There was an error in this gadget

Sunday, August 15, 2010

Ukhuwwah

13 Mac 2010

SOMBONG!

Terkejut daku menerima mesej yang sedemikian dari jauh. Rupanya nada telefon tadi membawa mesej yang mengubah melodi hidupku. Sudah lama daku menanti dan merindui mesej dari dia. Insan yang dahulunya membuahkan ceria dan ketawa dalam hidupku. Namun, dek kerana sikapku yang daku sendiri tidak faham akannya, riang itu hilang bersama bayang bahagia hidupku. Hatiku berbunga, jiwaku mulai menyanyi irama terindah. Tidak mampu daku lakarkan pada syatar mahupun lembaran mengenai bahagianya hidupku saat membaca kata jauh dari teman yang dirindui. Masih jelas wayang ingatan berputar pada kotak fikiran. Saat si dia mulai menenggelamkan dirinya dari mata dan kasihku, puas daku memujuk. Hadiah, dan kata semanis madu menjadi perantara mengubat hatinya. Dalam doa, sujud, dan qiamullail, daku rajutkan doa untuknya, mendambakan diri pada Allah untuk menyatukan kembali dua sahabat yang telah berpisah.

13 Mac 2009

“Zaf, aku sayangkan kau kerana Allah, kerana iman, kerana takwa yang mengalir dalam urat nadimu.” Lembut Omar mengelus tangan Zafran sambil cuba menyulam kata terindah untuk sahabat karibnya.

“Ya, aku tahu, dan aku faham. Aku sayangkan kau juga. Omar.” Lantas tangan yang dielus Omar diangkat semacam berikrar. Wajah Zafran mengukir senyuman dan ceria. Menyejukkan mata sesiapa yang memandang. Dia memang semulajadi dilahirkan indah, dan menyenangkan hati setiap insan. Ilmu agamanya tidak sedikit. Bahkan berdua mereka; Omar dan Zafran mampu menjadikan majlis diskusi ilmu, hangat dengan soal bicara mereka. Jika dikira pada rupa, Omar sememangnya “beast” bagi Zafran yang layaknya digelar “handsome”, namun, silaturrahim yang bertaut pada landasan akidah dengan ikatan tauhid menjadikan persahabatan mereka seindah bintang di langit yang bergemerlapan.

“Omar, kenapa fikiranmu melayang jauh. Apakah sudah sampai pada puncak menara Bab al-Umrah? Atau sudah tersangkut pada puncak Teipei 101 yang dikau dambakan?” Ada tawa kecil pada hujung katanya. Segera tangan Omar dipaut erat.

Dia perasan, cukup kenal pada raut wajah temannya yang suram sehari dua ini. Bukan dia tidak perasan muramnya sahabat tercinta, lawaknya banyak yang bersambut durja, namun, dia tahu, bukan senang untuk Omar meluahkan kata hati pada manusia. Omar lebih suka bangkit pada satu per tiga malam dan merayu pada Allah. Pernah tika berqiamullail bersama, Omar menangis bagaikan kanak-kanak kecil. Zafran menyimpan rasa kagum pada sahabatnya itu.

“Zaf…” Omar memulakan bicara setelah banyak berdiam. Pada akalnya cuba disulam kata seribu sutera, agar tidak terluka pada hati sahabat tercinta.

Zafran mengangguk dan mendekatkan wajahnya pada Omar. Lama dia memerhatikan wajah Omar yang redup. Seakan menyimpan sejuta beban rahsia.

“Zaf, andai kata kita berdua melintasi belantara. Daku tidak tahu mana arah tuju yang tepat, dan dikaupun kabur dengan keadaan. Dalam perjalanan, telah banyak onak yang kita redah, dan denai yang kita randai. Luka mu daku ubatkan, dan lukaku dikau redakan. Setelah jauh berjalan dalam kegelapan hutan, hanya dihias lagu mergastua, dari kejauhan ada cahaya yang memberi harapan. Kita berkejaran ke sana, ingin bebas dari kegelapan. Namun, saat itu daku terpandang, dari balik pohon dan dahan, ada lembaga mengangkat busur panahnya, tepat ke jantungmu yang berdegup riang. Zaf…”

“Ya.” Jawab Zafran ringkas. Getaran dan matanya bundar ingin tahu.

“Apa salah sekiranya daku memberitahu bahaya yang bakal menuju tepat jantungmu dan menghentikan nada degupnya?” Omar sudah hampir teras ceritanya. Di dalam hati yang bernada doa, dirayu pada Allah sejuta kekuatan untuk meluahkan ayat seterusnya. Omar kembali mengelus tangan sahabatnya yang dilepaskan sebentar untuk bercerita.

“Omar, terpulang padamu; sahabatku. Sekiranya pada hatimu masih tersisa belas dan kasih padaku, maka tuturkanlah ia, agar selamat perjalanan kita berdua. Namun, seandainya bagimu lebih senang merandai muka bumi ini dengan teman yang lain, maka biarkan jasadku berkubur seorang.” Tenang Zafran mengemukakan jawapan, sambil memerhati riak bergenang golak pada anak mata Omar.

“Kalau begitu katamu, izinmu daku anggap sebagai janji yang mewangikan ukhuwwah kita.” Omar memaut erat leher sahabatnya itu. Matanya bergenang air mata. Rasanya tidak terbeban lagi hendak dipikul nasihat yang mesti dilunaskan.

Pelukan dileraikan.

Zafran memandang tepat anak mata Omar. Cuba mengerti kata dan bicara yang bermain pada fikiran sahabatnya. Dia tahu Omar menangis. Ada kesan basah pada alis matanya. Kenapa dengan Omar?

“Zaf…” Omar menyambung bicara.

“Minggu lepas…”

“Ya, ada apa dengan minggu lepas?” Zafran memintas bicara. Tidak sabar hatinya untuk mengetahui apa sebenarnya cerita di sebalik muram durja teman kecintaannya.

“Apa dikau ingat saat daku merampas telefon bimbitmu?”

“Ya, aku ingat. Aku yang cabar dikau bukan? Hik.. hik…”

“Aku terbaca mesej kau, tapi…”

“Kau baca mesej aku? Bukan sudah daku ulangi, bahkan beribu kali. Jangan sesekali buka ruangan mesej telefon bimbitku!” Suara Zafran meninggi.

“Tapi aku tak sengaja Zaf. Saat aku mengambilnya, ia sudah sedemikian. Maafkan aku Zaf…”

“Apa yang kau baca?” Tanya Zafran. Nada mesranya hilang sekelip mata.

