There was an error in this gadget

Tuesday, March 30, 2010

Subuh 30 Mac 2010


Hari ini ana mengimami Solat Subuh. Terasa sangat kerdil untuk melakukannya, namun terpaksa kerana bilangan jemaah amat mendukacitakan. Bukan salah mereka, namun mungkin ulitan mimpi amat sukar untuk ditinggalkan. Ana tidak menafikan, dengan suasana pagi yang sejuk lagi dingin, serta dengan bisikan sunyi membasahi telinga, dengan mimpi yang berada dipuncaknya, agak sukar untuk bangkit dan melangkah dalam kegelapan menuju ke Balai Islam.

Kata Tuan Haji Zahari. Inilah azabnya bila kita meninggalkan kerja dakwah. Jangan pula dalam gerak kerja kita berniat untuk membaiki insan lain, namun ingatlah bahawa kita sedang mentarbiah diri sendiri. Ana sendiri amat tidak sempurna. Seorang asi yang sungguh rendah. Apalah mungkinnya bicara mampu menggoyahkan kemungkaran yang menyiati dunia.

Moga Allah, merahmati kita semua dan disebarkan hidayahNya untuk kita. Amin

Monday, March 29, 2010

Cepatlah Berubah Diriku

Aduhai diriku

Cepatlah berubah

Jangan lama menunggu

Jangan sering termanggu

Sungguhnya dunia ini sementara Cuma

Saat kesempurnaannya belum tercapai

Sudahpun ia hancur kerana tangan manusia

Diriku

Cepatlah berubah

Saatmu tidak terjamin

Langkahmu bukan selalu terjangka

Mungkin di depan suatu kejutan

Ketika halkummu menderam

Apakah mungkin taubatmu terlafaz

Diriku

Jangan mengikut nafsumu

Ia sesat dan menyesatkan

Dengarkan imanmu

Ia betul lagi benar

Aduhai diriku

Berubahlah

Berubahlah

Jangan sia-siakan usiamu di dunia

Sungguh ia sementara

Namun itulah ia

Penentu destinasi dirimu

Syurga atau neraka.

Cepatlah berubah diriku

Berubahlah diriku

Sunday, March 28, 2010

Will You Marry You?

Assalamualaikum.

Pernah tidak kita terfikir untuk berkahwin. Tentu kita senaraikan mengenai ciri-ciri muslimah/muslimin idaman hati. Tentang sikapnya yang sopan, bicaranya yang indah, langkahnya yang anggun, budi pekerti yang mulia, serta ibadah yang mantap. Ada juga yang menginginkan pasangannya yang mencintai Allah, dan tidak kurang juga yang mengukur cinta melalui zahir individu tersebut. Tentang kacak dan jelita, tentang rupawan dan HARTAWAN! Sungguh bermacam kriteria yang bakal muncul tatkala menyenaraikan kehendak kita.

Pernah tidak kita menyenaraikan sikap kita pula? Cuba dapatkan sehelai kertas dan sebatang pena, catat tentang kriteria yang ada pada diri kita. Jujur dengan diri sendiri. Lepas tulis terus padam, ataupun bakar terus kertas tadi. Rahsianya tersimpan antara kita dan Allah.

Lepas mencatat biografi diri kita, cuba bayangkan sekiranya kita; muslimin/ah menemui seseorang yang memiliki sifat yang sama dengan kita? Adakah kita akan mengahwini mereka? Ataupun dalam erti kata yang mudah, APAKAH SAYA AKAN MENGAHWINI SIFAT-SIFAT SAYA? Jikalau ya, maknanya saudara amat beruntung. Jikalau tidak, maknanya kita perlu berubah. Mula dari sekarang!

Ana semasa cuti ada senaraikan sikap-sikap ana, masya Allah. Harapnya ana tidak menemui insan sebegitu di dunia ini. Ana tekad untuk berubah, namun semuanya dengan izin Allah, dan semoga Dia izinkan ana. Ana pun tak sanggup untuk mengahwini diri sendiri, jadi mustahil untuk insan lain mengahwini ana. Untuk itu ana perlu berubah, bukan untuk kahwin sahaja! hik hik.. Untuk mengejar kepuasan hidup sebelum berjumpa dengan jalan kematian.

Moga Allah merahmati kita semua, dan diberi akan Dia kecintaanNya untuk kita rasa dan pupuk dalam jiwa yang tandus ini.

Amin

Wednesday, March 24, 2010

Cerianya Mata Hatiku 2






Cerita tentang mata hati yang sungguh indah. Memang ada yang nakal, namun itulah yang membuatkan hati kita tercuit untuk merungkai seutas doa buat anak didik yang bakal mengemudi agama Islam. Moga kita semua dirahmati oleh Allah subhanahuataala

Cerianya Mata Hatiku





Tuesday, March 23, 2010

PBS Hari Ketiga yang PERIT?

