Sunday, January 31, 2010

Iman


Jalani hidup iman.

Hidup merupakan suatu perjalanan menuju ke suatu destinasi abadi yang kekal dan tidak berpenghujung. Kematian merupakan pengakhiran bagi pengembaraan yang sungguh menakjubkan ini. Setiap insan pasti merasai mati, dan mati merupakan suatu kemestian.

Mencari iman merupakan objektif dalam perjalanan ini. Mengejar suatu pendapatan sebagai asas membeli dunia akhirat yang sudah dipajak Allah untuk kita. Jika pendapatan mencukupi maka syurga itu menjadi milik kita. Tapak sudah tersedia. Hanya kita pemutus akhir samada ingin menerima atau menolaknya.

Namun,

Dalam mentafsir iman janganlah terlalu stereotaip dan sehala. Sungguh tafsiran istilah mahupun bahasa membawa maksud yang sama tanpa membatasi apa-apa makna yang tersirat. Namun kebanyakkan dari kita hari ini hanya mengaitkan iman dengan ibadah khusus dan sunat tanpa mengambil kira akan makna iman sebenar yang merangkumi tingkah laku kita seharian ini.

Iman mengandungi tiga unsur yang menjadikannya lengkap dan sempurna, iaitu:

  1. Pengakuan dengan hati
  2. Pengakuan dengan lidah
  3. Mengamalkan dengan anggota badan

Pengakuan dengan hati merupakan kebolehan rata-rata menusia mengenai kepercayaan kepada Sang Pencipta; Allah subhanahuataala. Ini dikenali sebagai tauhid rububiyyah.

Lidah juga senang berkata-kata. Amat senang untuk menabur janji dan menabur hujah. Mengatakan percaya akan kewujudan Allah yang tidak terlihat oleh mati mahupun tersentuh oleh kulit. Senang sangat mengatakan Allah Maha Melihat dan Dialah pemutus tadbir segala rezeki qada’ dan qadar ke atas setiap hamba dan makhlukNya.

Anggota juga merupakan elemen dalam menjadikan iman lengkap dan mampu digelar sebagai mukmin. Namun, akan hal inilah seringkali kita terjatuh dan gagal dalam melaksanakannya. Lidah dan hati mengakui kewajiban solat, namun anggota gagal melaksanakannya. Hati dan lidah mengakui akan kepentingan menjaga silaturrahim, namun perlakuan jauh tersimpang. Hati dan lidah sering mengatakan kaih sayang, namun tingah laku sering menolak perasaan hati.

Jikalau ada lompang, maka tidaklah iman mahupun muslim itu digelar mukmin mahupun mukminat. Sungguh susah mencari iman, namun perjalan mencarinya harus dimulai dengan langkah pertama. Ramai yang bercerita mengenai hutan yang direntas manusia, namun hanya diri yang menyelami mampu merasai perit terkena duri dan ranting.

Hiduplah dengan iman. Berbuatlah setiap perkara dengan iman. Bukan dengan nafsu mahupun kehendak hati yang melulu. Jagailah tingkah dengan iman. Dengar dan berbicaralah dengan iman. Baca dan berbuallah dengan iman. Jadikan kata-kata semanis iman yang menyelubungi jiwa yang indah.

Sahabatku.

Milikilah iman, sebuah pesan untuk diriku yang hina jua. Jadikanlah iman dan Islam sebagai cara hidup. Baca, bicara, pandang, dan dengarlah dengan iman. Janganlah selalu menyakiti hati sesama kita. Jika ada sahabat yang mengatakan tentang jiwanya yang terguris, maka terimalah kerana sesungguhnya terluka dan sedih merupakan fitrah yang dikurniakan Allah. Mengapa tabi’ie ini ditidakkan. Mengapa tangisan dikatakan kelemahan, mengapa jiwa yang terluka dikatakan kekurangan. Jika sesungguhnya perkara tersebut merupakan kelemahan dan keburukan, nescaya tidaklah Allah jadikan ia sebagai suatu ketetapan hati. Allah, ampunkan hamba Mu yang ini.

Hiduplah dengan iman. Hiduplah dengan iman. Hiduplah dengan iman.

Bicaralah dengan iman. Pandanglah dengan iman. Bacalah dengan iman. Berlakulah dengan iman. DENGARLAH DENGAN IMAN!

Sekian. Wassalam.

No comments:

Blog Stats

SEKAYU

SEKAYU