golongan yang menghargai akal dengan sebaik-baiknya.

Hadis Nabi ada menyebut:
Jikalau engkau berakal maka utamalah engkau, jika engkau bersopan maka budimanlah, jika engkau berharta maka ramailah saudara mara, dan jika engkau takwa, maka beragamalah engkau.

Haruslah diingati juga bahawa kemajuan akal dan fikiran tidak sama sekali bergantung pada taraf umur dan fizikal. Ini dapat dilihat dalam banyak ceritera-ceritera sejarah contohnya Hikayat Singapura Dilanggar Todak yang mana telah menonjolkan kebijaksanaan seorang kanak-kanak lelaki yang bernama Hang Nadim yang mana telah dapat mencari akal atau jalan bagi mengatasi idea Sultan yang telah mengorbankan nyawa ramai rakyatnya.

Senu Abdul Rahman dalam penulisannya pernah menyebut:
Sesuatu masyarakat yang tidak menghargai akal akan hancur dan orang yang tidak menggunakan akal tidak akan maju.
(Revoluso Minda m/s 164-165)

Oleh yang demikian setiap inci akal dan fikiran yang telah dianugerahkan Tuhan kepada kita haruslah diguna pakai dengan sebaik-baiknya tanpa hanya bergantung pada nasib sahaja. Ramai manusia hari ini yang mengatakan kebijaksanaan akal fikiran adalah anugerah Ilahi dari turun temurun. Dengan menyatakan hal yang demikian, dengan jelaslah bahawa kejahilan mereka telah terserlah dengan jayanya. Namun tidaklah boleh kita mengejek mereka ini, mungkin tekanan yang dihadapi daripada masyarakat sekeliling, menyebabkan mereka terpaksa mencari alasan untuk menutup kejahilan yang akhirnya menonjol kejahilan mereka sendiri. Dan sesungguhnya pandangan segolongan begini haruslah diubah, golongan sebegini haruslah mempunyai anjakan paradigma agar tidak kekal terkapai-kapai dalam arus dunia yang berlumba-lumba bagi menjadi yang terbaik dalam segala hal. Namun, Allah telah menyebut di dalam al-Quran bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka yang mengubah nasib mereka sendiri. Oleh yang demikian jelaslah bahawa anjakan paradigma yang saya maksudkan sebentar tadi bagi membentuk minda yang kritis haruslah dibentuk oleh individu itu sendiri dengan bantuan daripada alam sekeliling tentunya.


Disediakan oleh: Nurhafizu Adha untuk Pemimpin Muda

Puisi Untuk Wanita


Wanita
Engkau pengisi hatiku
Engkau penghuni jiwaku
Engkaulah juga kekuatan dan daya
Tatkala aku tersungkur dan lemah.

Wanita,
Bukan aku cari paras terindah
Bukan juga harta yang mewah
Mahupun keturunan berdarjah
Cukup sekadar penguat jiwa yang lemah

Nyatanya
Diri ini terpesona
Melihat sinaran cerah
Menerangi hati dan rasa
Seorang insan bernama lelaki
Dengan iman yang dikau miliki
Teranglah jiwa bersinarlah hati

Wanita,
Sungguhpun kekadang aku terbayang
Juga mimpikan akan kesempurnaan,
Kejelitaan umpama Zulaikha
Kelincahan umpama Aishah
Sungguh setia bagaikan Khadijah
Hatimu kental setabah Fatimah
Sungguh penyayang bagaikan Siti Hajar
Namun aku sedar.

