Tuesday, July 7, 2009

Konsep Kepimpinan

Konsep kepimpinan:

“ kepimpinan merupakan jentera atau daya penggerak daripada sumber dan alat yang terdapat pada sesuatu persatuan atau organisasi
(Saigon)

“ orang yang layak digelar pemimpin adalah orang yang dapat membuat keputusan yang kritis dan dapat bertindak dengan jayanya membawa perubahan yang besar dan tertentu dalam sesebuah organisasi.”
(Philip Selznike)

Berfikiran Kritis: tidak menerima sesuatu perkara dengan bulat-bulat. Menimbang baik dan buruknya terlebih dahulu. Mempunyai sifat mengkritik.

“ bertindak tanpa berfikir itu mengundang malapetaka.”
(Lidah Pendeta)

“ikut hati mati, ikut rasa binasa,ikut nafsu lesu.“

Kepentingan bersifat kritis:

• Mengelakkan perasaan tidak puas hati
• Menimbang sesuatu perkara dengan mendalam
• Mengelakkan daripada timbul perpecahan



Berfikir:

Manusia sering berfikir. Namun 90% daripadanya hanya berfikir terus yakni tidak mendalami sesuatu perkara itu dengan sebenar-benarnya dan kebiasaannya manusia sebegini adalah pengikut. 10% manusia berfikir secara kritis ataupun menggunakan logik akal yakni berfikir dan mendalami sesuatu perkara sehingga mendapat pucuk pangkalnya dan fikirannya tidak hanya bersifat setempat dan sementara. Manusia seperti ini cenderung untuk memikirkan akan masa depan kehidupan sejagat. Manusia sebegini biasanya adalah pemimpin. Mereka menggunakan fikiran dengan sebaik-baiknya tanpa hanya berfikir kepada sesuatu perkara sahaja. Mereka juga tidak pernah meminggirkan segala hal samada kecil mahupun besar. Bagi manusia yang berfikiran kritis, segalanya haruslah didalami dan difahami sepenuhnya ataupun dalam erti kata lain haruslah melalui proses kritikan sebelum dapat diterima pakai. Sesungguhnya merekalah golongan yang menghargai akal dengan sebaik-baiknya.

Hadis Nabi ada menyebut:
Jikalau engkau berakal maka utamalah engkau, jika engkau bersopan maka budimanlah, jika engkau berharta maka ramailah saudara mara, dan jika engkau takwa, maka beragamalah engkau.

Haruslah diingati juga bahawa kemajuan akal dan fikiran tidak sama sekali bergantung pada taraf umur dan fizikal. Ini dapat dilihat dalam banyak ceritera-ceritera sejarah contohnya Hikayat Singapura Dilanggar Todak yang mana telah menonjolkan kebijaksanaan seorang kanak-kanak lelaki yang bernama Hang Nadim yang mana telah dapat mencari akal atau jalan bagi mengatasi idea Sultan yang telah mengorbankan nyawa ramai rakyatnya.

Senu Abdul Rahman dalam penulisannya pernah menyebut:
Sesuatu masyarakat yang tidak menghargai akal akan hancur dan orang yang tidak menggunakan akal tidak akan maju.
(Revoluso Minda m/s 164-165)

Oleh yang demikian setiap inci akal dan fikiran yang telah dianugerahkan Tuhan kepada kita haruslah diguna pakai dengan sebaik-baiknya tanpa hanya bergantung pada nasib sahaja. Ramai manusia hari ini yang mengatakan kebijaksanaan akal fikiran adalah anugerah Ilahi dari turun temurun. Dengan menyatakan hal yang demikian, dengan jelaslah bahawa kejahilan mereka telah terserlah dengan jayanya. Namun tidaklah boleh kita mengejek mereka ini, mungkin tekanan yang dihadapi daripada masyarakat sekeliling, menyebabkan mereka terpaksa mencari alasan untuk menutup kejahilan yang akhirnya menonjol kejahilan mereka sendiri. Dan sesungguhnya pandangan segolongan begini haruslah diubah, golongan sebegini haruslah mempunyai anjakan paradigma agar tidak kekal terkapai-kapai dalam arus dunia yang berlumba-lumba bagi menjadi yang terbaik dalam segala hal. Namun, Allah telah menyebut di dalam al-Quran bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka yang mengubah nasib mereka sendiri. Oleh yang demikian jelaslah bahawa anjakan paradigma yang saya maksudkan sebentar tadi bagi membentuk minda yang kritis haruslah dibentuk oleh individu itu sendiri dengan bantuan daripada alam sekeliling tentunya.


Disediakan oleh: Nurhafizu Adha untuk Pemimpin Muda

No comments:

Blog Stats

SEKAYU

SEKAYU