Saturday, August 15, 2009

Doa Tuan Guru Nik Aziz (Menteri Besar Kelantan Yang Tercinta.)





Doa Tuan Guru Nik Aziz

"Wahai Tuhan kami, berilah kami perasaan takut kepadamu yang dapat menghalang kami dari kemaksiatan, dan berilah kami ketaatan kepadaMu yang menyampaikan kami ke syurgaMu, dan berilah keyakinan yang memudahkan kami menghadapi bencana di dunia."

"Wahai Tuhan kami, berilah kami kenikmatan pendengaran, penglihatan, dan kekuatan tubuh badan selama hidup kami, dan jadikanlah dia mewarisi kami, dan berilah pembalasan kepada orang yang menzalimi kami. Dan tolonglah kami terhadap orang yang memusuhi kami. Dan janganlah Engkau jadikan bencana bagi kami dalam ugama kami dan janganlah jadikan keduniaan sebesar-besar cita-citanya kami dan tidak sampai batasan ilmu kami. Dan janganlah Engkau biarkan orang yang tidak menaruh kasihan balas terhadap kami, dapat menguasai ke atas kami."

"Wahai Tuhan kami, kami pohon perlindungan dengan nur kesucian Engkau dan berkat kebersihan dan keagungan sifat Jalal Engkau, dari setiap yang datang waktu malam kecuali yang datang dengan baik."

"Wahai tuhan kami, Engkaulah penolong kami, maka kepada Engkau kami mohon pertolongan. Wahai tuhan kami, engkaulah tempat kami menyelamatkan diri, maka kepada Engkaulah kami pohon selamat. Wahai Tuhan bagilah kelemahan dan kehinaan yang mana segala tengkuk pembesar dunia."

"Dan tunduk kepadaNya segala urusan dan kebesaran raja-raja Firaun, selamatkan kami dari penghinaan dan hukuman seksamu, ketika malam atau siang, ketika kami tidur atau berada di suatu tempat. Tiada Tuhan bagi kami melainkan Engkau demi kebesaran wajah Engkau dan kemuliaan kesucian Engkau, hindarkanlah kami dari segala kejahatan hamba-hamba Engkau, berilah kemudahan kepada kami dengan limpah kurnia dari Engkau wahai Tuhan yang maha pemurah."

"Wahai Tuhan sama ada Engkau lembutkan hati-hati mereka untuk kami sebagaimana Kamu lembutkan besi untuk Nabi Daud, dan Kamu menundukkan mereka seperti seperti Kamu tundukkan bukit bukau, gunung ganang untuk Nabi Sulaiman atau pun Kamu lipat balik rancangan jahat mereka supaya berpatah balik ke atas mereka sendiri , dan Kamu hancur leburkan pakatan mereka dan kacau bilaukan kumpulan mereka dan goncangkan pendirian mereka dan Ya Allah turunkan bendera mereka rapat ke bumi, Wahai Tuhan yang tetap hidup yang mentadbir urusan makhluknya, Wahai Tuhan yang mempunyai keagungan dan kemuliaan, sesungguhnya Engkau berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu."

"Ya Allah Tuhan kami, limpahkanlah rahmat ke atas junjungna kami Nabi Muhammad S.A.W yang dengannya dapat mengubati hati dan menjadikan penawar, menyihatkan badan yang menyembuhkannya, menjadi cahaya bagi pandangan mata dan menyinarkannnya dan limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan kepada keluarga dan para sahabat baginda sekalian."

Siapa Sahabat Anda

Apakah erti persahabatan yang sebenar? Adakah sahabat merupakan insan yang membuatkan kita gembira? Atau yang sentiasa mengundang kesedihan dan kegundahan? Apakah ertinya persahabatan? Mengapa sering sahaja orang mengatakan sahabat amat mempengaruhi hidup kita? Adakalanya juga mereka mengatakan kematangan amat diperlukan dalam memilih sahabat. Persoalan demi persoalan mulai timbul. Kita sering bermonolog. “Adakah dia seorang sahabat?” “Adakah benar dia sahabat?” “Atau, adakah hanya kenalan?” “Atau insan asing itukah sahabatku?” Pertanyaan ini sering sahaja menemui kebuntuan dan jawaban yang tiada kepastiannya. Mari kita kupas erti persahabatan yang sebenar, dari sudut pandang yang mungkin berbeza, dan mungkin membawa anda menerokai sebuah lembaran persahabatan yang baru; yang lebih bernilai.