Subhanallah. Hari ni ana kena ganti tujuh masa. lima masa dengan 2 k (kelas paling hujung), satu masa dengan 1w, dan 1 masa lagi dengan 3 bestari. ana sungguh kagum dengan guru-guru yang melayan karenah anak-anak murid yang terkadang menguji perasaan amarah. moga Allah rahmati mereka.

Tadi ana ada jumpa dengan guru besar semasa sesi Ceramah Semangat Pagi kepada murid-murid tahun 6. terharu rasanya apabila guru besar suruh murid-murid bersalam dengan ana. itulah ana masa darjah enam dulu, nakal, dan sangat pemalas. moga Allah jadikan kejayaan buat SKMUB dalam UPSR tahun ini.

Semalam ana dapat tahu sekarang ini berlangsung pertandingan pidato zon timur di Kuala Lipis. terasa ingin sangat menyertainya sementelahan sahabat baik ana, dari IPKB; shukri juga turut menyertainya. perasaan bersaing dengan teman baik memang indah, bukan hendak menunjuk, tapi memang lebih terasa kemenangannya.

Ya Rabbul izzati. Rahmati daku, ibu bapa daku, teman-teman daku, serta muslimin dan muslimat samada yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Amin.

Monday, March 22, 2010

Hari Kedua; Pengalaman dan Pengetahuan Diuji

Hari kedua.

Pagi-pagi lagi saya kena uruskan murid-murid 1 Wawasan bagi subjek PJ. Dengan lelakinya bising hendak bermain bola, dan perempuannya pula sibuk duk kata panas dan ada yang lain nak main sambut-sambut bola. Banyak ragam juga budak-budak ni. Namun, alhamdulillah, dengan sedikit pengetahuan yang ada, dapat juga tangani dengan baik. senaman peluk balak nampaknya jadi bahan penarik hari ni.

Sekarang baharu saja usai daripada kelas 5 Bestari. kena tiga masa, maknanya satu jam tiga puluh minit lah. dua masa pertama saya ajar bahasa inggeris. ceritakan sedikit pengalaman dan sokong mereka untuk bercakap inggeris dalam khalayak ramai. banyak sekali yang malu, ramai juga yang nampaknya ada potensi. moga Allah tuntun mereka ke jalan yang terbaik. masa yang ketiga saya tukar kepada subjek bm. ajar mereka mengenai intonasi dan laras bahasa. sekadar biar mereka tahu bahawa bahasa memainkan peranan yang amat penting. hati berbunga bila ada student yang datang dan beritahu "seronok belajar dengan cikgu". saya hanya senyum; melambaikan tangan, memberi salam dan beredar.

seronoknya.

Allah, bantulah daku dalam setiap langkahku. amin

Sunday, March 21, 2010

PBS; Pengalaman Baru Sekali hik..hik..



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Jadi cikgu bukan senang rupanya. Dulu masa belajar saya sering memperlekehkan cikgu-cikgu. Kata cikgu tak penat. Murid yang penat; kena buat kerja sekolah yang menimbun.

Tapi sekarang saya bakal cikgu. Hari ni hari pertama PBS. Hati berdebar-debar pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah; SK Manek Urai Baru. Sekolah pertama; di sinilah saya menuntut ilmu bermula dari PRA sehinggalah darjah enam. Pengalaman dan ingatan lapan tahun yang lalu berpinar dalam ingatan. Melihat wajah guru lama yang kian pudar, dahulunya anak dara kini anggun bergelar isteri dan ibu. Ada rasa bangga pada wajah mereka, mungkin puas hati kerana anak didik yang nakal ini berjaya juga akhirnya. Alhamdulillah. Kejayaan saya tidak ke mana tanpa jasa cikgu-cikgu yang mendidik saya mengenal ABC, 123, dan warna-warna dunia.

Teringat masa tahun enam. Saat UPSR makin hampir. Air mata Teacher Nurul mengalir laju mengenangkan kami anak-anak kampung yang buntu dalam Bahasa Inggeris. Namun, keputusan UPSR menyapu laju air matanya. Sungguhpun aku hanya mendapat B, aku gembira melihat Teacher Nurul tersenyum.

Cikgu Habshah menggamit kenangan. Saat diri yang bersuara gemersik ketika itu diajarnya untuk bersyair. Sungguhpun payah, saya gagahkan jua demi mewakili sekolah. Alhamdulillah, sungguhpun tidak berjaya mendapat johan, tempat ke tiga pun jadilah. Ha ha.

