Sunday, March 21, 2010

PBS; Pengalaman Baru Sekali hik..hik..



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Jadi cikgu bukan senang rupanya. Dulu masa belajar saya sering memperlekehkan cikgu-cikgu. Kata cikgu tak penat. Murid yang penat; kena buat kerja sekolah yang menimbun.

Tapi sekarang saya bakal cikgu. Hari ni hari pertama PBS. Hati berdebar-debar pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah; SK Manek Urai Baru. Sekolah pertama; di sinilah saya menuntut ilmu bermula dari PRA sehinggalah darjah enam. Pengalaman dan ingatan lapan tahun yang lalu berpinar dalam ingatan. Melihat wajah guru lama yang kian pudar, dahulunya anak dara kini anggun bergelar isteri dan ibu. Ada rasa bangga pada wajah mereka, mungkin puas hati kerana anak didik yang nakal ini berjaya juga akhirnya. Alhamdulillah. Kejayaan saya tidak ke mana tanpa jasa cikgu-cikgu yang mendidik saya mengenal ABC, 123, dan warna-warna dunia.

Teringat masa tahun enam. Saat UPSR makin hampir. Air mata Teacher Nurul mengalir laju mengenangkan kami anak-anak kampung yang buntu dalam Bahasa Inggeris. Namun, keputusan UPSR menyapu laju air matanya. Sungguhpun aku hanya mendapat B, aku gembira melihat Teacher Nurul tersenyum.

Cikgu Habshah menggamit kenangan. Saat diri yang bersuara gemersik ketika itu diajarnya untuk bersyair. Sungguhpun payah, saya gagahkan jua demi mewakili sekolah. Alhamdulillah, sungguhpun tidak berjaya mendapat johan, tempat ke tiga pun jadilah. Ha ha.

Ramai lagi cikgu yang tidak mampu saya senaraikan. Ramai juga yang telah berpindah, ada pula yang telah kembali ke rahmatullah. Moga diberkati oleh Allah akan roh mereka yang mulia itu.

Sebuah puisi untuk guru-guru; Cendekiawan Dunia.

Siapa itu guru?
Gajinya tidak besar.
Kata orang kerjanya ringan.
Masuk pagi, petang baliklah.
Gaji guru hanya cukup makan.
Rumah besarpun banyak yang meminjam.
Guru itu tidak ada apa-apa.

Siapa itu guru?
Kerjanya mudah.
Tidak perlu berjemur panas.
Tidak perlu susah-susah.
Cuti banyak sekali.
Duduk rumah goyang kaki.
Guru kerja yang semulajadi.

Itu kata orang biasa

Ini kata orang guru

Gaji kami kecil
Tapi murid kami ramai
Kami punya ilmu
Kami jadikan mereka kaya
Cukuplah kami dengan kebahagiaan mereka.

Rumah kami hasil meminjam
bukan kami hendak banggakan
namun di situ kami garapkan cabaran
kepada murid kami jadikan teladan
nak rumah besar
kena belajar pandai-pandai.

Hari cuti kami cuti
bukan kami goyang kaki
buku menimbun kami tandai
anak-anak ramai lagi
anak murid makin bertambah
buku-buku meningkat tinggi
masa cuti kami jarang yang basi.

Ini kata saya.

Guru itu kerjanya memang senang.
Itu bagi guru yang lenang.

Guru,
Dialah karyawan melahirkan seniman.

Guru,
dialah ilmuan melahirkan cendekiawan.

Guru,
dialah atlet melahirkan olahragawan

Guru,
dialah hartawan melahirkan jutawan

Guru,
dialah jurutera melahirkan seribu bangunan

Guru,
dialah perawat melahirkan ahli perubatan

guru,
biar apapun kerjaya di dunia
dialah akar di sebalik pohon
tidak kelihatan
namun di situ asalnya kekuatan.

kerana dia; guru
Cendekiawan yang mendidikan sejuta insan

Terima Kasih Cikgu. Moga dirahmati oleh Allah subhanahuataala. Insya Allah.


No comments:

Blog Stats

SEKAYU

SEKAYU