“Kak Qis. Apa yang kau buat tu salah Zaf. Dia wanita baik, kau kena jaga dia. Bukan kotorkan iman dia. Dia mulia Zaf, jangan paksa dia hantar gambar yang haram itu untuk kepuasan nafsu sesat kau Zaf!” Laju terpacul dari mulut Omar segala yang terbuku dihatinya. Lega… tapi, bukan mudah untuk Zafran menerimanya. Omar ditinggalkan keseorangan. Pantai yang sunyi menjadi saksi, perpisahan dua sahabat. Terkedu hatinya seraya pecahlah empangan mata yang tidak berdaya membendung air mata yang membuak. Hatinya merintih. Ya Allah, daku silap Ya Allah. Ampunkan hambamu. Sesungguhnya daku amat menyayangi Zafran. Allah, berilah kami petunjuk yang lurus.

Ombak terus menghempas pantai. Dan hati Omar pecah dengan pemergiaan Zafran.

14 Mac 2009

Zafran. Ke mana hilangnya manis ukhuwwah kita. Adakah sudah terbang jauh melewati perbatasan langit. Ataupun hilang tenggelam di dasar lautan terdalam sehingga tidak mampu diselam. Ataupun sirna dek kerana rakusnya daku memaut lenganmu yang menyasar jauh. Aku tidak mampu menjadi seperti mimpimu. Aku hanya mampu menjadi aku yang sebegini. Dan aku juga tidak mengharap perubahan darimu. Namun, seluruh jasadku merindukan iman, dan takwa yang mengalir dalam segenap urat nadimu.

Puas Omar memujuk. Biasanya rajuk Zafran terubat dengan beberapa keping MMS, namun, semalam, semuanya sia-sia. Cuba dihubungi, namun tidak berjawab. Pintu biliknya terkunci rapat, lampu terpadam gelap, namun Omar jelas Zafran ada di dalam. Apa sudah hilang kasih sayang Zafran pada Omar dek tenggelam dalam nafsu yang membuak-buak. Atau pada Omar, kurang hikmahnya dalam menegur dan membicarakan kata-kata nasihat.

Riang Omar pudar. Jawatannya sebagai Anggota Mesyuarat Pelajar (AMP) sedikit sebanyak, terkadang mengubat kerinduannya terhadap Zafran. Namun, suramnya tetap ada. Rindunya tetap berputik biarpun kembangnya mungkin tidak dipandang. Dunia hiburnya hilang, dan dia kesunyian.

“Omar.” Lembut suara Ustaz Faiz menegur, mematikan lamunan jauh Omar. Disapunya anak tangga surau sebelum duduk, rapat dengan Omar. Ustaz Faiz kenal benar Omar. Sudah tiga tahun beliau menjadi naqib, pembimbing, dan penasihat Omar dalam segala segi. Raut wajah Omar amat dikenali. Senyum yang biasa menghiasi wajah bulat itu hilang dengan tiba-tiba dan berganti dengan kerut seribu. Ke mana hilangnya manis anak usrahku? Getus hati Ustaz Faiz.

Omar hanya tersenyum, dan kembali memandang kehijauan padang yang bertentangan dengan Surau al-Imran. Perlahan tangan Ustaz Faiz melingkari bahu Omar yang kekar.

“Kenapa Omar? Omar sihat?” Ustaz Faiz memulakan bicara.

“Saya sihat Ustaz. Cuma penat sikit. Kerja-kerja AMP menuntut pengorbanan tenaga yang banyak. Terutama kini dengan krisis air yang melanda kolej kita.” Balas Omar berbasa basi melindung kemelut jiwanya yang sebenar.

Ustaz Faiz diam, dia tahu Omar bukan mudah berputus asa. Kerap juga Omar jadikan bahunya sebagai penompang matanya yang berlinangan kesedihan. Padanya jugalah sering Omar luahkan perasaan kecewa yang membuku di dalam jiwa. Kerut pada wajah Omar sudah dikenal, biarpun berselindung di balik ribuan derai tawa dan ceria. Tidak rugi mengikuti usrah, kerana dengan tiga rukun utamanya iaitu taaruf, tafahhum, dan takaful kita dapat saling mengenali dengan lebih akrab. Namun, kali ini riak wajah Omar berbeza. Ada kekosongan pada wajahnya. Sungguh kerja-kerja AMP memenatkan, namun pada wajahnya bukan kepenatan, namun kesunyian dan kerinduan.

“Omar, bukan sehari dua kita berkenalan. Bukan sedikit rahsia yang kita kongsi bersama. Bukan sekejapan kita merandai dunia ini berbahu-bahu. Usrah telah mendidik Ustaz, Omar, dan kawan-kawan supaya mengenali dan memahami. Membantu dan berkorban seadanya. Omar, sejuta hilai tawa mungkin mampu menjadikan dunia ini ceria, namun, pahit pedih di pantai hatimu takkan hilang dengan itu semua.” Ustaz Faiz berterus terang. Pelukannya makin kejap tanda yakin dan memberi kepercayaan. Tiba-tiba Omar menekap mukanya. Bahunya terhenjut. Fahamlah Ustaz Faiz, Omar sememangnya menyembunyikan sesuatu.

“Omar, sudah dikau, Ustaz anggap sebagai adik. Berkongsi darah sedenyut nadi. Cubit paha kanan, paha kiri juga terasa. Pedih hatimu merupakan luka di hatiku. Andai benar kasih kita berdenyut di atas tali akidah, maka beningkanlah kekusutan hatimu itu, hempaslah badaimu pada pantai hatiku, biar kita bersama- sama belayar pada badai jantungmu.” Kirmizi senja bagaikan tidak bermakna buat dua insan itu. Omar membeku, hanya tangisnya menjawab untaian kata peri seorang naqib. Hatinya malu pada Allah, pada Ustaz Faiz. Dia malu kerana gagal menjaga ukhuwwah sedangkan itulah yang menjadi keutamaannya semenjak sekian lama. Dia sering menjadikan topik sahabat, persahabatan, ukhuwwah, dan kasih sayang sebagai maudhu’ bicara, namun pada hari ini, dia telah kehilangan hak untuk membicarakannya semula.

“Omar, ingatkah dikau pada kalamullah, surah al-Imran ayat, 139.” Sambil memegang erat bahu Omar yang sudah berhenti tangisnya, dibacakan ayat tersebut dengan nada paling indah. Menusuk kalbu, mewangikan sukma.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang yang beriman”

Omar terkedu. Dia diam. Dirungkaikan pelukan Ustaz Faiz. Ditenung dalam-dalam anak mata Ustaz Faiz yang keperangan warnanya. Ada riak simpati pada wajah Ustaz Faiz.

