There was an error in this gadget

Monday, November 16, 2009

Permaisuri Jagalah Daulatmu


Semalam saya menyampaikan ceramah yang bertajuk "Perhiasan Terindah Dunia". Khas ditujukan buat kaum hawa yang sangat saya hargai. Memikirkan harga mereka yang kian jatuh pada dagangan mata kaum lelaki durjana membuatkan hati saya tersentak untuk bangun dan berbicara mengenai kebejatan yang sungguh mengusik jiwa. Ramai muslimah yang hadir. Alhamdulillah.


Tidak dapat pada masa ini untuk saya menceritakan sinopsis dengan lebih panjang memandangkan masa yang dikekang dengan kerja-kerja akhir sebagai SUAK Biro Agama di IPG ini. Sungguhpun begitu, pada masa yang akan datang saya akan cuba untuk menulis mengenai apa yang saya sampaikan semalam. Insya Allah.


Namun pesan saya buat muslimah anggun, jagalah dirimu sebaik-baiknya. Jangan biarkan kedaulatanmu tercalar kerana hanyut melayan kehendak nafsu buas insan-insan keparat. Andai kata hati ingin memutikkan cinta, carilah insan yang mampu membimbingmu menuju jalan yang diredhai oleh Allah. Tanyalah insan tersebut mengenai sebab cintanya kepadamu. Kerana hartakah? Kerana rupakah? Atau kerana iman dan harga diri? Jikalau kerana iman dan harga diri, mintalah pada insan tersebut supaya menjagainya untukmu. Minta padanya supaya jangan memurahkan harga dirimu, pohon pada si dia agar jangan cuba menguji keimananmu. Namun, sebaik-baik tempat memohon petunjuk adalah kepada Allah yang Maha Pengasih kerana hanyasanya pada Dialah kita hambaNya memohon agar segala kekusutan yang melanda jiwa.


Muslimah. Saya bukanlah muslimin sejati kerana saya mampu bercakap dan menasihati muslimah. Namun, saya hanyalah insan biasa yang cuba untuk menjadi yang terbaik buat Pencipta saya, Rasul saya, Agama saya, keluarga saya, dan juga insan-insan kecintaan saya. Doalah kepada saya agar dapat meniti hidup dengan iman dan takwa dalam perjalanan mengetuk syurga Allah yang Maha Indah.

Saturday, November 14, 2009

Puisi Untuk Mata Hatiku



Ma,

tabahnya engkau melalui liku-liku ini,

tabahnya engkau meredahi gelora ini,

tabahnya engkau meredah ranjau duri ini

tabahnya engkau merenangi lautan duka ini,

walau kekadang kau tersadung dalam tangisan.

Ma,

tabahnya bukan seketika,

tabahnya bukan hangat yang sementara,

tabahnya bukan setanding fikiran,

tabahnya bukan sekadar mimpi,

tabahnya kekal dan setia,

walau kekadang digugat rasa

Ma,

tabahnya tidak akan kuyup dalam kebasahan,

tabahnya tidak akan kering dalam ketandusan,

tabahnya tidak akan hanyut dalam arus gelombang

tabahnya tidak akan tumbang dalam ribut dan taufan

kerana,

tabahnya berkudrat iman yang utuh,

tabahnya bertunjang sabar yang benar,

tabahnya berakarkan takwa kepadaNya.

Tuhan,

rahmatilah Ma,

kerana dugaanMu diterimanya redha,

kerana dugaanMu diterimanya dengan pasrah,

kerana dugaanMu diterimanya dengan zuhud,

kerana dugaanMu diterimanya dengan sabar.

Tuhan,

ampuni dosa Ma,

kerana dia amat berjasa kepada kami,

kerana dia amat setia dengan kami,

kerana dia amat memahami kami,

kerana dia amat menyayangi kami,

kerana dia amat menghargai kami,

kerana dia amat menyanjungi diriMU.


