
Ma,
tabahnya engkau melalui liku-liku ini,
tabahnya engkau meredahi gelora ini,
tabahnya engkau meredah ranjau duri ini
tabahnya engkau merenangi lautan duka ini,
walau kekadang kau tersadung dalam tangisan.
Ma,
tabahnya bukan seketika,
tabahnya bukan hangat yang sementara,
tabahnya bukan setanding fikiran,
tabahnya bukan sekadar mimpi,
tabahnya kekal dan setia,
walau kekadang digugat rasa
Ma,
tabahnya tidak akan kuyup dalam kebasahan,
tabahnya tidak akan kering dalam ketandusan,
tabahnya tidak akan hanyut dalam arus gelombang
tabahnya tidak akan tumbang dalam ribut dan taufan
kerana,
tabahnya berkudrat iman yang utuh,
tabahnya bertunjang sabar yang benar,
tabahnya berakarkan takwa kepadaNya.
Tuhan,
rahmatilah Ma,
kerana dugaanMu diterimanya redha,
kerana dugaanMu diterimanya dengan pasrah,
kerana dugaanMu diterimanya dengan zuhud,
kerana dugaanMu diterimanya dengan sabar.
Tuhan,
ampuni dosa Ma,
kerana dia amat berjasa kepada kami,
kerana dia amat setia dengan kami,
kerana dia amat memahami kami,
kerana dia amat menyayangi kami,
kerana dia amat menghargai kami,
kerana dia amat menyanjungi diriMU.
Puisi ini didedikasikan untuk Ma yang amat yang amat daku cintai dan kasihi. Pada Allah daku rafakkan rimbunan doa keampunan dan rahmat. Hanya untuk Ma
No comments:
Post a Comment