Tuesday, January 26, 2010

PENERANGAN UNTUK SEMUA



WHO LET THE DOG OUT?!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Semalam isu hangat melanda Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail. Tidak lain tidak bukan, isu “anjing”! Siapa lagi yang memulakannya jikalau tidak diri saya ini. Sungguh mengejutkan apabila mendapat respon yang positif mahupun negatif. Alhamdulillah respon-respon positif lebih banyak saya terima berbanding nada-nada ketidakpuasan hati. Tujuan saya menulis pada ruangan ini mengenai hal yang tersebut juga adalah untuk menerangkan apa yang telah saya perkatakan. Terlebih dahulu saya pohon keampunan pada Allah seandainya kata-kata saya mengguris perasaan, dan kepada teman-teman anggaplah teguran semalam sebagai teguran yang KASAR!

Anjing bukanlah binatang yang hina, cuma diharamkan oleh agama demi menjaga kesucian diri daripada dijangkiti kuman-kuman yang terdapat pada anjing seperti penyakit gila, serta kuku dan mulut. Akan hal Allah mengharamkan haiwan ini daripada dimiliki mahupun dibelai oleh Muslim yang mukmin adalah bersandarkan alasan saintifik di atas. Sungguhpun begitu, masih terdapat khilaf mengenai membelai anjing dalam keadaan tangan yang kering.

Anjing juga dikaitkan dengan sifatnya yang nakal, manja, dan comel sebagai binatang peliharaan. Sifat taat dan patuhnya membuaikan hati manusia yang simpati dan kasih akan alam. Tidak ada suatu haiwan yang lebih taat kepada tuannya melainkan anjing. Tidak seperti kucing, keldai, mahupun tikus mondok. Keldai jika diikat tali sememangnya akan turut patuh, namun, silap talinya terurai, keldai lari meninggalkan tuannya. Tidak seperti anjing. Lehernya tidak berikat, tuannya tidak perlu berkasar, namun anjing memang semulajadinya taat dan patuh tanpa melawan.

Sidang pembaca.

Jangan jumud dalam mentafsir perkataan ANJING. Jangan hanya melihat anjing sebagai binatang yang haram di sisi agama Islam khususnya, namun ambillah juga pengertian akan sifat-sifatnya yang sudah termaktub dalam pengetahuan mengenai kepatuhannya yang tidak berbelah bagi. Anjing tidak pernah berjuang untuk melepaskan diri, anjing hanya tunduk patuh! Jikalau sungguhpun ada perjuangan untuk anjing melepaskan diri, anjing suka mementingkan diri, kesusahan suka ditanggung sendiri, akhirnya anjing terus dicaci, sebagai haiwan yang tidak punya pendirian pekerti.

Apa kaitan antara ANJING; MANUSIA

PERSAMAAN

1. Makhluk ciptaan Allah
2. Punyai nyawa
3. Hak kehidupan
4. Punyai suara (kecuali cacat)
5. Sukakan belaian dan kasih sayang
6. Ingin dijagai dan diperhati
7. Punya nafsu
8. Punyai pemilik; Khaliq dan manusia

PERBEZAAN

1. Anjing tidak punya akal, manusia punya akal
2. Anjing punya suara, manusia punya suara dan HAK BERSUARA
3. Anjing tidak suka meloloskan diri, manusia suka keleluasaan
4. Anjing tidak punya buah fikiran, manusia punya buah fikiran
5. Anjing tidak mampu berbincang akan masalah, manusia mampu menyelesaikan masalah bersama
6. Anjing hanya tunduk patuh tanpa melawan, manusia kritis dalam bertindak
7. Anjing tidak punya anjing sebagai penyokong, hak manusia disokong oleh manusia
8. Jiwa dan jasad anjing adalah tertakluk pada tuannya juga Allah, jasad dan roh manusia hanyasanya milik Allah.

Sidang pembaca yang budiman. Andaikata manusia yang punyai akal namun tidak bersuara, tidak berbincang, tidak cuba membina sokongan, tidak suka akan kebebasan, tidak diterima buah fikirannya, tidak menyelesaikan masalah secara berjemaah, tidak kritis, tidak menyokong hak manusia lain, dan merasakan dirinya tertakluk pada undang-undang dunia, APA BEZA SIFATNYA DENGAN ANJING?! Hanya kerana berkaki dua dan memakai pakaian kemas menandakan sifat kemanusiannya, nyata jelas meleset. Pakaian, tingkah laku, adab tatasusila, bukanlah tanda kemanusiaan manusia.