“Ustaz.” Setelah lama, akhirnya Omar membuka bicara.

“Terkadang hati kita luka, dan Allah sengaja melukakan hati kita, kerana dia tahu, hati yang mudah terasa merupakan hati yang lembut untuk Dia bentuk. Terkadang, Allah kurniakan ujian yang membuatkan kita berasa ingin lemas dari dunia, namun Allah sengaja, kerana Dia tahu, hanya insan yang sedar mampu bangkit dari ujian. Ustaz, sungguh wajah saya muram, diri saya bungkam, bukan kerana merana kesedihan, namun menilai sebuah ujian. Biarlah Dia yang menyelesaikan masalah saya, kerana Dia yang mengurniakan ujian tersebut pada saya.” Panjang Omar menghela nafas selepas berhujah mengenai dirinya yang kusam.

“Betul Omar. Semua itu betul. Namun, jika demikian adatnya, mengapa Allah kurniakan Saidina Abu Bakar, Saidina Ali, Saidina Uthman, Saidina Umar, Siti Khadijah, Siti Aishah, dan Abu Talib kepada Rasulullah. Bukankah Allah yang menguji RasulNya, kenapa Nabi minta mereka menolong Baginda menyelesaikan kemelut?”

Omar diam. Ada betulnya hujah Ustaz Faiz. Dia malu. Bangkit dari anak tangga dan terus berlalu dengan pantas. Dia malu pada Ustaz Faiz.

Maafkan saya Ustaz. Getus hati Omar sambil melangkah pergi meninggalkan Surau al-Imran yang tersergam sunyi.

20 Ogos 2009

Hari ini genap dua puluh tahun usia Zafran. Omar cuba untuk mengucapkannya melalui nada suara bertentangan mata. Namun, hubungan yang renggang membatalkan niat yang tersembunyi. Dihantar sekeping MMS dan juga seuntai kata dalam SMS.

Selamat ulang tahun kelahiran wahai putera agama. Semoga dengan ulang tahun kelahiran ini, azammu akan terlaksana. Ya musallimu, tiada siapa yang dapat memahami diri kita dengan sempurna melainkan Kekasih yang Satu. Serahkanlah dirimu kepadaNya, insya Allah ketenangan yang diperoleh. Ya zaimmi, jaga dan hormatilah prinsip hidupmu, jauhi dirimu daripada mengejar keseronokan duniawi, insya Allah dirimu akan memperoleh kebahagiaan ukhrawi, Ya Zafran, hiasi dirimu dengan ketakwaan dan keimanan supaya dirimu mampu menjadi imam yang terbaik untuk keluargamu, jadilah seperti Zafran, yang mengubati segalanya. Semoga kebahagiaan menjadi milikmu. Maafkanlah segala kesalahanku, yang telah daku lanjurkan dalam mahabbah kita. Mungkin ada ketika kita mampu menjadi seperti dahulu. Ketahuilah sahabatku, di dalam hatiku, benih ukhuwwah ini hanya menunggu masa untuk bercambah dan mewarnai dunia persahabatan dengan bunganya yang berwarna warni. Semoga Allah merahmati setiap doa kita.

Lama Omar menunggu. Menatap muka telefon bimbit yang kelam. Mungkin sekejap lagi Zafran akan membalas SMS nya. Namun sia-sia. Telefon terus sunyi, dan Omar hilang harapan. Ya Allah, besarkah dosaku pada sahabatku? Apa mampu daku mengecap syurgaMu sedangkan sudah terputus silaturrahimku dengan sahabat, sesama hamba di muka bumi ini.

21 Ogos 2009

“Qiamullail semalam sungguh menyejukkan jiwa yang kusam. Terasa sejuk kerongkong yang tandus dibasahi dengan zikir – menawarkan segala racun yang hinggap pada takwa dan iman. Bukan selalu kelam malam dapat daku hiaskan dengan qiamullail. Mengenang diri yang bukanlah sehebat sahabat-sahabat Rasulullah membuatkan diri terasa sangat kerdil. Namun, bukanlah ia menjadi tanda kita harus berputus asa. Kehibaan malam itu dengan doa munajat berpanjangan, daku tujukan buat ayah bonda, kaum keluarga, guru-guru, muslimin dan muslimat, serta nama yang sentiasa berulang dalam sujud dan doa; Zafran. Semoga Allah memberi peluang untuk kami bertemu kembali sebagai sahabat sejati, dunia dan akhirat. Zafran, masih adakah iman di hatimu untuk daku taburkan dengan benih ketakwaan yang kita bina bersama.”

“Mungkin janggal kedengaran antara ramai insan mengenai keakraban daku dengan Zafran, namun begitulah adatnya kasih antara manusia. Mengasihi saudaranya bagai mengasihi diri sendiri. Tangan sakit, matapun menangis, nadi berhenti, nyawapun lari. Semua berkait, dan selamanya kekal berkait. Masih daku ingat akan berita hangat seluruh penjuru dunia kecilku. Tatkala dahi Zafran daku kucup, dan jasadnya daku peluk erat. Semua memberi tohmah yang menggugat persaudaraan kami. Insan lain mungkin lupa, bahawa keakraban itu indah, dan selamanya indah. Sirah ada mengisahkan bagaimana indahnya persahabatan Nabi Muhammad dengan bapa mertuanya iaitu Abu Bakar. Bagaimana pengorbanan Abu Bakar yang sanggup menyumbat laluan ular dengan ibu jarinya, dan bertitisan air matanya menimpa pipi Insan Junjungan tatkala kesakitan dipatuk ular menyelimuti kekuatan diri. Kadang kala kita lupa dengan perkara yang betul, kerana telah dipesongkan dengan kebiasaan. Mungkin juga kerana dunia kini yang menghampiri kiamat, semua gerak-geri menimbulkan seribu keraguan.”

Omar meninggalkan aku keseorangan selepas meluahkan kata sedemikian di muka tangga surau. Mukanya kusam, mungkin masih ada rahsia yang belum terbuang. Cuba daku fahami setiap patah katanya sementelahan niatnya yang ingin melihat cerita dukanya bermuka dalam bacaan orang. Kata suramnya cuba daku garap dengan sebaik mungkin, mungkin tidak seindah bahasanya yang berbalut rahsia, namun daku indahkan ia agar kalian mengerti dengan lebih baik. Aku sendiri semalam ada mengirim sekeping nota ringkas buat Zafran yang menyambut ulang tahun kelahirannya. Ada respon baik darinya, namun mendengarkan luahan hati Omar, semuanya daku rasa sudah hilang pengertian. Memang kadangkala daku ada terluka pada seseorang, namun sekurang-kurangnya hargailah sebuah pengharapan. Zafran nampaknya sudah berubah. Aku hanya mampu melihat dari jauh kerana bukanlah dia sahabat pilihanku. Sememangnya Omar insan yang mulia, kerana dia sabar menempuh ujian yang ditamsilkan melalui kehadiran Zafran.

