There was an error in this gadget

Tuesday, May 18, 2010

Cinta Ini Dari Bagaimana Untuk Bila?



Mencari sahabat sejati. Bukan senang menyelongkar jarum bagi mencari jerami. Apatah lagi membelek deraian kaca demi mencari sebentuk intan. Sungguh payah. Namun, saat perjuangan itu menemukan hasilnya, hati berasa puas dan jiwa dibaluti seribu kebanggaan.

Perjalanan yang terkadang indah, dicatur dengan sebuah keperitan, menjadikan insan lebih dewasa. Marah dan rajuknya membujuk sebuah kenangan yang membantu jiwa merandai kehidupan. Seringkali wajah mentari yang kirmizi menjadi tempat hati memperduakan perasaan. Membahagikan cinta kepada Allah, dan kasih sesama insan. Sebuah silaturrahim kian wujud menuntut sebuah penghormatan dan mesti dijaga dengan sebaik mungkin. Sungguhpun akan berlabuh jua tirau kekacauan dan curiga, ikatlah ia kembali dengan nada-nada kepercayaan. Jangan biarkan jambangan silaturrahim berderai sebelum harumnya menusuk kalbu dan pengalaman.

Kata orang, hidup ini sunyi tanpa bisikan dari insan bergelar teman. Tawa dan riangnya umpama warna yang melenterai segenap ruang kehidupan. Nasihat dan tegurannya umpama peringatan saat pemburu kehancuran menarik busur ingin melepaskan panah kekejaman, menikam, merobek, jiwa dan iman. Matanya yang redup sayu menggambarkan beribu kenangan yang tidak mungkin tersulam pada madah mahupun pujangga. Masih segar dalam ingatan insan ini. Bagaikan baru semalam ingatan itu dilontarkan buat daku yang hampir lemas dalam lautan kekecewaan. Peringatan lembut yang menaut kembali cintaku pada perjuangan.

“Entah dari mana bermulanya cinta yang sebesar ini. Tanpa disedari, daku sudah berada di syurga dunia”. Bait kata madah terindah dari sebuah jiwa lembut, Sang Bidadari Dari Timur. Anggaplah ia suatu gapaian yang mesti dicapai. Dalam persahabatan sememangnya tidak ‘kan mungkin ternilai sejauh mana wujudnya cinta yang bertarikh mahupun masa yang tercatat. Semuanya kabur dalam catatan, namun segar dalam ingatan. Ungkit-mengungkit mampu memadamkan obor kesetiaan dan cintanya kepada dirimu. Janganlah membakar kemarahannya dengan tawa sindirmu, namun sejukkanlah ia dengan zikrullah pengubat jiwa yang utama.

“Mata hatiku, ini sebuah kenangan kita. Jangan biarkan ia berlalu tanpa penghargaan. Jangan biarkan ia pergi tanpa ketenangan”.

Burulah kasihnya dengan sebuah penghargaan. Samada madah berkait seindah lautan bergemerlapan disimbah ketenangan rembulan, mahupun sebuah kenangan daripada barang-barangan. Ucapkanlah, “saya menghargai awak. Terima kasih kerana berlabuh pada jiwa saya, dan terima kasih kerana menjadikan saya watak kecil dalam cerita hidup awak. Terima kasih”. Padanya, dedikasikanlah sebentuk cinta yang terluah pada warkah yang membisu namun bercerita, ataupun pada yang kaku namun menemukan beribu hikayat. Hargailah sahabatmu.

Entah dari mana datangnya buah akal budi ini. Tiba-tiba sebuah cerita sudah hampir ke penghujungnya. Tiba-tiba nada semalam membuatkan hatiku membujuk rindu. Rupanya akal budi ini dari Allah, tetap dariNya, namun melalui sebuah cinta yang terkarya pada sekeping hati yang jauh di mata, membuatkan mataku gembira, jemariku riang menari, melontar sebuah harapan bagi sebuah perhubungan.

“Mata hatiku, tunggulah daku di pelabuhan cintamu. Di sini, daku sedang siagakan diri dan jiwa, demi merangkul iman dan taqwamu, sebagai amanah menuju keredhaan Illahi. Sabarlah mata hatiku. Jarak yang tercipta bukanlah ujian untuk merenggangkan silaturrahim, namun sebagai medan menguji sejauh mana keikhlasanku, sejauh mana kepercayaanmu, pada tasbih cinta yang telah kita untaikan bersama. Marilah mata hatiku, kita rajutkan simpati dan doa kepada Illahi, agar Dia sentiasa meredhai, kerana, hanyasanya Dialah yang tahu, apa yang bermain di akalku, dan berlegar di fikiranmu”.

2 comments:

ieQa sWetLuv said...

indahnya penulisan ni fizu...

NurHafiz said...

tq ikah. penulisan akan jadi indah sekiranya kita memiliki keindahan dunia. namun, yang indah itu bukan selalunya cantik, kerana insan yang bahagia hanyalah yang mengindahkan setiap perkara yang hadir di dalam hidupnya

Blog Stats

SEKAYU

SEKAYU