Thursday, May 13, 2010

Ini Sebabnya; Ayuhai Mata Hatiku

Sahabat. Berikan daku masa dan ruang. Bukan daku minta suatu berbayar yang perlu kalian tanggung rugiannya. Namun, hanya detik masa yang lalunya adalah melalui jiwa dan jasadku seorang. Berikan daku ruang untuk menguntaikan muhasabah yang lama tempohnya berlalu merentasi ruang angkasa ketakwaan, biarlah daku sendiri yang tentukan. Janganlah menjaga bimbang dan kerisauan di dalam benak akal dan fikirmu. Tahulah daku menjaga diri dan merajut simpati pada Illahi. Tahulah daku memilih akal untuk daku pautkan pada cinta agung yang masih daku tercari-cari. Sahabat, janganlah terlalu mengikat daku. Daku bimbang kelemasan ini mampu merenggut jiwa yang kini pecah dan berderai. Beribu bintang akan terus berkerlipan sungguhpun daku hentikan jasad demi mencantumkan kembali kepingan-kepingan hati yang bertebaran di pelusuk kalbu yang kosong. Sahabatku, sesungguhnya daku pincang dalam langkah yang seringkali dikau katakan berkarisma. Dalam diam daku menyulam seribu kesedihan yang tiada lagu untuk menjadi nadanya, tiada puisi untuk mengungkapnya, dan tiada bait yang mampu menghuraikannya. Sahabatku, jangan memandang daku terlalu tinggi. Sesungguhnya benar bulan itu indah, namun hanyalah dari kejauhan keindahan itu. Saat kaki memulakan langkah pertama menginjak mukanya, barulah kita ketahui bahawasanya ia tandus. Sungguhpun menjadi pujaan pujangga dan puisi, mereka hanya melihat sinarnya sedangkan belum pernah pawananya menyapa pipi yang meratap pada puisi bulan. Sahabatku, daku umpama bulan, dari bumi bulan tampak indah, namun dari bulan, bumilah tanah yang paling mengagumkan. Di bumi ada sungai yang mengalir sejuk, suaranya yang berbisik dibatasi siulan angin yang menyapa lembut dedaunan hijau yang semilir bambu berketuk menari riang. Di bulan suasananya tidak sebegitu. Rupanya dari jauh memang indah. Seringkali cahayanya dikaitkan dengan madah cinta yang sungguh mengasyikkan. Tapi sayang, rupanya itu sinar mentari, hanya terpantul pada muka bulan. Bulan sedih. Seringkali bulat bujur bentuknya menjadi gambaran cantik jelita perawan bumi yang bermain di gigi-gigi air mengalir tenang. Namun, kala mata melihatnya dekat pada rupa, jiwa terkedu, hati hampir membeku. Rupanya rawan pujangga pada bulan adalah kerana mimpi, bukannya kerana pasti. Bulan tidak indah. Anginnya tidak semilir angin yang menyanyi di bumi, di sana manusia tidak boleh bernafas. Di sana, sungai hanyalah suatu angan-angan. Bambu dan senduduk hanyalah khayalan yang jauh meliar membatasi awan yang tidak mungkin ada. Subhanallah. Bulan tidak seindah yang difikirkan. Bulan sungguh cacat. Sahabatku, dengan imanmu dan takwamu jagailah agamaku, amalku, dan bajailah keyakinan yang sedang berputik ini. Daku perlukan secebis masa. Secebis masa yang bayarannya hanya daku yang menanggungnya. Fahamilah daku. Fahamilah daku. Fahamilah daku. Ada luka yang belum terubat, ada parut yang masih tersisa, ada sakit yang masih terasa, ada lemah yang masih menyengat, ada letih yang memerlukan rehat, ada silap yang perlu diperbetulkan, ada perjuangan yang menuntut pengorbanan, ada jiwa yang perlu diubati, ada kalbu yang perlu dicuci, ada iman yang perlu dicari. Berikan daku seuntai masa untuk daku mempercukupkan diri dengan siaga yang lengkap bagi menyertaimu di perbatasan. Kini, saat ini, masa ini, daku baharu mula belajar mengasah pedang, jangan ajak daku berperang kerana belum aku belajar untuk menyarung apatah lagi mengangkat pedang. Secara luarnya mungkin daku tukang besi mencipta sejuta pedang, namun bukan ertinya daku pakar dalam peperangan. Berikan daku masa untuk mempelajari semuanya. Sahabatku, teruskanlah perjuangan. Daku sentiasa menyokong dari belakang sungguhpun sekadar orang suruhan pembawa air. Percayalah, perjuangan kalian merupakan perjuangan mulia. Teruskanlah langkah dan berlarilah untuknya. Daku akan menunggu di garisan penamat dengan segelas air dan secangkir tahniah. Namun, tunggulah saat daku sudah boleh berlari, kita akan sama-sama menuju garis penamat, dan di situ daku bukanlah seorang yang mudah mengaku kalah. Untuk saat itu, daku perlukan masa ini. Persiapan dan siaga perlu daku lengkapkan. Sahabatku, tunggulah hari daku berlari bersamamu. Jangan berani mengelip mata, kerana saat itu daku sudah mendahuluimu sungguhpun hanya setapak dua.


2 comments:

محمد حذوان بن حميدان said...

hmm..baru ku tahu sbbnya..
igtlah..sbagai shbt, mnta prtlngan dariku tika dirimu dlm keadaan mmrlukan,insyaALLAH sgale kudrat yg mmpu akn kucurahkan..dirmu bkn keseorangan.. (^_^)

Nurhafizu Adha said...

syukran ya akhi. insya Allah. moga Allah jadikan enta seorang sahabat yang mulia

Blog Stats

SEKAYU

SEKAYU