Friday, May 21, 2010

Bersabarlah, Cahaya Jiwaku

Lewat kirmizi mewarnai latar langit, langkah daku atur menuju ke Balai Islam untuk berjemaah Maghrib sebagaimana tuntutan Baginda Rasulullah. Usai solat, daku gunakan peluang untuk berehat seketika sambil membelek nota-nota Pengajian Melayu. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Sekuntum mesej daripada insan yang mencicipi ruang hati. Muram dan sedih bunyi pesanan ringkasnya, membuatkan hati sedikit bergolak ketenangannya. Mengenai hubungannya dengan suami yang kini hambar serta bungkam. Dari kejauhan, hanya ucapan sabar dan tabah mampu daku ukirkan buat hati nan merah yang kian pudar warnanya.

“Sabarlah cahaya jiwaku, sesungguhnya Allah menyanyangi insan-insan yang sabar”.

Seusai solat, daku ingin luangkan secebis masa, cuba meluahkan pendapat buat cahaya jiwaku yang kecamuk fikirnya saat ini. Namun, perut mula berketuk kompang, minta diisi. Sekarang, jam 11.00 barulah mampu daku luahkan fikiran buatnya.

Cahaya jiwaku. Usiamu 25 tahun, dan suamimu 30 tahun. Daku memang berusia jauh lebih muda. Namun, sebagai persediaan menempuhi alam sebagaimana yang telah dikau alami, maka telah daku mula persiapkan segala pengetahuan mulai sekarang. Mengenai masalah yang mengganggu pelabuhan hatimu. Ini mungkin jawapan yang bisa menaut kembali kapal yang hanyut dipukul badai.

Cahaya jiwaku. Usia 30 tahun merupakan persimpangan dilema buat setiap insan yang bergelar lelaki biasa. Arus pada usia ini sungguh gagah, menyebabkan lelaki terkuat pun akan kelemasan dan tersungkur rebah. Pada takah ini. Suara suamimu akan sunyi dari pendengaranmu. Bukan kerana dirimu yang berubah wajah, mahupun susuk yang makin “indah”. Namun, bicara madahnya bagaikan patah, puisinya sudah tidak mampu untuk bernada. Bukan dia tidak cinta, namun segalanya merupakan suatu yang tiada bahasa untuk mendefinisikannya. Bagaikan satu fitrah yang tidak terelak. Daku akan alaminya juga. Namun, sebagai persiapan, telah daku ukirkan puisi-puisi indah mulai sekarang, agar ketika suaraku hambar dan sepi, puisiku masih mampu merungkai rindu seorang permaisuri.

Kata pujangga, dilema 40: saat malamnya daku rindukan mentari yang gemilang, namun, saat siangnya, daku rindukan bintang yang bertabur. Kenapa? Aku sendiri tidak mengerti. Akukah aku ini?

Cahaya jiwaku. Bersabarlah dengan sepenuh keimanan. Jika dahulu sering dikau dan dia solat berjemaah, maka kini tambahkan kepada qiamullail bersama. Pada saat 1/3 malam, rajutlah doa kepada Allah agar dikurniakan rahmatNya buat perhubungan ini. Sesungguhnya, hubungan yang dirahmati akan berbunga mekar dengan kebahagiaan dan dijauhi hati dari tersemai benih-benih prasangka serta curiga. Daku juga doakan kesabaran untuk dirimu, dan juga suamimu.

Cahaya jiwaku. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Menurut buku yang daku hayati, pada saat ini, bicara bukanlah medium yang terbaik. Lembarkan buat suamimu warkah cinta yang berbaur harapan dan kemaafan. Katakan padanya:

Suamiku,

Ini pesan dari teman wanitamu,

Yang kemudian menjadi isterimu,

Dan kini ibu kepada anak perempuanmu.

Kini daku lihat dikau banyak membungkam,

Kata dan madahmu hilang ditelan angan

Daku rindukan sebentuk penghargaan

Bukan emas mahupun intan

Namun cukuplah sekadar gurauan, dan pelukan.

Daku masih isterimu yang dahulu,

Sebagaimana perkenalan,

Setelah berkelana diriku tetap begini,

Mungkin susukku tidak seanggun dulu,

Kerana bukan sedikit urat yang putus

bukan sedikit luka dan parut,

saat zuriat kita menjengah dunia.

Suamiku,

Cintaku padamu tidak pernah berkurang,

Bahkan sentiasa bertambah,

Entah dari mana bermulanya lautan cinta ini,

Sedar-sedar,

Daku sudah berlabuh pada syurga dunia.

Suamiku,

Andai ada yang tersilap maka maafkanlah daku,

Jangan hilangkan cintamu padaku,

Kerana hatiku sudah dikau ukir dengan kasihmu.

Pada Allah daku rafakkan doa serta harapan,

Agar cinta kita kembali berbahagia,

Gagahilah dirimu duhai perwiraku,

Tempuhilah arus dengan iman dan taqwa,

Daku akan sentiasa bersamamu,

Dengan tega dan lantang,

“Maralah suamiku, daku sentiasa ada di sisimu”.

#pedoman buat Cahaya Jiwaku yang kini tenang jiwanya tergugat pada ombak yang membadai pantai hatinya. Moga Allah kurniakan ketabahan buat Cahaya Jiwaku.

No comments:

Blog Stats

SEKAYU

SEKAYU