Ramai lagi cikgu yang tidak mampu saya senaraikan. Ramai juga yang telah berpindah, ada pula yang telah kembali ke rahmatullah. Moga diberkati oleh Allah akan roh mereka yang mulia itu.

Sebuah puisi untuk guru-guru; Cendekiawan Dunia.

Siapa itu guru?
Gajinya tidak besar.
Kata orang kerjanya ringan.
Masuk pagi, petang baliklah.
Gaji guru hanya cukup makan.
Rumah besarpun banyak yang meminjam.
Guru itu tidak ada apa-apa.

Siapa itu guru?
Kerjanya mudah.
Tidak perlu berjemur panas.
Tidak perlu susah-susah.
Cuti banyak sekali.
Duduk rumah goyang kaki.
Guru kerja yang semulajadi.

Itu kata orang biasa

Ini kata orang guru

Gaji kami kecil
Tapi murid kami ramai
Kami punya ilmu
Kami jadikan mereka kaya
Cukuplah kami dengan kebahagiaan mereka.

Rumah kami hasil meminjam
bukan kami hendak banggakan
namun di situ kami garapkan cabaran
kepada murid kami jadikan teladan
nak rumah besar
kena belajar pandai-pandai.

Hari cuti kami cuti
bukan kami goyang kaki
buku menimbun kami tandai
anak-anak ramai lagi
anak murid makin bertambah
buku-buku meningkat tinggi
masa cuti kami jarang yang basi.

Ini kata saya.

Guru itu kerjanya memang senang.
Itu bagi guru yang lenang.

Guru,
Dialah karyawan melahirkan seniman.

Guru,
dialah ilmuan melahirkan cendekiawan.

Guru,
dialah atlet melahirkan olahragawan

Guru,
dialah hartawan melahirkan jutawan

Guru,
dialah jurutera melahirkan seribu bangunan

Guru,
dialah perawat melahirkan ahli perubatan

guru,
biar apapun kerjaya di dunia
dialah akar di sebalik pohon
tidak kelihatan
namun di situ asalnya kekuatan.

kerana dia; guru
Cendekiawan yang mendidikan sejuta insan

Terima Kasih Cikgu. Moga dirahmati oleh Allah subhanahuataala. Insya Allah.


Friday, March 5, 2010

Al-Fatihah


Sebuah pemergian bukanlah untuk ditangisi namun diambil iktibar akan hidup ini yang hanya merupakan persinggahan dalam menuju dunia yang abadi; akhirat. al-Fatihah buat Nenda kepada saudaraku Shahfalah. Moga nenda saudara senantiasa berbahagia dengan darjat yang mulia di samping rahmat Allah yang berkekalan di akhirat sana.


Sebuah Picisan Hati

Saya baru sahaja usai membaca sebuah buku yang meruntun jiwa; Bidadari Dari Timur, karangan Datin Tuan Sabariah dan disusun oleh Ili Sarah Annual Bakri. Bagi saya buku tersebut sangat menarik dan menguntumkan beribu manfaat yang sepastinya memutikkan kepuasan membacanya. Bukan sahaja kerana bahasa indah yang menjadi mainan wacana tulisan, namun juga kerana isinya yang penuh dengan wadah hikmah.

Indahnya hidup jika punya teman yang amat memahami akan isi hati. Indahnya berteman ketenangan saat dunia ini bergelojak dengan gelora yang membadai. Alhamdulillah, ukhwah saya dan kimie kembali bertaut setelah setahun membiarkan diri masing-masing untuk bermuhasabah. Sehebat manapun insan, dia tetap memerlukan teman dan sahabat. Sebagaimana hadirnya Abu Bakar as-Siddiq dikala Rasulullah sendirian, adanya Ali tatkala baginda kebuntuan, tibanya Umar di saat Nabi Muhammad memerlukan bantuan, dan wujudnya Usman tatkala kekasih Allah itu perlukan kekuatan, begitulah juga diri saya yang lemah lagi hina ini.

Indah hidup Tuan Guru Nik Aziz kerana bunga miliknya berkembang kuntum kekal mewarnai latar taman yang berubah, apakah masih ada bunga putik yang menunggu kembangnya dengan setia sedangkan bunga yang lain sedang enak diulik kumbang yang berwarna. Apakah tega bunga meninggalkan rumpun, dan apakah kekal indahnya bunga di halaman rumah sedangkan dirinya layu tatkala rumpun mulai memekarkan bunga yang baru.

Ya Allah. Kurniakan daku penyejuk mata yang menjadikan dunia ini indah untuk mengejar akhirat yang sepastinya jauh lebih indah.

Amin

Blog Stats

SEKAYU

SEKAYU