1. Adakah sahabat sering membuatkan kita gembira?

Setiap insan senang sahaja bergembira dan melupakan segala kekecewaan. Ingin sahaja bergelak ketawa dengan bebasnya. Hadirnya seorang sahabat yang periang, ceria, ‘raja lawak’ dan banyak cerita memungkinkan perasaan ini menjadi realiti. Hati merasai sebuah kesenangan dan ketenangan yang diidamkan. Hadiah dan cenderahati yang dititipkan saat bersua sepastinya membuatkan diri berasa sungguh dihargai dan disayangi. Sungguh hebat rasanya punya sahabat yang sedemikian rupa. Setiap perbuatan kita akan disokong tanpa banyak soal.

Namun,

Persahabatan bukan sekadar ketawa dan gembira. Persahabatan merupakan hubungan telus dan ikhlas. Sahabat yang beriman, tidak membawa kepada kegembiraan tatkala hadir, namun, membawa kepada sebuah kesedaran. Hadirnya dia dengan lafaz bibir yang teratur dan bermakna mendamaikan jiwa. Sedikit ketawa membuatkan anda berdua dihormati. Ingat-mengingati satu sama lain adalah sangat penting. Di dunia, sahabat yang beriman tidak membawa kegembiraan, dan ketawa, kerana dia mengharapkan syurga Allah, dan dia berharapkan anda sebagai jiran tetangganya. Di dalam doa dia merafak kepada kesejahteraan anda, bukan dengan membuat lawak jenaka. Di dalam puisi dia lafazkan sebuah penghargaan untuk anda, bukan dengan berjenaka menceriakan anda. Dia tidak lokek untuk menyatakan sayang dan kerinduan kepada anda, bukan dengan mengajak anda berkareoke sepanjang malam. Dan, dia mengajak anda untuk berjemaah, untuk qiamullail, dan berzikir mengingati Allah, bukan mengajak anda bersukan sehingga meninggalkan solat berjemaah. Bukan mengejutkan anda untuk menonton bola sepak pada pukul dua atau tiga pagi. Dia tidak juga menjemput anda untuk menghafal lagu-lagu yang lagha melainkan zikir-zikir yang amat berguna. Namun, tatkala dia hadir, anda mengatakan dia kolot, anda mengatakan dia penyibuk, anda mengatakan dia alim-alim kucing, anda mengatakan “kubur masing-masing!”. Dan, dia hanya berlalu, mungkin hatinya terluka. Namun, anda tidak pernah cuba merasai perasaan seorang teman yang ingin membawa anda ke syurga Allah yang abadi. Jadi, siapakah sahabat anda?

2. Adakah insan yang sentiasa mengundang amarah dan dan ketidakselesaan?

Sepastinya anda tidak menyukai marah, bengang, dan suasana yang tidak selesa. Sahabat yang mendesak dan mengongkong amat tidak memuaskan hati. Perbuatan kita terbatas. Seumpama dia menjadi abang, kakak, atau ibu bapa anda pula. Menemui insan yang sebegini membuatkan anda rasa menyampah dan meluat. Persahabatan yang sebegini biasanya tidak bertahan lama. Mungkin hanya berlansung dua atau tiga bulan sahaja. Selepas menemui sahabat yang menepati citarasa, anda pasti akan meninggalkannya tanpa tertunggu-tunggu lagi. Atau, dia hanya akan menjadi tempat rujukan kerja kursus, tempat meluahkan masalah, atau melepaskan geram!

Namun,

Tahukah anda bahawa dunia ini penjara bagi muslim, dan syurga merupakan kebebasan yang mutlak. Salahkah jika si dia melarang anda merokok, berzina, membuka aurat. Apa juga suatu yang menyampah jika teman anda itu melenting tatkala anda menjadikan solat sebagai mainan, dan agama sebagai gurauan. Dia hanya inginkan yang terbaik buat anda. Dia inginkan syurga bersebelahan dengan anda, dia ingin berkongsi segala kebahagiaan dan kegembiraan di akhirat kelak. Namun, anda hanya melihat dari segi kebendaan, sedangkan hidup seharian menuju kematian. Anda mengatakan dia ria’ setiap kali dia menyeru anda supaya solat berjemaah, mahupun menghadiri majlis-majlis ilmu. Namun, betapa dia sabar dengan karenah anda kerana dia sedar bahawa hidayah milik Allah. Dalam doa dia nyatakan nama anda, dan doakan kebahagiaan anda. Tatkala anda menemui masalah dialah yang pertama berada di sisi anda sedangkan selama ini dialah insan yang sering anda herdik. Dari luar dia menampakkan ketabahan dan keceriaan, namun, di dalam hatinya tersemat sebuah kekecewaan yang bersulam dengan harapan yang tidak mungkin kecundang. Setiap kali dia bercerita mengenai agama, akhirat, dan kematian; anda dan rakan-rakan yang lain segera menunjukkan rasa bosan, bahkan lebih menyedihkan ialah mengherdik dengan sebuah perlakuan yang amat senang melukai hati. Sememangnya dia bukan teman bermain yang baik, tidak juga aktif bersukan seperti anda, tetapi dialah satu-satunya insan yang hadir tatkala anda memerlukan sebuah pengorbanan dan pertolongan. Sering anda mengatakan sahabat adalah teman berhibur. Sesungguhnya hiburan yang hakiki hanya dimiliki teman-teman yang memahami agama yang sejati; Islam.