Puisi ini didedikasikan untuk Ma yang amat yang amat daku cintai dan kasihi. Pada Allah daku rafakkan rimbunan doa keampunan dan rahmat. Hanya untuk Ma

Thursday, November 12, 2009

Perhiasan Terindah Untuk Duniaku


Masih tak habis-habis perangai sekolah rendah biarpun sudah berjanggut. Kadang-kadang memang melucukan namun mual pun ada juga.

Inilah yang a

ku hadapi saban hari. Karenah kawan-kawan yang mewarnai kanvas hidupku yang masih kekurangan. Soal jodoh menjodohkan, gosip menggosip bagaikan resam di alam belajar. Namun, terkadang aku sedar ia hanya gurauan, dan terkadang aku bimbang ia membawa kesan kepada aku mahupun insan lain yang terlibat. Hahaha

Kawan-kawan

Dunia merupakan hiasan, dan sebaik-baik hiasan ialah wanita (isteri) yang solehah. Inilah merupakan kata-kata Nabi Muhammad (pbuh).

Analogi daripada kefahaman saya mengenai hadis di atas ialah wanita merupakan pelengkap kepada kepada kediaman lelaki di dunia mahupun akhirat yang mana Allah kurniakan bidadari di sana yang cantiknya tidak pernah terbayang pada mata mahupun kotak fikiran.

Perhiasan dan

kehendak dalam memilihnya merupakan suatu kondisi jiwa yang tidak mampu dibuat oleh orang lain samada kawan-kawan, sahabat, teman, bahkan ibu bapa sendiri. Sememangnya ramai yang mengatakan bahawa pilihan ibu bapa merupakan pilihan yang terbaik, memang tidak saya sangkal. Namun, adakah perhiasan pilihan ibu bapa walaupun harganya jutaan ringgit menepati konsep kediaman kita, atau lebih tepat menepati kehendak jiwa kita.

Sesiapa pun mampu memberi, menghadiahi kita dengan bermacam perhiasan untuk menambah rias kediaman kita. Namun, seindah-indah hiasan, dan tentunya yang paling membawa makna adalah hiasan yang kita pilih, beli, dan jagainya sendiri. Dan, semestinya akan meluap rasa sayang akan perhiasan tersebut jika perhiasan tersebut hanya satu di dunia ini dan hanya dimiliki oleh kita. Ramai orang melihatnya, namun hanya anda seorang yang memiliki dan menyentuhnya sepenuh belaian. Tentunya kegembiraan yang tidak terucap dengan kata-kata.

Saya sering dit

unjuk rakan-rakan dengan perhiasan-perhiasan yang sungguh indah, cukup memikat hati. Namun, sehingga kini belum juga berjumpa dengan perhiasan yang memikat hati, dan mampu membuatkan hati membujuk rindu untuk memilikinya. Mungkin saya cerewet; kata kawan-kawan. Namun, saya bukan begitu. Cuma saya belum yakin adakah perhiasan yang saya lihat sebelum ini mampu menepati konsep kediaman yang saya miliki. Mereka mungkin indah, cantik, mahal, tulen, namun, apakah jiwa perhiasan itu mampu memasuki jiwa kediaman saya dan bersatu di dalamnya sebagai sebuah rasa yang mendamaikan jiwa.

Namun, saya juga menyimpan bimbang. Suatu hari nanti saya mungkin menemui perhiasan indah yang saya idamkan. Apakah mungkin pada ketika itu mampu saya jagainya dengan sepenuh jagaan dan perlindungan. Dan, dalam keindahan yang d

imiliki, adakah ia sebenarnya sudah pernah dimiliki sepenuhnya oleh insan-insan lain? Kebimbangan sebegini membuatkan saya buntu dalam pencarian. Hasilnya, biarlah saya mencari perhiasan abadi iaitu cinta Allah terlebih dahulu. Kerana cinta Allah hanya dimiliki oleh insan yang mencari cintaNya dan Dia tidak pernah akan khianat akan kesetiaan seorang kekasih. Apapun, perjalanan akan menjadi lebih indah andai ada yang sudi menemani perjalanan tersebut agar tidaklah saya jatuh tanpa ada pendokongnya. Sesungguhnya Allah mengerti akan niat hati saya.

So kawan-kawan. Jangan gosip-gosip lagi.