31 Ogos 2009

Hari ini sambutan hari kemerdekaan. Sedari pagi Zafran sibuk menyiapkan tempat serta memenuhi tugasannya yang bertali arus. Dia sememangnya sibuk sepanjang masa. Dahulu sering juga berlari-lari anak dia ke padang, atau berjalan riadah menuju ke gelanggang bola keranjang. Namun kini, banyak masa terisi dengan aktiviti pengurusan yang masih lama untuk sampai ke penghujungnya. Kata Omar, dia bukanlah ahli sufi, jadi dia berkhidmat untuk agama melalui kepimpinan. Ada betul pada katanya, dan aku akui dia sememangnya cuba memenuhi setiap tugasan. Adakalanya Zafran tersungkur, jarang sekali ada yang datang membantu. Aku pula jauh untuk bersamanya. Hanya sesekali bersua, namun ukhwah yang jauh bukanlah penghalang keakraban. Tangga surau berhampiran rumah kami di kampunglah yang biasanya menjadi tempat bertemu. Warak dan tulus wajahnya tampak janggal jika bermain di warung, apatah lagi melepak sana-sini bagai kutu rayau. Hidupnya penuh dengan santun yang sudah lama terbina.

Detik dua belas malam sememangnya ditunggu-tunggu. Laungan merdeka berkumandang dengan kuatnya. Merdeka dari apa, daku sendiri pun tidak mengerti. Janganlah lupa bahawa kita selamanya milik Allah. Selamanya.

Cerita Omar. Dia pengsan seusai solat isya’ tadi. Teman kampusnya mengirim pesanan ringkas yang daku sampaikan buat kedua orang tuanya di kampung. Wajah Ayah Mat, dan Mak Min bergelora terkejut. Masakan tidak – mendengar berita buruk dari kejauhan tentang anak kesayangan. Aku cuba memujuk mereka supaya bertenang, namun apalah dayaku insan asing, mampukah secubit gula memaniskan lautan. Ayah Mat dan Mak Min bertolak sedari jam itu juga ke negeri Kedah. Aku hanya mampu berdoa dari kejauhan. Maafkan aku Omar, tak dapat aku ke sana, terlalu banyak urusan yang perlu daku selesaikan. Sementelahan lagi dengan kondisi ibuku yang tidak menentu, dikau juga tahu bukan bagaimana keadaan ibuku. Bukan daku tidak menghargaimu, namun inilah sebuah kenyataan. Maafkan aku Omar.

Cerita Zafran. Daripada teman sekampus Omar juga daku mendengar khabar tentangnya. Kata mereka Zafran juga risau mengenai Omar, namun dia bungkamkan sahaja perasaan itu. Mungkin egoisnya melangkaui bintang langit sehinggakan sangkut hayunannya pada penjuru cakerawala.

Zafran, mungkin dikau membaca tulisan daku ini. Ketahuilah, sungguhpun tentang dirimu banyak sekali Omar ceritakan padaku, namun aku bukanlah insan yang dia kagumi sebanyak dia mengagumi dirimu. Mungkin aku cemburu, namun ia sebuah perasaan jujur yang Omar nyatakan. Katanya, dia menemui kegembiraan bila bersamamu, dan tangis dukamu merupakan racun yang bisa meragut nyawanya. Mungkin kau lupa saat dikau terjatuh di padang, dan kakimu terseliuh. Saat itu Omar bagaikan ingin berlari mendapatkanmu, namun dia sedar dia telah kehilangan haknya. Omar ada membuat panggilan kepadaku pada suatu malam. Suaranya tersekat-sekat, ada sendu yang bernada pada hujung suaranya. Ceritanya mengenai sebuah sesal yang bersarang di hatinya kerana tidak bersamamu saat dikau sakit. Zafran, bersyukurlah kerana Omar ada di sisimu.

1 September 2009

“Omar, awak perlu berehat. Jangan banyak berfikir mengenai urusan kolej awak. Ingat tujuan utama awak adalah untuk belajar. Bukannya mengurus kolej. Kerja biarlah berpadanan dengan kudrat.” Lembut Doktor Hashim menasihati Omar yang terbaring di katil hospital. Setia di sisinya kedua orang tua tercinta. Juga sahabat yang sudah ingin berangkat pulang setelah lama menghabiskan masa bertanya khabar. Mak Min mengusap lembut tangan Omar – anak kesayangannya. Sememangnya dari kecil, sudah jelas kelihatan bakat kepimpinan anaknya itu. Mungkin berputik dari latar dirinya dan suami. Mak Min atau Puan Azmin seorang pesara guru, dan Ayah Mat atau Encik Asmat pula merupakan seorang broker emas yang berjaya. Melatih didik anak kesayangan melalui teladan sungguhpun keduanya sibuk menguruskan karier masing-masing.

“Omar, dengarlah nasihat doktor tu. Ma mahu Omar ke sana untuk belajar, bukan untuk memenatkan diri dengan kerja luar. Memang penting membina pengalaman, namun jangan sampai semua pengalaman itu tidak sempat digunakan.” Omar tersenyum. Dia faham dan akur dengan kata ibunya. Ayah Mat hanya memerhati selepas mengucapkan terima kasih kepada doktor yang bertugas.

Suasana hospital awam sungguhpun kelas pertama tidak ada bezanya. Masih hiruk pikuk terutamanya pada waktu melawat. Memang hajat Ayah Mat untuk membawa Omar ke hospital swasta, namun anak lelakinya yang seorang itu menolak. Tidak ingin Ayah Mat memaksa, bimbang tekanan semakin tinggi. Biarlah diikut kata hati anaknya. Dari enam adik beradik, Omar satu-satunya cahaya mata lelaki. Bagai menatang minyak yang penuh. Ungkapan paling sesuai untuk dibicara – bagaimana tertib aturnya mereka berdua membentuk arjuna tunggal dalam keluarga. Sedari kecil dia sering menyerlah, bukan sahaja dalam kalangan adik beradik, namun juga dalam kalangan rakan sebaya. Mulutnya petah, gayanya santai, dan berani menghadapi cabaran.