Wanita,
Aku tahu akan diriku
Bukanlah semulia Muhammad
Apatah lagi sekacak Yusuf
Bukan juga sebijak Khidir
Ataupun juga setabah Ayub
Mahupun memiliki kesabaran Ismail
Namun,
Sedaya diri dan jiwa
Cuba aku contohi mereka
Di dalam sujud dan doa
Di dalam hidup dan lena

Wanita,
Walaupun kesempurnaan bukan milik kita
Namun,
Cukuplah bagiku
Sempurna bagiku
Andai engkau mencontohi semua yang mulia

Monday, July 6, 2009

Terima kasih wahai Tuhanku

Terima kasih wahai Tuhanku
Yang sentiasa melimpahkan rahmatNya
Membenarkan aku menghadapMu Tuhan
Yang Maha Pengasih yang Maha Penyayang

Untuk bercakap denganMu Tuhan
Mengizinkan kuminta padaMu
Memuja memuji sepenuh hatiku
Memohon munajat padaMu Ya Rabbi

Terima kasih wahai Tuhanku
Yang sentiasa melimpahkan rahmatNya
Membenarkan aku menghadapMu Tuhan
Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Untuk bercakap denganMu Tuhan
Mengizinkan kuminta padaMu
Memuja memuji sepenuh hatiku
Memohon munajat padaMu Ya Rabbi

Tapi aku khuatir
Ketika menghadapMu
Tidak pula pandai beradab denganMu
Aku mula bimbang
Kalau aku derhaka
Dalam ketaatan
Bukan rahmat dariMu yang ku dapat
Tapi kukan dapat kemarahanMu
Ya Rabbal Alamin
Maafkanlah aku

Ya Rabbal Alamin
Maafkanlah aku

My Friends Wallpaper


My new friends


Ini teman-teman saya. Dari unit BM PJ KS. perkenalan yang tercipta baru sahaja berusia setahun jagung. kami masih dalam proses taaruf. namun, dalam proses ini bukanlah semudah yang diimpikan mahupun pernah dibayangkan. memahami manusia bukanlah semudah membaca buku panduan komputer mahupun alat eletronik yang lain. manusia merupakan makhluk yang paling kompleks penciptaannya. namun, semakin dalam kita memahami teman-teman serta kenalan yang hadir di sekeliling kita, semakin kita menghargai nikmat kehidupan yang sebenar.
Saya teringat kata-kata seorang ulama terkenal "Kamu akan menikmati hidup ini jika kamu punya teman yang soleh. Merekalah hartawan, dan bangsawan yang sebenar." Mengenali Rosa, Syafiq, Aidil (roommate saya), Adib, Nizam, Fuad, Shaifullah, Izzudin, Asni, dan Pok Loh membuatkan saya lebih mengerti akan hidup dan penghidupan. Sesungguhnya kehadiran mereka tatkala saya bersendirian membuatkan hati saya berbunga riang dan tawa. Namun, adakalanya hati saya terguris dengan beberapa sikap yang tidak menyenangkan hati. Namun, secepat istighfar meniti bibir, secepat itulah saya mengeri akan ketidaksempurnaan insan. Untuk mencari teman yang sempurna adalah suatu yang mustahil, dan tidak mungkin menjadi kenyataan.
Persahabatan merupakan sebuah wahana kehidupan yang membuatkan hidup kita berseri. Teman bicara, bersuka, dan bersedih itulah mereka. Maafkanlah seandainya ada wujud khilaf dan lupa. Dan, sebagai seorang sahabat, hargailah teman-teman anda sebagaimana anda ingin dihargai. Tidak salah memberi hadiah, ciuman, mahupun ucapan I LOVE YOU. Sesungguhnya mereka akan merasa lebih dihargai dan disayangi. Namun, biarlah setiap perlakuan dengan niat yang betul dan tidak menyeleweng. Binalah perhubungan yang dirahmati Allah, jadilah teman yang menyatakan sayang kerana Allah. Elakkan pergaduhan, namun, saling tegur-menegur tatkala adanya kesilapan. Berpeganglah pada iman, nescaya setiap perhubungan akan aman.
Kepada teman-teman BM PJ KS, dan setiap insan yang mengenali saya, saya doakan semoga dirahmati Allah dan hubungan kita akan terus berkekalan. Barakallahu Fikh.
Assalamualaikum...

Salam Perkenalan

Assalamualaikum semua. Semoga sebuah perkongsian kecil mampu kita ambil iktibarnya bagi mencipta suatu impak yang lebih besar

Blog Stats

SEKAYU

SEKAYU