Perhiasan untuk kediaman saya hanya saya yang tahu untuk memilihnya kerana hanya saya yang tahu konsep kediaman hati saya. Hik hik.

Assalamualaikum.

Sunday, November 8, 2009

Wahhabi; Sunnah Kita Semua Sama

Sekarang ini sungguh hangat mengenai suatu isu yang cukup menyentuh hatiku. Saya pengikut wahhabi walaupun terpaksa mengamalkannya secara sembunyi. Bukan kerana saya takut, namun kerana saya menyimpan rasa damai yang berkekalan.

Dewasa ini tuduh menuduh di antara wahhabi dengan sunnah wal jamaah semakin hebat diperdebatkan. Namun, sungguh malang. Perdebatan berlaku kerana ideology yang berbeza dan hanya menggunakan pendapat akal semata-mata. Al-Quran dan Sunnah yang menjadi rujukan agung ditinggalkan sewenang-wenangnya. Apa perdebatan ini akan terus berlangsung sehinggalah antara dua yang bergaduh ini salah satunya memulakan perang dan yang satu hangus kebinasaan. Menang jadi arang, kalah jadi abu, dan yang musyrik bergembira, kerana dengannya mereka membakar makanan yang lazat-lazat.

Mengapa hal yang ini terjadi. Saya yang muda ini ingin menjelaskan sahaja, namun kepada pendapat tualah yang mereka mahu terima atau sebaliknya. Kerana menjadi adapt dunia hari ini, pendapat si kecil hanyalah kecil, pendapat si besar, dipandang besar biarpun akalnya senipis kulit bawang.

Wahhabi mahupun ahli sunnah wal jamaah kedua-duanya ada silap dan ada betulnya. Saya dan rakan saya (ahli sunnah) juga ada khilaf dan baiknya. Itu sememangnya adat dunia dan kita hambaNya yang maha lemah lagi kerdil. Wahhabi merupakan suatu wacana perpaduan tatkala kerajaan Islam di Turki dan di Tanah Arab mulai berpecah. Ramai yang menyatakan bahawa wahhabi punca Turki Uthmaniyyah jatuh rebah. Namun, jarang yang bertanya kenapa empayar agung itu jatuh dengan sebuah kefaham. Jawapannya telus dan mudah, kerana empayar itu bagaikan bola berisi angin. Luarnya nampak kukuh, namun dalamnya amat rapuh. Wahhabi telah melihat kepincangan ini dan ingin memperbetulkan keadaan agar kembali menjadi tenang serta mengikut syariat Islam yang sebenarnya. Khurafat dan bidaah berleluasa. Pemimpin bukan lagi memimpin kerana Allah, namun kerana dirinya sendiri, pemimpin tidak fikir untuk menyenangkan rakyat, namun memikirkan cara mencari kekayaan untuk dirinya sendiri. Wahhabi bangkit dan menyemai jihad untuk membangkitkan syiar Islam yang kian pudar. Apakah mungkin ingin sahaja kita melihat, dan menonton Islam di saat-saat dia merayu bantuan kita. Apa maknanya kita mengatakan cinta pada Allah dan RasulNya, namun kita bakhil saat seruan Islam memanggil-manggil. Apa sanggup kedua mata ini hanya melihat dan tidak berana berbuat apa-apa hanya kerana kerajaan khurafat itu berbayangkan struktur khulafak yang kian bobrok? Begitu yang diinginkan pihak yang lain???? Tepuk dada tanya iman!