Ayah Mat dan Mak Min tahu mengenai persahabatannya dengan Zafran, sungguhpun tidak pernah Zafran ditemui. Namun, dalam perbualan ketika pulang bercuti, sering bermain dalam ungkapan Omar mengenai kisah Zafran dengannya. Pengalaman semasa hari kuliah, mahupun ketika riadah. Pada mulanya timbul rasa curiga di hati orang tua, namun perlahan ia terbenam ke lautan kepercayaan, memandangkan sedari kecil, Omar sering memintakan adik lelaki, ataupun kawan lelaki. Katanya bosan – terutama apabila membeli belah ketika hari raya saban tahun. Seringkali dia ditinggal-tinggalkan memilih pakaian sendirian, sedangkan Mak Min sibuk melayan karenah lima puteri dalam keluarga. Perangai wanita apabila ke pasaraya – semua sudah maklum bukan.

Untuk itu, tidak pernah Mak Min dan Ayah Mat melarang Omar bergaul. Namun, batas syariat adalah keutamaan yang mesti diutamakan melebihi segalanya. Mereka berdua tahu Omar pandai menjaga diri. Dialah permata yang menjadi pulau seandainya jatuh ke laut, dialah gunung sekiranya jatuh ke darat, dan dialah kebahagiaan saat singgah sebentar di lubuk hati.

Omar – anakku, semoga dikau sentiasa dirahmati Allah, cepatlah sembuh, tidak sanggup Ma melihat dirimu terlantar. Cepatlah riang semula, sudah lama senyummu hilang, entah apa sebabnya, Ma sendiri tidak mengerti. Suatu petang di hujung minggu dikau pulang, namun dikau tinggalkan keceriaan entah di ceruk mana. Anakku, leraikanlah kekusutan yang ada dalam hatimu, pulanglah ke dalam pelukan Ma dan Abah, kami akan selamanya mencintai dirimu; anakku.

Hati kecil Mak Min bermain kata hati seorang diri. Matanya bergenang-genang riak air mata. Tidak ingin mata tuanya melihat anak kesayangan terlantar lemah pada katil hospital. Lantas dia bangun dan pemandangan daripada tingkat lima Hospital Sultanah Bahiyah dipandangnya dalam-dalam. Suaminya lesap entah ke mana. Mungkin ke kafe hospital. Memori yang dulu datang berpinar-pinar dalam ingatan. Hafiz! Segera ingatannya teringat pada anak kawan karibnya. Ya, Hafiz rapat dengan Omar. Sekali sekala pulang ke kampung, pasti Omar banyak menghabiskan masa dengan Hafiz. Tentu Hafiz tahu mengapa Omar berubah. Mungkin suram yang melanda laut keimanan Omar, ada ceritanya pada sungai persahabatan Hafiz dan Omar. Segera dicapai telefon bimbit, dan ditinggalkan seketika Omar yang nyenyak tidur. Hafiz, bantulah Mak Min, getus hati tua seorang ibu.

27 Oktober 2010

Maafkan daku Omar. Hari ini terasa sungguh berat tanganku ingin menekan butang huruf yang tersusun pada muka komputer riba ini. Saban hari daku berfikir, terkadang termenung sendiri. Takut mengenangkan episod yang dari hari ke sehari daku sambung dan terus sambung. Tiba juga hari ini. Omar, mungkin tidak dikau punyai kesempatan membaca cerita ini, namun demi insan yang setia pada kisah hidupmu, dan Zafran yang masih ada, daku singkapkan juga tabir rahsia.

Saat dikau terlantar penat di katil hospital pada suatu ketika dahulu. Ibumu ada membuat panggilan kepadaku. Aku menjawabnya seperti biasa. Awal perbualan adalah seperti sediakala, daku bertanyakan khabar ayah dan ibumu, perkhabaran mengenai dirimu, dan apa mungkin cepat dikau boleh pulang. Ibumu bersahaja menjawabnya. Pada nada suaranya ada sedikit kelainan sungguhpun daku menerima jawaban sebagaimana yang dikehendaki. Tidak lama perbualan, ibumu mulai bertanya soalan mengenai durja hidupmu. Punca kesuraman, dan kelam wajah manismu. Hatiku dihimpit serba salah. Diluah mati emak, ditelan mati ayah. Teringat akan janji yang telah daku paterikan ketika wajahmu disembam pada bahuku – daku mulai bimbang tidak berarah.

Daku mulai menyimpul perbualan dengan berbasa basi. Namun ibumu bukan mudah berputus asa. Kata dan nada keibuannya membuatkan hatiku berduka jika menyembunyikan punca dirimu gundah, dan ibu tidak pernah tenang selagi rahsia itu masih belum terungkap. Demi menjaga hatinya, dan demi melihat dirimu kembali berbahagia daku ceritakan juga mengenai hal ehwal dirimu dan juga Zafran. Bermula dari apa yang daku tahu, sehinggalah keadaanmu yang terlantar, semuanya daku rungkaikan. Ibumu muram, nadanya diam, suaranya bisu. Hanya helaan nafas kecil menemani bicaraku. Seribu macam rasa sebak di hatiku tidak tertanggung. Rasa bersalah, rasa bertanggungjawab, rasa dukacita, rasa yang tidak mungkin terucap. Hujung bicara daku dan ibumu pada petang itu berakhir dengan katanya yang amat berkesan pada hatiku. Kata ibumu “burung tidak mungkin terbang jauh jika bersendirian”.

Ya Omar. Tidak akan mungkin burung terbang jauh jika bersendirian. Namun, juga aku sedari aku bukanlah peneman yang baik. Jarak jauh yang terundang membuatkan kita hanya akrab di kampung. Dan terkadang kita berdua sibuk pula dengan segala macam aktiviti di kampung. Kita cuba untuk bercerita, namun masa seakan tidak pernah mengizinkannya. Dalam diam aku sedar. Insan yang sering membuatkan dirimu gagah ialah Zafran. Dialah yang sering dikau bualkan ketika kita bersama, mahupun dari pesanan ringkas yang menjadi penghubung kita. Dikau tidak pernah jemu sungguhpun hati sering ditarah kedukaan bersamanya. Dikau tetap sabar melayan karenah nakal, manja, dan kadangkala turut menyakitkan hati. Daku terkadang mual mendengar kisah Zafran yang sering dikau titipkan dalam perbualan kita, namun bersemi juga rasa kagum pada kehebatan dan keistimewaan dirinya sehinggakan membuatkan dirimu gagah, bersemangat, dan berkarisma tika bersamanya. Zafran, dialah peneman yang telah membuatkan dirimu terbang jauh bersama cita-citamu. Bukan daku tidak tahu impianmu yang ingin meneraju sebuah kota bergemerlapan dengan simbahan keimanan dan ketakwaan dengan bersumbukan al Quran dan as Sunnah. Kehilangannya dalam citra hidupmu membuatkan katarsis perjuangan itu hilang. Dikau telah kehilangan separuh kekuatanmu, namun kerja, dan bebanan tetap datang bertalu seakan kekuatanmu sama seperti dahulu. Dikau rebah pada suatu masa, kerana kekuatanmu hilang disambar sebuah ukhuwwah yang terbakar.