Sidang pembaca sekalian.

Sehari-harian tidak lepas kita daripada bersua dengan insan-insan yang kita anggap sebagai sahabat. Pada usia remaja, sahabat-sahabat menjadi suatu pengaruh yang besar dalam kehidupan. Kita bagaikan telur di hujung tanduk; sahabat umpama tiupan angin. Jika angin lintang yang datang, jatuhlah telur, namun, jika angin yang bayu yang menyapa, selamatlah telur meniti tanduk ke tempat yang lebih selamat. Kita tidak pernah salah dalam memilih sahabat, namun kita sering salah dalam menilai sebuah persahabatan. Persahabatan yang kita impikan merupakan sebuah perhubungan yang sesuai dengan nafsu remaja; ingin bersuka dan gembira saban masa. Sahabat-sahabat yang hadir dengan nasihat agama kita pinggir sehingga mereka hidup dalam kelompok mereka sahaja, dan kita mengatakan mereka sombong. Sedangkan saat mereka ingin mendekati kita, sering sahaja kita lupa bahawa mereka punya perasaan yang bisa terguris, dan sebentuk hati yang bisa menangis. Mereka juga manusia seperti anda, semuanya sama; yang berbeza cumalah mereka sentiasa inginkan yang terbaik buat kita. Merekalah penyambung doa rahmat untuk kita, merekalah perayu hidayah untuk kita, merekalah yang menangisi dosa-dosa kita; merekalah yang kita gelar ria’!.

Tepuk dada tanya iman. Adakah teman bermain kita hari ini benar-benar sahabat, atau sekadar kenalan, atau sebatang susuk asing yang tidak pernah kita kenali.



Warkah Buat Para Pemimpin




Menjadi pemimpin bukanlah senang. Menjadi titik rujukan dan perhatian cukup merimaskan. Setiap perlakuan harus dijaga dengan seindah mungkin, percakapan dan tutur kata sering sahaja menjadi kira. Kesilapan yang kecil; yang biasa insan lain lakukan akan menjadi luar biasa apabila dilakukan oleh pemimpin.

Namun, perkara paling utama yang harus dijaga oleh seorang insan yang bergelar pemimpin ialah amanah yang terpikul di bahu kita. Amanah mungkin kelihatan sangat kecil bagi insan biasa, tetapi pada kaca mata insan yang mengerti, amanah kelihatan besar dan sungguh berat sekali. Insan yang mampu memikul amanah dengan baik merupakan insan yang amat kuat dan tabah.

Setiap amanah yang diberi samada diterima secara rela mahupun paksa haruslah dijagai dengan sebaik mungkin. Melaksanakannya memerlukan kesungguhan samada amanah itu ringan, kecil, besar, berat, diminati, mahupun tidak diminati. Semuanya memerlukan tanggungjawab yang unggul agar gelaran pemimpin yang diterima dan dipakai itu tidak tercalar. Menjadi tanggungjawab seorang pemimpin memastikan anak-anak pimpinannya sentiasa bersama dalam menjayakan sesuatu. Paksaan mungkin terpaksa dilakukan apabila berada dalam saat yang amat memerlukan. Sudah kita ketahui umum bahawa menjaga sepuluh orang manusia lebih susah daripada menjaga beratus ekor lembu. Lembu boleh dipukul sebat, namun, manusia amat janggal untuk diperlakukan yang sedemikian rupa. Oleh yang demikian, seperti yang diperkatakan, paksaan amat perlu jika keadaan memerlukan.

Letih, penat, DAN jemu, tidak dapat tidak senantiasa hadir dalam diri manusia. Saya, tuan-tuan, puan-puan, dan saudara saudari sekalian juga punyai rasa yang demikian juga. Namun, sebagai pemimpin, semua perasaan yang demikian haruslah diketepikan demi menjaga amanah yang terpikul. Jikalau diikut pada letih dan penat, nescaya tiadalah berkembang agama yang teragung; Islam pada hari ini. Cuba bayangkan jika Nabi Muhammad rasulillahualaihiwasallam mengikut perasaan letih, jemu, penat, dan sakit hati. Apakah mungkin kita semua dapat menikmati Islam pada hari ini? Namun dia Nabi, insan pilihan Allah. Kita ini manusia biasa sahaja! Ya, tidak saya nafikan kita ini hanyalah insan yang biasa-biasa sahaja, hamba sahaya, namun tidakkah pernah terdetik di dalam hati kita; pemimpin; untuk berkerja sebagaimana Rasulallah bekerja? Tidakkah ingin kita menjadikan Nabi yang Agung sebagai suri tauladan dalam memimpin? Tepuk dada, tanyalah iman!