Kami wahhabi bukanlah seburuk yang anda sangka. Memang kami tidak nafikan ada antara kami yang menyinggung perasaan insan-insan pengikut ahli sunnah wal jamaah. Namun, apa mungkin dalam segantang beras tidak ada melukut. Dan apakah mungkin kerana melukut, segantang beras dicurahkan? Pihak tuan juga ada yang menuduh kami kafir, kufur, murtad, dan terpesong daripada agama Islam? Apa ini?! Kami meyembah Allah, taat pada Rasulullah, meneladani hadis-hadis baginda, mentauladani al-Quran. Apa kami kufur? Apa kami ingkar? Apa kami murtad? Saya sungguh sedih dan terkilan membaca akhbar yang tidak habis-habis menyatakan bahawa wahhabi merupakan sesat dan membahayakan umat Islam. Namun, cukup saya hairan. Kami ini yang Islam ditindas, namun bangsa-bangsa lain yang jelas kekafirannya, kekufuran, dan kemurtadannya dibiarkan bebas leluasa melebihi burung-burung di langit. Sehingga hari ini, tidak pernah sekali saya membaca akhbar, mahupun majalah arus perdana mengenai bahaya agama Kristian, Hindu, Buddha, Yahudi, Sakai, Sikh, dan semacam lagi kekafirannya. Tidak pernah! Namun, agama Islam yang penganutnya menolak amalan-amalan yang tidak dibuat oleh Nabi Muhammad sallallahualaihiwasalam, menolak apa yang tidak tercatat dalam al-Quran; bidaah dan khurafat ditindas dengan sehabis-habisnya? Apa ini? Kegilaan apakah ini? Kebodohan apakah ini?

Tuan-tuan dan puan-puan.

Kita sesama Islam bergaduh bagaikan suatu yang adat dan kemestian. Sebagaimana sunni dan syiah yang tidak pernah padam api kemarahannya. Cuba kita perhati apa kesannya? Umat kita dipandang rendah melebihi hinanyadedebu kaki seorang hamba yang tidak ada agamanya. Apa tidak kita mengambil iktibar daripada hal yang ini? Apa ingin kita melihat pertumpahan darah yang bakal sekali lagu mencipta sempadan di antara kita yang digelar bersaudara. Mengapa tidak kita duduk semeja dan mencari jalan penyelesaian bagi membebaskan negara-negara Islam daripada belenggu penjajah, mengapa tidak kita menggunakan pendapat yang banyak untuk menukar ganti pemimpin yang bersangatan dalam takutnya dia untuk membantu negara-negara Islam yang merayu simpati. Pekakkah kita akan panggilan sayu dan pilu saudara-saudara kita di seluruh dunia? Butakah kita daripada melihat al-Aqsa yang dicabul oleh rabbai-rabbai Yahudi celaka? Buta?! Pekak?! Gila?!

Tidak mengiralah samada saya wahhabi, dan tuan-tuan sunnah wal jamaah mahupun sunni. Kita masih lagi Islam, bertuhankan Allah, berasulkan Nabi Muhammad, merujuk kitab al-Quran, berpegang pada hadis. Kita masih lagi sama. Sama-sama mencari redha Allah, mengejar syurga dan pengampunan, meminta kejauhan daripada neraka. Kita sama, tujuan kita sama. Kita menunaikan haji pada tempat yang sama, tarikh yang sama, syarat-syarat yang sama. Ihram yang kita sarungkan pada batang tubh juga sama warnanya. Kita sama-sama berjalan menuju Arafah, sama-sama melontar dengan niat membuang unsur-unsur kejahatan dalam diri. Kita bercukur juga sama-sama meninggalkan rambut. Kita hanya berbeza dalam mengamalkan perkara-perkara sunat. Itu sahaja. Apakah kerana perbezaan sekecil itu, kita melatah dan mengkafirkan sesama sendiri.

Tepuk dada tanya iman!

Puisi Untuk Cintaku


Menyayangi seseorang bukan bererti selalu kita bercakap dengannya

Menyayangi seseorang bukan bermakna kerap kita bersamanya

Namun,

Sayangilah seseorang sebagaimana menyayangi dirimu sendiri

Biarkan dia bersendiri sebanyak kamu ingin sendirian.

Bercakaplah dengan dia sekadar perlu

Namun,

Sebaik-baik diam adalah ketika kamu ingin bercakap

Dan

Seburuk buruk diam adalah tatkala kamu diingini untuk bercakap.