Hari ini, sekian lama sebuah pertemuan yang dikau impikan telah hancur musnah. Masih daku ingat, dan daku simpan ia sebagai ingatan yang berpanjangan, tanggal 13 Mac 2010. Betapa dikau girang bercerita dari kejauhan mengenai persahabatanmu yang mulai berputik ceria. Daku tumpang gembira dan berbahagia sekali mendengar suaramu yang bagaikan berpesta riang.

13 Mac 2010

SOMBONG!

Satu SMS ringkas dari teman yang ditunggu-tunggu. Setahun lamanya menanti. Sudah lama nama itu tidak muncul pada muka telefon bimbitnya. Omar tersenyum. Hatinya bebas dan senang. Tidak ada perkataan yang mampu mengungkap madah kegembiraan perasaan dan hatinya ketika itu. Segera jarinya mengetik papan pemuka N70 pemberian ayahnya.

Sombong? Siapa? Aku ke? (@@,)

Ya! Kau lah sombong!

Kenapa pulak?

Kau langsung tak tegur aku kat surau tadi! Lepas maghrib kau pergi macam tu je…

Lar… aku ada urusan sedikit yang nak dibereskan… nanti Isyak kita jumpa. Dan aku takkan sombong lagi. Okke?

Yelar… kau selalu sibukkan… Mana ada masa untuk kawan-kawan… Hik hik

Tak lah… Sibuk tu bukan penghalang ukhuwwah dengan sesiapapun… Kita jumpa Isyak nanti. Assalamualaikum sahabatku; Zafran.

Insya Allah. Waalaikum salam.. Omar.. (‘ ‘,)

Hati Omar berbunga. Ingin sahaja dia cepatkan sahaja perbincangan yang sedang berlangsung. Namun, kerana menghormati Yang di Pertua, dia hanya diam, sungguhpun fikirannya bukan lagi berada di dalam ruang mesyuarat. Pada bayangan mindanya bukan lagi mengenai Hari Terbuka Kolej Kediaman yang bakal berlangsung, namun bagaimana dia bersemuka dengan Zafran yang sudah setahun merenggangkan diri.

“Omar, apa pendapat awak?” Suara YDP Amri menghembus kabus khayalan Omar. Dia sengaja menegur Omar kerana dilihatnya Omar tidak memberi perhatian sepanjang mesyuarat.

Omar menggelabah. Entah apa yang dibincangkan.

“Hmm… saya setuju!” Yakin sahaja bunyi suaranya. Menyembunyikan getar gelabah dan kaget dirinya.

“Awak setuju apa Omar?” Tanya YDP Amri yang seakan tidak faham.

“Saya setuju dengan apa yang dibincangkan tadi.” Omar menutup malunya. Mukanya mulai kemerahan menahan setiap pandangan yang tajam memerhati.

“Omar, kita sedang bincangkan mengenai senarai tetamu jemputan. Kerusi yang disediakan mencukupi atau tidak.” YDP Amri memberi penjelasan sambil melemparkan satu senyuman sinis dan gelengan.

“Oh… Maafkan saya, saya tidak memberi perhatian. Maafkan saya.” Omar tunduk sambil mengakui kesilapannya. Entah apalah yang difikirkan oleh AMP yang lain. Portfolionya selaku Naib Yang Di Pertua sering sahaja tercalar dengan khayalan serta iguan yang bertandang.

“Omar, kalau awak tak dapat memberi perhatian, awak boleh meninggalkan ruang mesyuarat.” Tegas YDP Amri memberi kata putus.

Senggang tidak seberapa lama antara kata terakhir YDP Amri, azan Isyak berkumandang dari corong pembesar suara Surau al-Imran. Biasanya mesyuarat akan ditangguhkan bagi sama-sama menunaikan solat Isyak dan kemudiannya disambung semula seusai solat. Omar menarik lafaz lega. Ustaz Danial, Exco 3P memandang sinis kepada Omar. Dia sememangnya sering sahaja ingin bersaing dengan Omar. Kata-kata Omar kerap juga dibidas oleh Ustaz Danial dengan pedas. Namun, oleh kerana keduanya di dalam usrah yang sama di bawah jagaan Ustaz Faiz, Omar biarkan sahaja. Tidak ingin lagi dia putuskan silaturrahim.

Selepas YDP Amri menangguhkan mesyuarat bagi menunaikan solat Isyak, semua bergegas ke Surau al Imran, terutama Omar. Kalau boleh dia ingin terbang ke Surau al Imran yang jaraknya hanya 100 meter dari bilik mesyuarat.

Kaki tangga surau al Imran yang dahulunya menjadi tempat di melepaskan rindu dengan berdiam sambil merenung fana kini terasa sungguh hangat. Tatkala memijak anak tangga dan doa dibaca, jiwanya tergantung dalam kegembiraan. Segera melangkahi ke dalam ruang solat utama yang berlantaikan karpet biru tua. Matanya melilau kiri dan kanan, melihat di mana teman kerinduannya. Di mana Zafran? Hati girangnya perlahan suram. Zafran tidak ada, mungkin dia keluar makan. Perkataan untuk memujuk dirinya tidak berkesan. Lamunan terhenti selepas ditegur Ustaz Faiz yang kebetulan berada di situ. Set sofa lama yang sudah uzur itu memang sering dijadikan tempat rehat sambil-sambil membaca al Quran sementara menanti waktu Isyak.

“Cari siapa Omar?” Tanya Ustaz Faiz yang hairan melihat lilauan mata Omar.

“Tak, tak ada apa-apa. Saya ambil wudhu dulu ya.” Omar berdolak dalik.

Kiranya dia sudah dapat membohongi naqibnya, nyatanya gagal. Seorang naqib sehebat Ustaz Faiz bukan mudah untuk dibohongi. Kata orang, jika sekilas ikan di air sudah tahu mana jantan mana betinanya, namun untuk Ustaz Faiz, sekilas pandang telur di sanggar, sudah tahu mana jantan mana betinanya. Dia luar biasa. Kata-kata Omar yang dia cukup tahu penuh dengan rahsia dihadamnya dengan perlahan-lahan sambil tersenyum. Hati kecilnya bermonolog sendiri.