Saya berkata seperti mana ucapan semalam (semua sedia maklum dan tidak perlu diulang) adalah merupakan kesimpulan umum mengenai ….. yang terdahulu. Tidak saya spesifikasikan yang mana, bila, siapa, dan bagaimana. Saya melontarkan idea secara umum. Jikalau …... tidak terlibat mengapa mahu melatah? Apa rasional mahu melatah? Berani kerana benar, takut kerana salah. Mana mungkin kembang bidangan layar tanpa angin meniup pantai! Jikalau ……. yang terdahulu berasa mereka cukup jauh tersimpang daripada apa yang saya perkatakan, maka anggaplah ia sebagai debu melewati teratai-teratai. Mana mungkin debu menghilangkan indahnya kembangan teratai mewarnai muka tasik yang bergenang? Tidak akan terjejas keindahan bunga. Namun apa yang saya perhatikan, sebilangan …… cukup terasa dengan kata-kata saya yang berapi dan tidak berbasa basi. Tidak saya sangka, saya sangkakan teratai yang berkembang, rupanya hampagas di tasik, menyedut debu menjadi simpanan!

Sidang pembaca.

Bukan niat saya menghina, bukan juga niat untuk menjatuhkan sesiapa. Namun, tulus pada hati kurniaan Allah adalah untuk menyedarkan kita akan kepentingan memilih pemimpin yang benar-benar berwibawa. Jangan jadikan perkataan-perkataan saya sebagai hinaan, namun ambillah ia sebagai pengajaran. Saya mengaku saya bukanlah pemimpin yang terbaik, masih belajar mengenal erti hidup dan kehidupan. Namun, saya insan yang kritis dan tidak menerima sesuatu dengan hanya maksud tersurat, namun akan juga saya dalami erti tersiratnya.

Saya akui juga akan kesilapan saya menilai tahap mentaliti pada pendengar. Pada firasat saya, di hadapan saya semasa ucapan tersebut merupakan insan-insan profesional yang mengerti akan Bahasa Melayu dengan baiknya. Bukan kerana saya pelajar Major BM manakala yang lainnya Pendidikan Islam dan sebagainya yang menyebabkan wacana bahasa terbantut. Soal bahasa adalah tidak wujud kerana kita semua warga Malaysia yang selayaknya menguasai Bahasa Melayu dengan baik dan cemerlang, tambahan pula saya berbicara dengan bakal-bakal cendekiawan, mana mungkin bahasa saya tidak difahami, melainkan hati mereka beku, dan menolak nasihat dan kritikan.

Akhirnya, saya mungkin keterlanjuran dalam berbicara, namun sekurang-kurangnya ada yang tersentak dan mulai bangun dari mimpi. Ada juga yang mulai bingkas daripada zon selesa …… kerana wujudnya insan yang berani mengkritik dan membuka minda pelajar. Sampai bila kita ingin dilayan seperti pelajat-pelajar sekolah menengah? Sampai bila kita mahu diejek oleh mahasiswa-mahasiswa IPT lain dengan mengatakan kita semua manja dan tidak mampu berjuang? Sampai bila kita hendak patuh pada arahan yang tidak rasional dan tidak logik? Sampai bila lidah ini mahu kita bisukan daripada mengatakan yang hak dan juga yang batil? Sampai bila kita hanya menjadi penonton kebangkitan mahasiswa-mahasiswa IPT lain, sedangkan kita dimewahi dengan sekatan konsep ilmu? Sampai bila kita hendak berjuang mengikut kehendak HEP? Sampai bila kita hendak menjaga rahsia kecambukan yang terkena? Sampai bila kita hendak mengelak perbincangan? Sampai bila kita hendak menjadi anjing?!

Aduhai teman dan sahabat

TEPUK DADA TANYALAH IMAN!

Sebuah nada kemaafan daku simpulkan buat hati yang terluka dengan lidah setajam pedang. Kembarungan ampun dalam sendaan persahabatan yang terjalin bersama ukhwah yang terahmati oleh Allah. Sungguh kehinaan diri ini tiadalah setarafnya hati yang meresapi bicara langsung sebuah kata yang lahir dari lubuk minda bukan menurut nafsu buta dan tuli. Moga jalan perjuangan jauh menjadikan luka semalam sebagai ingatan bahawa saff tidak hanya terbina dengan kegembiraan mahupun kesenangan. Kerana kata yang tajam jangan sampai merobek kalbu, sungguh berparut jangan sampai membunuh silaturrahim, jangan sampai memancung kepercayaan, jangankan keindahan persahabatan dipasung jauh. PadaNya Allah rafakkan kita rakaman doa yang menjauhi bilangan kelopak melati mewarnai bumi agar kita semua bersatu dalam perjuangan menegakkan agama Allah di muka bumi yang belum sempurna namun sudah menuju kehancuran. Allah, jagailah iman kami, cambahkan ketakwaan kami. Amin…

No comments:

Blog Stats

SEKAYU

SEKAYU