Saturday, August 15, 2009

Warkah Buat Para Pemimpin




Menjadi pemimpin bukanlah senang. Menjadi titik rujukan dan perhatian cukup merimaskan. Setiap perlakuan harus dijaga dengan seindah mungkin, percakapan dan tutur kata sering sahaja menjadi kira. Kesilapan yang kecil; yang biasa insan lain lakukan akan menjadi luar biasa apabila dilakukan oleh pemimpin.

Namun, perkara paling utama yang harus dijaga oleh seorang insan yang bergelar pemimpin ialah amanah yang terpikul di bahu kita. Amanah mungkin kelihatan sangat kecil bagi insan biasa, tetapi pada kaca mata insan yang mengerti, amanah kelihatan besar dan sungguh berat sekali. Insan yang mampu memikul amanah dengan baik merupakan insan yang amat kuat dan tabah.

Setiap amanah yang diberi samada diterima secara rela mahupun paksa haruslah dijagai dengan sebaik mungkin. Melaksanakannya memerlukan kesungguhan samada amanah itu ringan, kecil, besar, berat, diminati, mahupun tidak diminati. Semuanya memerlukan tanggungjawab yang unggul agar gelaran pemimpin yang diterima dan dipakai itu tidak tercalar. Menjadi tanggungjawab seorang pemimpin memastikan anak-anak pimpinannya sentiasa bersama dalam menjayakan sesuatu. Paksaan mungkin terpaksa dilakukan apabila berada dalam saat yang amat memerlukan. Sudah kita ketahui umum bahawa menjaga sepuluh orang manusia lebih susah daripada menjaga beratus ekor lembu. Lembu boleh dipukul sebat, namun, manusia amat janggal untuk diperlakukan yang sedemikian rupa. Oleh yang demikian, seperti yang diperkatakan, paksaan amat perlu jika keadaan memerlukan.

Letih, penat, DAN jemu, tidak dapat tidak senantiasa hadir dalam diri manusia. Saya, tuan-tuan, puan-puan, dan saudara saudari sekalian juga punyai rasa yang demikian juga. Namun, sebagai pemimpin, semua perasaan yang demikian haruslah diketepikan demi menjaga amanah yang terpikul. Jikalau diikut pada letih dan penat, nescaya tiadalah berkembang agama yang teragung; Islam pada hari ini. Cuba bayangkan jika Nabi Muhammad rasulillahualaihiwasallam mengikut perasaan letih, jemu, penat, dan sakit hati. Apakah mungkin kita semua dapat menikmati Islam pada hari ini? Namun dia Nabi, insan pilihan Allah. Kita ini manusia biasa sahaja! Ya, tidak saya nafikan kita ini hanyalah insan yang biasa-biasa sahaja, hamba sahaya, namun tidakkah pernah terdetik di dalam hati kita; pemimpin; untuk berkerja sebagaimana Rasulallah bekerja? Tidakkah ingin kita menjadikan Nabi yang Agung sebagai suri tauladan dalam memimpin? Tepuk dada, tanyalah iman!

Tuan-tuan dan puan-puan yang mulia. Sedarlah, tatkala dilantik menjadi pemimpin, kita menerima suatu ujian daripada Allah. Memimpin merupakan ujian, untuk menguji ketabahan, keikhlasan, kesabaran, kekuatan mental, kebijaksanaan, dan juga keimanan. Kita dilantik oleh Allah untuk menjadi pemimpin. Cuba bayangkan, di antara ramai insan lain, kenapa kita yang dilantik? Kenapa kita? Kenapa tidak orang lain? Sidang pembaca, sedar mahupun tidak, Allah yang melantik kita, Allah yang memilih kita. Allah Maha Mengetahui. Teringat saya akan surah al-Baqarah ayat 286 yang maksudnya:

“Allah tidak membebani seseorang itu, melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”

Kepada semua insan yang bergelar pemimpin. Sabarlah menghadapi ujian ini. Sesungguhnya ujian ini melatih kita untuk menjadi insan yang lebih baik, lebih sabar, dan lebih memahami. Bagi saya, bergelar pemimpin dengan pelbagai jawatan selama dua belas tahun, banyak mengajar saya menilai kaca dan permata, mengenal sahabat dan rakan, mengenal teman dan kawan. Sesungguhnya kekadang saya terkilan, terluka, dan berkecil hati. Namun, hakikatnya hidup ini bukanlah senang, bukanlah seindah wayang. Garapan hidup ini tidak pernah terjangka dan terfikir. Kekadang tersadung, terjatuh, saya bangun semula. Semuanya membuatkan hidup saya lebih bermakna dan berwarna warni. Pengalaman membuatkan hidup saya mempunyai isi dan lakaran yang indah. Kepada pengalaman pahit, kita jadikan ia pedoman menempuh jalan, kepada pengalaman manis, jadikanlah ia ubat ketika kita jatuh tersadung.

Kepada para sahabat yang punyai teman bergelar pemimpin, sokonglah mereka. Bantulah mereka. Andai kata mereka terjatuh, angkatlah mereka. Dakaplah tubuh mereka tatkala tangisan kekecewaan mengaliri pipi. Janganlah mengerdik tatkala mereka meluahkan perasaan melainkan menerimanya sebagaimana tugas seorang teman. Jangan biarkan sahabat-sahabat anda yang bergelar pemimpin jatuh keseorangan, dan bangkit sendirian, kerana suatu hari nanti kepada mereka jualah anda akan meminta pertolongan walaupun hanya sekeping nota.

Kepada semua sahabatku yang bergelar pemimpin, daku sentiasa bersamamu. Ranjau yang ada dihadapan sanggup daku tempuhi agar dikau selesa dan selamat. Biarlah kita luka bersama, kerana tidak sanggup bagiku melihat dikau keseorangan bertatih dalam perjalan yang cukup panjang. Demi Allah yang Maha Penyantun, daku amat mengasihi kalian.

Apa tanda sampin bermutu,
Sampin bermutu indah tekatnya;
Apa tanda pemimpin bermutu,
Pemimpin bermutu indah adatnya.

Sampin bermutu indah tekatnya,
Karya molek bersyarat tanjung;
Pemimpin bermutu indah adatnya,
Dunia dikelek akhirat dijunjung.

Sekian, segala yang baik datangnya daripada Allah yang Maha Sempurna, dan segala kelemahan adapun jua daripada saya; hamba yang serba kekurangan.

Assalamualaikum.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah insan-insan yang paling tinggi darjatnya, jika kamu insan-insan yang beriman.”

Surah al-Imran: ayat 139

Nukilah dan buah fikiran:
Mohd Nurhafizu Adha Bin Shamddin
15 Ogos 2009 bersamaan 24 Syaaban 1430H

No comments:

Blog Stats

SEKAYU

SEKAYU