Omar… Omar… jikalau dapat daku katakan adanya teman akrab sebagaimana akrabnya Abu Bakar as Siddiq dengan Rasulullah, tentulah dikau yang pertama daku contohkan. Kasihmu pada Zafran umpama mengasihi dirimu sendiri. Saat dia sakit, dikau turut merasainya, saat dia gembira dikau girang ceria, dan saat dia hilang, dikau hambar dalam kesepian. Moga Allah jadikan dikau insan paling bahagia di dunia dan di akhirat.

Iqamat sudah berkumandang. Omar cepat sahaja ke saf hadapan, mengambil tempat di sebelah kiri bilal, betul-betul di belakang imam. Kata ulama’, orang yang betul-betul berada di belakang imam solatnya akan di doakan oleh para malaikat. Wallahualam.

Bacaan imam di dalam solat tadi sungguh menyentuh jiwa. Dengan penuh tartil imam membaca surah al Furqan. Setibanya pada ayat ke 28, hati Omar berasa sayu dan pilu.

Barang siapa salah dalam memilih sahabat, maka ia akan menyesal pada hari akhirat. Allah berfirman: “wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karibku!”

Hati Omar sayu. Dia bimbang jika perkataan ini akan terpacul di bibir sahabatnya kelak. Kerana gagal membimbing ataupun sama-sama terjatuh dalam mengejar cinta dan redha Allah.

Seusai solat, selepas salam kiri yang bersadur doa meminta ampun dan dijauhkan dari neraka, mata Omar terpaku pada susuk yang berdiri melengkapkan solat kerana masbuk. Zafran.

Wirid dibaca satu persatu dengan tertib. Rasa keagungan Allah yang Maha Bijaksana dalam menentukan takdir di luar pengetahuan dan perhitungan manusia meresap jauh ke dalam sanubari Omar. Hatinya bagai dijirus kesegaran iman, ketenangan, dan kerinduan yang sudah lama kekontangan. Sayu doa yang dibaca imam. Ustaz Faiz, naqibnya memang antara anak muda yang dihormati kerana pengetahuannya di samping adat-adat imam yang menyentuh hati setiap makmum. Dalam nada perlahan Omar merayu kepada Allah. Kerana Allah itu dekat, malah lebih dekat daripada kerongkong, bisikan yang ikhlas pasti akan didengari oleh Dia yang Maha Mendengar.

Ya Allah yang Maha Berkuasa, Maha Pengasih, Maha Pemurah, Maha Pendengar, dan Maha Lembut. Terlalu agung kuasaMu sehingga aku terkebil mengenangkannya. Aturan takdirMu jauh menyimpang daripada susunan pengetahuan dan ramalanku. Ya Allah, rupanya doaku yang lama bersahut juga akhirnya. Segala puji hanyalah bagiMu Tuhan Pemilik Roh dan Jasad yang telah menyatukan kembali dua hamba yang berpisah. Ya Allah, atas sifatMu yang Maha Pengasih, maka kasihanilah kami hambaMu yang berdua ini. Tuntunlah kami ke jalan yang lurus, ke jalan yang benar, ke jalan yang diredhaiMu. Daku tahu, dan yakin Dikau mengetahui niat di hatiku, kata di bibirku, kalam di tulisanku samada yang tersembunyi mahupun zahir. Dan Dikaulah yang mengetahui kasihnya daku pada sahabatku Zafran. Ya Allah, kekalkanlah mahabbah ini untuk selama-lamanya. Amin Ya Robbal Alamiin.

Doa diaminkan dengan bersungguh-sungguh. Semoga Allah yang Maha Kaya memakbulkan doa sekalian hambaNya.

“Omar…” Teguran lembut Zafran seusai bersalam-salaman menyiram laman kegusaran Omar. Lembut senyum dan cahaya wajah Zafran membuahkan ceria kepada Omar. Oh Tuha, Dikau telah makbulkan doaku.

“Zafran… aku tak sombong!” Balas Omar sambil mencuit bahu sahabatnya. Sudah lama detik itu dirindui, dan diimpikan. Dia senyum gembira, tidak ada perkataan yang lebih bahagia untuk dinyatakan bagaimana rasa dan keadaan Omar ketika itu. Di dalam rumah Allah yang permai, dua sahabat kembali mengasihi. Kembali berbahu-bahu menuju Illahi.

Zafran lantas memeluk sahabat kecintaannya yang sering dirindui kerana menurut egonya.

“Ya, kau tak sombong. Aku yang sombong!” Suara Zafran sebak. Omar turut sebak. Dia tidak lagi mempedulikan mata-mata yang memerhati. Dia hanya ingin melempiaskan segala kerinduan yang telah tenggelam dalam keegoannya dahulu. Dia tahu, terlalu banyak kesilapan dan kesalahan yang telah dia lakukan terhadap Omar. Omar sudah banyak kali, bahkan sentiasa cuba memujuk hatinya untuk menyatukan kembali persahabatan mereka. Namun, dek kerana hasutan nafsu dan tertipu pada kehendak hati, dia membiarkan pujukan itu bagai debu yang dilirik bayu. Oh Omar sahabatku, maafkanlah daku.

Sebak, sayu, pilu, terharu, gembira, bahagia semuanya bercampur baur. Tidak ada kata mampu dirungkai untuk mengubahnya menajdi suatu puisi. Perasaan itu sungguh asing dan sungguh meyakinkan. Omar memeluk kejap Zafran. Perlahan dipipinya dapat dirasakan panasn – mengalir air matanya bersatu dengan air mata Zafran.

Pelukan dirungkaikan.

Ustaz Faiz memandang dari jauh. Memerhati tingkah laku dua bersahabat. Ya Allah, agung sungguh kekuasaanMu. Hati-hati yang pada jangkaanku akan terus berderai akhirnya bertaut kembali.

12 Julai 2010

Persahabatan Omar dan Zafran sering menjadi sebutan. Keakraban, keintiman, dan kasih sayang antara mereka bagai dapat dirasai oleh semua. Semasa bergabung kelas, kerusi di tepi Omar akan dibiarkan kosong oleh rakan sekelas yang tahu akan diisi oleh Zafran. Isnin dan Khamis pula akan diisi dengan iftor jama’ie. Kadang-kadang sekadar di kafetaria di dalam kolej, kadangkala di restoran-restoran sekitar kawasan kolej. Mereka memang akrab. Tidak pelik melihat mereka saling berbalas mesej, dan saling berhubung melalui telefon. Pujangga pernah berkata

Persahabatan itu umpama jambangan bunga yang indah. Suatu masa ia bisa terhempas dan berderai. Gubahannya hancur. Sampai saat ia digubah semula, namun tidak akan pernah sama dengan gubahan pertama. Adakalanya ia tidak lagi seindah sebelumnya, adakalanya ia akan menjadi lebih indah dari gubahan yang pertama.