Tuan-tuan dan puan-puan yang mulia. Sedarlah, tatkala dilantik menjadi pemimpin, kita menerima suatu ujian daripada Allah. Memimpin merupakan ujian, untuk menguji ketabahan, keikhlasan, kesabaran, kekuatan mental, kebijaksanaan, dan juga keimanan. Kita dilantik oleh Allah untuk menjadi pemimpin. Cuba bayangkan, di antara ramai insan lain, kenapa kita yang dilantik? Kenapa kita? Kenapa tidak orang lain? Sidang pembaca, sedar mahupun tidak, Allah yang melantik kita, Allah yang memilih kita. Allah Maha Mengetahui. Teringat saya akan surah al-Baqarah ayat 286 yang maksudnya:

“Allah tidak membebani seseorang itu, melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”

Kepada semua insan yang bergelar pemimpin. Sabarlah menghadapi ujian ini. Sesungguhnya ujian ini melatih kita untuk menjadi insan yang lebih baik, lebih sabar, dan lebih memahami. Bagi saya, bergelar pemimpin dengan pelbagai jawatan selama dua belas tahun, banyak mengajar saya menilai kaca dan permata, mengenal sahabat dan rakan, mengenal teman dan kawan. Sesungguhnya kekadang saya terkilan, terluka, dan berkecil hati. Namun, hakikatnya hidup ini bukanlah senang, bukanlah seindah wayang. Garapan hidup ini tidak pernah terjangka dan terfikir. Kekadang tersadung, terjatuh, saya bangun semula. Semuanya membuatkan hidup saya lebih bermakna dan berwarna warni. Pengalaman membuatkan hidup saya mempunyai isi dan lakaran yang indah. Kepada pengalaman pahit, kita jadikan ia pedoman menempuh jalan, kepada pengalaman manis, jadikanlah ia ubat ketika kita jatuh tersadung.

Kepada para sahabat yang punyai teman bergelar pemimpin, sokonglah mereka. Bantulah mereka. Andai kata mereka terjatuh, angkatlah mereka. Dakaplah tubuh mereka tatkala tangisan kekecewaan mengaliri pipi. Janganlah mengerdik tatkala mereka meluahkan perasaan melainkan menerimanya sebagaimana tugas seorang teman. Jangan biarkan sahabat-sahabat anda yang bergelar pemimpin jatuh keseorangan, dan bangkit sendirian, kerana suatu hari nanti kepada mereka jualah anda akan meminta pertolongan walaupun hanya sekeping nota.

Kepada semua sahabatku yang bergelar pemimpin, daku sentiasa bersamamu. Ranjau yang ada dihadapan sanggup daku tempuhi agar dikau selesa dan selamat. Biarlah kita luka bersama, kerana tidak sanggup bagiku melihat dikau keseorangan bertatih dalam perjalan yang cukup panjang. Demi Allah yang Maha Penyantun, daku amat mengasihi kalian.

Apa tanda sampin bermutu,
Sampin bermutu indah tekatnya;
Apa tanda pemimpin bermutu,
Pemimpin bermutu indah adatnya.

Sampin bermutu indah tekatnya,
Karya molek bersyarat tanjung;
Pemimpin bermutu indah adatnya,
Dunia dikelek akhirat dijunjung.

Sekian, segala yang baik datangnya daripada Allah yang Maha Sempurna, dan segala kelemahan adapun jua daripada saya; hamba yang serba kekurangan.

Assalamualaikum.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah insan-insan yang paling tinggi darjatnya, jika kamu insan-insan yang beriman.”

Surah al-Imran: ayat 139

Nukilah dan buah fikiran:
Mohd Nurhafizu Adha Bin Shamddin
15 Ogos 2009 bersamaan 24 Syaaban 1430H

Monday, August 3, 2009

Pertandingan Pidato Piala Datin Asariah

Assalamualaikum. Hari ini tidak dapat nak update banyak sangat coz semua gambar masih tak transfer dari fon and kamera. Insya Allah dalam sehari dua lagi. Tapi suatu yang nyata, pengalaman yang dikutip sepanjang pertandingan itu amat berguna dan tidak mungkin dapat saya lupakan sampai bila-bila. Alhamdulillah, semuanya manis-manis belaka. Perkenalan dengan teman-teman baru; Kiven, Amer, Faiz, Rauf, dan Shukri membuatkan hidup lebih berwarna warni.

Blog Stats

SEKAYU

SEKAYU