Saturday, August 15, 2009

Siapa Sahabat Anda

Apakah erti persahabatan yang sebenar? Adakah sahabat merupakan insan yang membuatkan kita gembira? Atau yang sentiasa mengundang kesedihan dan kegundahan? Apakah ertinya persahabatan? Mengapa sering sahaja orang mengatakan sahabat amat mempengaruhi hidup kita? Adakalanya juga mereka mengatakan kematangan amat diperlukan dalam memilih sahabat. Persoalan demi persoalan mulai timbul. Kita sering bermonolog. “Adakah dia seorang sahabat?” “Adakah benar dia sahabat?” “Atau, adakah hanya kenalan?” “Atau insan asing itukah sahabatku?” Pertanyaan ini sering sahaja menemui kebuntuan dan jawaban yang tiada kepastiannya. Mari kita kupas erti persahabatan yang sebenar, dari sudut pandang yang mungkin berbeza, dan mungkin membawa anda menerokai sebuah lembaran persahabatan yang baru; yang lebih bernilai.

1. Adakah sahabat sering membuatkan kita gembira?

Setiap insan senang sahaja bergembira dan melupakan segala kekecewaan. Ingin sahaja bergelak ketawa dengan bebasnya. Hadirnya seorang sahabat yang periang, ceria, ‘raja lawak’ dan banyak cerita memungkinkan perasaan ini menjadi realiti. Hati merasai sebuah kesenangan dan ketenangan yang diidamkan. Hadiah dan cenderahati yang dititipkan saat bersua sepastinya membuatkan diri berasa sungguh dihargai dan disayangi. Sungguh hebat rasanya punya sahabat yang sedemikian rupa. Setiap perbuatan kita akan disokong tanpa banyak soal.

Namun,

Persahabatan bukan sekadar ketawa dan gembira. Persahabatan merupakan hubungan telus dan ikhlas. Sahabat yang beriman, tidak membawa kepada kegembiraan tatkala hadir, namun, membawa kepada sebuah kesedaran. Hadirnya dia dengan lafaz bibir yang teratur dan bermakna mendamaikan jiwa. Sedikit ketawa membuatkan anda berdua dihormati. Ingat-mengingati satu sama lain adalah sangat penting. Di dunia, sahabat yang beriman tidak membawa kegembiraan, dan ketawa, kerana dia mengharapkan syurga Allah, dan dia berharapkan anda sebagai jiran tetangganya. Di dalam doa dia merafak kepada kesejahteraan anda, bukan dengan membuat lawak jenaka. Di dalam puisi dia lafazkan sebuah penghargaan untuk anda, bukan dengan berjenaka menceriakan anda. Dia tidak lokek untuk menyatakan sayang dan kerinduan kepada anda, bukan dengan mengajak anda berkareoke sepanjang malam. Dan, dia mengajak anda untuk berjemaah, untuk qiamullail, dan berzikir mengingati Allah, bukan mengajak anda bersukan sehingga meninggalkan solat berjemaah. Bukan mengejutkan anda untuk menonton bola sepak pada pukul dua atau tiga pagi. Dia tidak juga menjemput anda untuk menghafal lagu-lagu yang lagha melainkan zikir-zikir yang amat berguna. Namun, tatkala dia hadir, anda mengatakan dia kolot, anda mengatakan dia penyibuk, anda mengatakan dia alim-alim kucing, anda mengatakan “kubur masing-masing!”. Dan, dia hanya berlalu, mungkin hatinya terluka. Namun, anda tidak pernah cuba merasai perasaan seorang teman yang ingin membawa anda ke syurga Allah yang abadi. Jadi, siapakah sahabat anda?

2. Adakah insan yang sentiasa mengundang amarah dan dan ketidakselesaan?

Sepastinya anda tidak menyukai marah, bengang, dan suasana yang tidak selesa. Sahabat yang mendesak dan mengongkong amat tidak memuaskan hati. Perbuatan kita terbatas. Seumpama dia menjadi abang, kakak, atau ibu bapa anda pula. Menemui insan yang sebegini membuatkan anda rasa menyampah dan meluat. Persahabatan yang sebegini biasanya tidak bertahan lama. Mungkin hanya berlansung dua atau tiga bulan sahaja. Selepas menemui sahabat yang menepati citarasa, anda pasti akan meninggalkannya tanpa tertunggu-tunggu lagi. Atau, dia hanya akan menjadi tempat rujukan kerja kursus, tempat meluahkan masalah, atau melepaskan geram!