13 Julai 2010

Hari ini hari Selasa. Di padang kolej berlangsung Pertandingan Memanah Piala Persahabatan. Pertandingan yang diilhamkan oleh Timbalan Naib Pengarah kolej, dan direalisasikan oleh Biro Sukan nampaknya mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Daripada jendela biliknya yang setentang mengadap padang, Omar memerhati pertandingan yang berlangsung. Hari ini terasa sungguh meletihkan. Tengah hari tadi matanya berpinar, terasa ingin jatuh namun nasibnya baik sempat berpaut pada kerusi di dalam kelas. Teman sekuliahnya; Arsyad menegur wajahnya yang kian pucat dan berpeluh. Berbasa-basi memberi alasan – hanya pening sedikit katanya.

Dalam diam dia banyak berahsia.

Jam di dinding menunjukkan angka 5.30 petang. Asar tadi dia tidak sempat untuk berjemaah di surau. Kesakitan yang menyucuk-nyucuk perutnya membuatkan segala kekuatan tubuh seakan hilang. Untuk berdiri pun dirasanya tidak mampu, namun digagahkan jua untuk berwudhuk dan menunaikan solat Asar. Teman sebiliknya; Asyraf, secara kebetulannya terpaksa menghadiri kursus selama seminggu. Kebiasaannya Asyraflah yang membantu sekiranya Omar terlantar menahan keperitan ulser peptik. Sudah sekian lama dia merahsiakan mengenai penyakitnya daripada pengetahuan umum. Semasa terlantar di hospital tahun lepas, doktor yang merawatnya mengatakan ulser peptiknya semakin teruk. Saluran gastrousus perutnya seakan sudah tidak terlindung lagi. Asid perut dan enzim yang sepatutnya berfungsi sebagai pelarut makanan kini sedang menghakis dinding perut dan duodenum. Ulser gasternya sudah dijangkiti borok yang menjadi punca kesakitan dan menyebabkan Omar pengsan.

Ingatan Omar berputar pada kata-kata Doktor Hashim semasa menerima rawatan pada September tahun lepas.

“Jika ulser tidak dirawat, dinding perut atau duedonum boleh pecah. Pendarahan akan berlaku apabila ulser menembusi lapisan otot dan merosakkan saluran darah. Pendarahan dan penembusan ini merupakan suatu keadaan yang serius dan ianya memerlukan pembedahan segera bagi memperbaiki kerosakan tersebut. Tanpa rawatan hospital, nyawa pesakit mungkin terancam akibat pendarahan. Omar, awak perlu berehat. Tekanan yang tidak terurus akan melambatkan proses penyembuhan penyakit ini. Bertenang dan relaks dalam menghadapi cabaran harian”.

Subhanallah. Aku redha dengan ujianMu Ya Allah. Ampunkanlah dosa hambaMu yang hina ini.

14 Julai 2010

Alhamdulillah. Setelah berehat dan mengambil ubat-ubatan antasid, sakit yang menyucuk di bawah tulang dada semakin hilang. Hari ini Omar kembali bersemangat untuk memulakan kehidupan seperti biasa. Kesibukannya sebagai AMP nampaknya semakin menjadi-jadi. Biarpun dinasihatkan Doktor Hashim untuk berehat dan menjalani kehidupan yang tenang, dia bertegas untuk meneruskan amanah yang telah ditugaskan oleh pelajar dan pihak pentadbiran. Tidak ingin dia sia-siakan harapan dan kepercayaan ramai orang. Semasa menghadapi Pilihan Raya Kampus, janji sudah dipateri untuk berkhidmat dengan lebih baik, dan memperbaharui imej AMP yang telah tercemar sebelum ini.

Zafran ada melawatnya semalam. Jelas pada wajah sahabatnya itu kerisauan dan kebimbangan mengenai dirinya. Persahabatan yang bersemi nampaknya sungguh cerah menerangi jalan mereka untuk menjunjung sunnah Nabi Muhammad sollallahualaihiwasallam – sunnah dalam persahabatan. Persahabatan Nabi Muhammad dan Abu Bakas as-Siddiq sering dijadikan rujukan dalam menyuburkan ukhuwwah mereka. Kata-kata Baginda sebagaimana yang dinaqalkan di dalam buku susunan Syed Ahmad Semait, Sepuluh Yang Dijaminkan Masuk Syurga, katanya:

Semoga Allah merahmatimu! Engkau adalah sahabatku! Engkau telah membenarkanku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah membantuku ketika orang lain membiarkanku, engkau telah beriman kepadaku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah mententeramkan hatiku ketika hatiku sedang dalam keadaan keluh kesah. Sesungguhnya tiada siapa pun, biar apa pun sekali yang dilakukannya buat diriku yang dapat menyamai apa yang dibuat olehmu.”

Mengalir air mata Omar mahupun Zafran setiap kali mengenangkan bait kata peri seorang Rasul pada sahabatnya. Sungguh murni kasih sayang mereka. Susah dan senang bersama sepanjang masa. Dialah – Abu Bakar sahabat yang sebenar-benar sahabat yang tidak mungkin lagi dapat berganti di dunia ini.

Namun, dunia hari ini bukanlah dunia silam zaman kenabian. Saat kemurnian kasih sayang merupakan puncak kebahagiaan. Dunia songsang yang meneroka dunia menyebabkan fitnah sering lebih dipermudahkan tanpa bukti. Pandangan yang sering menipu dijadikan fakta menuduh dan merobohkan kasih sayang. Apabila sang arjuna berteman pada teruna, keduanya difitnah menyalahi fitrah, namun apabila sang dara bermanja pada sang lelaki, maka ia dikatakan fitrah kebiasaan dihadapi semua orang. Di mana sebuah sunnah yang telah dinukilkan oleh Rasulullah? Cinta hanya untuk Allah, kasih sayang untuk sesama makhluk, dan saat hubungan wanita dan lelaki belum mencapai syariat yang menghalalkan, maka carilah sahabat menuju keredhaan Allah. Insan yang bijaksana bukan hanya berfikir untuk dunia, namun pada akalnya terukir sebuah syurga untuk dicapai dengan menggapai dunia.

No comments:

Blog Stats

SEKAYU

SEKAYU