Di situ kamulah guru

Tegurlah dia sekadar cuma

Namun,

Seelok-elok teguran adalah ketika dia belum kesilapan

Dan

Seburuk-buruk teguran adalah saat dia sudah kesilapan

Di situ kamulah bapa dan ibu

Diamlah ketika dia mahu kamu diam

Senyaplah selagi dia inginkan kesunyian

Bisulah selagi dia inginkan kebisuan

Butalah selagi dia inginkan kebebasan

Pekaklah selagi dia inginkan keleluasaan

Namun,

Jangan pergi sebelum dia beriman

Jangan undur sebelum dia berpedoman

Jangan putus asa sebelum dia bertauladan

Jangan!

Kerana saat itu

Kamulah insan yang bergelar teman.

Tuesday, November 3, 2009



Nukilan ini untuk para wanita yang ingin mengerti akan kehendak jiwa seorang lelaki bagi wanita yang ingin menjadi suri hati dan jiwanya.

Warkah Cinta Untuk Allah

Salam ya uhibbu akhi. Semalam; 2 November 2009 jam 9 - 12.30 tgh/mlm diadakan suatu ceramah yang bertajuk Mencari Kemanisan Iman yang disampaikan oleh Taman Quran Hadiiqatul Consultant. Antara penceramahnya ialah Ustaz Mohamad Mizan Bin Mohd Nor.

Ceramah yang disampaikan sangat meruntun jiwa sehinggakan tidak saya menyedari air mata berderai membasahi pipi, sehinggalah sendu membatasi perlakuan jiwa. Kata-katanya yang mengingatkan tentang dosa, serta khilaf yanf pernah saya lakukan membuatkan hati terasa sungguh kerdil dalam meminta ampun pada Allah yang Maha Pengampun. Terasa diri sungguh hina di hadapan Allah kerana menagih nikmatnya sedangkan hidup penuh dengan perbuatan yang mengundang kemurkaannya.

Pada pertengahan ceramah tatkala hanya sendu yang mengisi ruang bicara, dan juga reruang Dewan Ungku Umar, al-fadhil ustaz meminta kami untuk menulis suatu warkah kepada Allah subhanahuataala. Inilah warkah yang saya utuskan kepada Allah ya rabbi.

Ya Allah,
ampunkan daku atas dosa-dosa yang telah daku lakukan.
Ya Allah,
Aku sayang sangat padaMu. Sayang sangat!
Aku sayang sangat padaMu,
tapi aku tak taat atau jadi yang terbaik.
Allah, ampunkan aku!

Ampunkan daku Ya Allah,
matikankanlah segala nafsuku yang sesat,
matikanlah segala perkara yang mampu menghalang aku ke syurga.
Allah!Allah! Allah!

Hanya Dikau tempat aku mohon ampun.
HanyaMu Ya Allah.
Allah ampunkan aku.
Kuatkan daku.
Jangan biarkan daku bertatih,
jangan jatuhkan daku dalam perjalanan ini. Kuatkan daku.
Kurniakan daku kasih sayang dan ketaatan padaMu.

Ya Allah,
rindunya aku padamu.
Rindu yang tidak mungkin dapat aku ungkap dengan kata,
aku rindu sangat-sangat.
Terimalah taubatku.
Jadikan daku kekasihMu!
Jadikan daku kekasihMu!

Allah.
Bantulah daku dalam mencari redhaMu.
Bantulah daku Ya Allah.
Jauhi daku dari maksiat.
Jangan biarkan daku bertatih dalam perjalanan panjang menuju agamaMu.
Jagailah daku.
Peliharalah daku.

Aku ini insan yang lemah.
Kau Maha Mengetahui akan kejahilan dan dosa-dosaku.
Disebalik iman dan taqwa yang senantiasa aku cari,
sebenarnya aku sentiasa melakukan dosa.

Terimalah daku sebagai kekasihMu.
Terimalah daku sebagai hambaMu.
Redhalah Dikau atas diriKu
sebagaimana yang didambakan dan yang selalu daku pohon.

bait-bait seterusnya merupakan bicaraan peribadi saya dengan Allah yang tidak dapat saya pamerkan disini. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar dari apa yang saya pamerkan. Dan sungguh rugi insan-insan yang gagal menghadiri ceramah semalam.

Blog Stats

SEKAYU

SEKAYU