Namun,

Tahukah anda bahawa dunia ini penjara bagi muslim, dan syurga merupakan kebebasan yang mutlak. Salahkah jika si dia melarang anda merokok, berzina, membuka aurat. Apa juga suatu yang menyampah jika teman anda itu melenting tatkala anda menjadikan solat sebagai mainan, dan agama sebagai gurauan. Dia hanya inginkan yang terbaik buat anda. Dia inginkan syurga bersebelahan dengan anda, dia ingin berkongsi segala kebahagiaan dan kegembiraan di akhirat kelak. Namun, anda hanya melihat dari segi kebendaan, sedangkan hidup seharian menuju kematian. Anda mengatakan dia ria’ setiap kali dia menyeru anda supaya solat berjemaah, mahupun menghadiri majlis-majlis ilmu. Namun, betapa dia sabar dengan karenah anda kerana dia sedar bahawa hidayah milik Allah. Dalam doa dia nyatakan nama anda, dan doakan kebahagiaan anda. Tatkala anda menemui masalah dialah yang pertama berada di sisi anda sedangkan selama ini dialah insan yang sering anda herdik. Dari luar dia menampakkan ketabahan dan keceriaan, namun, di dalam hatinya tersemat sebuah kekecewaan yang bersulam dengan harapan yang tidak mungkin kecundang. Setiap kali dia bercerita mengenai agama, akhirat, dan kematian; anda dan rakan-rakan yang lain segera menunjukkan rasa bosan, bahkan lebih menyedihkan ialah mengherdik dengan sebuah perlakuan yang amat senang melukai hati. Sememangnya dia bukan teman bermain yang baik, tidak juga aktif bersukan seperti anda, tetapi dialah satu-satunya insan yang hadir tatkala anda memerlukan sebuah pengorbanan dan pertolongan. Sering anda mengatakan sahabat adalah teman berhibur. Sesungguhnya hiburan yang hakiki hanya dimiliki teman-teman yang memahami agama yang sejati; Islam.

Sidang pembaca sekalian.

Sehari-harian tidak lepas kita daripada bersua dengan insan-insan yang kita anggap sebagai sahabat. Pada usia remaja, sahabat-sahabat menjadi suatu pengaruh yang besar dalam kehidupan. Kita bagaikan telur di hujung tanduk; sahabat umpama tiupan angin. Jika angin lintang yang datang, jatuhlah telur, namun, jika angin yang bayu yang menyapa, selamatlah telur meniti tanduk ke tempat yang lebih selamat. Kita tidak pernah salah dalam memilih sahabat, namun kita sering salah dalam menilai sebuah persahabatan. Persahabatan yang kita impikan merupakan sebuah perhubungan yang sesuai dengan nafsu remaja; ingin bersuka dan gembira saban masa. Sahabat-sahabat yang hadir dengan nasihat agama kita pinggir sehingga mereka hidup dalam kelompok mereka sahaja, dan kita mengatakan mereka sombong. Sedangkan saat mereka ingin mendekati kita, sering sahaja kita lupa bahawa mereka punya perasaan yang bisa terguris, dan sebentuk hati yang bisa menangis. Mereka juga manusia seperti anda, semuanya sama; yang berbeza cumalah mereka sentiasa inginkan yang terbaik buat kita. Merekalah penyambung doa rahmat untuk kita, merekalah perayu hidayah untuk kita, merekalah yang menangisi dosa-dosa kita; merekalah yang kita gelar ria’!.

Tepuk dada tanya iman. Adakah teman bermain kita hari ini benar-benar sahabat, atau sekadar kenalan, atau sebatang susuk asing yang tidak pernah kita kenali.



No comments:

Blog Stats

SEKAYU

SEKAYU