Sunday, January 22, 2012

Hakikat Cinta

Hatiku

Dalam keriangan bumi suci

Aku sunyi mengenangmu

Apa khabar dirimu

Dalam hayat Tanah Melayu

Tempat berpencak Hang Tuah

Mempertahan cinta dan rindu

Buat Gusti Puteri yang berdiam diri


Muslimin

Angin Kota Mekah jauh berdesir

Sehingga bertamu sampai kepadaku

Dalam meninjau kermizi senja

Dan merandai pepohon rendang

Cerita ingatan itu menyengka hijabku

Lalu berdendang pada telingaku


Muslimah

Maafkan daku untuk sebuah rindu

Kerana hinggap pada bahu sucimu

Namun

Aku juga insan

Terpikat pada hikayat cinta

Bumi Anbia

Yang indah tanpa dusta

Bahagia dan membahagiakan


Muslimin

Sujudlah pada Tuhan

Sedang dirimu terlalu dekat dengan rumahNya

Jangan sarat dadamu dengan rindu

Kerana rindu itu memakan hati

Sabarlah

Bahawasanya aku juga menyembah

Tuhan yang dikau sembah


Muslimah

Hatimu terlalu mulia

Aku yang berteleku dalam rumah Tuhan terkesima

Betapa kuat angin Tanah Melayu

Merentasi Sahara, dan Laut Merah

Menggoncangkan iman muda

Astgahfirullah hal adzim

Astgahfirullah hal adzim

Astgahfirullah hal adzim


Muslimin

Percayalah pada Allah

cintaNya lebih cinta

jika benar wujud cinta antara insan

maka ketahuilah ia hanyalah titisan cinta Tuhan

dalam lautan RahimNya

La tahzan ya akhi

Innallah ha ma’assoobiriin


Muslimah

Betapa bertuah aku

Menjumpai permata dalam kaca


Muslimin

Ini pesan hatiku pada jiwamu

Pesan untuk kudrat cinta yang menggelupur

Pada hatimu

Ketahuilah cinta itu suci

Cinta bukan untuk dipertontonkan

Namun

Untuk dirasai

Umpama mawar yang terselindung

Sungguhpun kelopaknya tersembunyi

Harumnya tetap mewangikan taman

Janganlah memanjakan cinta

Kerana cinta itu sifatnya perjuangan

Bukan kemenangan


Muslimah

Ini pesan jiwaku

Buat hati, dan keanggunanmu

Jagailah maruahmu sekuatnya

Titiplah iman dalam perbuatanmu

Sesungguhnya

Wanita yang bermartabat tinggi

Martabat itulah yang menghalangnya membuat kerosakan

Baik pada diri mahupun cintanya

Jangan termakan pujuk rayu

Kerana pujukan itu tidak lebih

Melainkan umpama buah kepayang

Dipandang cantik

Ditelan mabuk


Cintaku

Sabarlah menanti

Jangan kerana setitis cinta dusta

Lautan cinta Allah dikau tinggalkan

Beranilah menghadapi dugaan

Ingat

Jangan manjakan cinta

Kerana cinta itu

Perjuangan

Bukan

Kemenangan

Melainkan

Cinta Tuhan

Yang Abadi Berkekalan


Puisi ini telah dideklamasikan sempena Malam Kebudayaan Islam Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail. Puisi ini merupakan puisi yang dibuat khusus untuk dideklamasikan secara duet. Menariknya, turut juga dinukilkan dengan mengikut rentak pemuzik handalan dunia iaitu Yiruma...

Blog Stats

SEKAYU

SEKAYU