Sunday, January 17, 2010

Percayalah

Kepercayaan merupakan tonggak bagi setiap perhubungan. Samada persahabatan mahupun perkahwinan. Kepercayaan merupakan medium pengikat yang melebihi fungsi cinta. Kepercayaan menimbulkan segala perasaan yang menjalinkan ruang hati dengan kasih dan belas. Rindu samada cinta timbul perlahan-perlahan kerana rasa kepercayaan semakin meningkat. Sebuah hubungan tidak akan kekal mahupun akan terbina tanpa medium yang dinamai kepercayaan. Saling percaya dan mempercayai.

Hubungan dengan Allah tidak akan menjadi tanpa kepercayaan dan kebergantungan yang sepenuhnya kepada Allah. Kata orang tidak kenal maka tidak cinta. Namun, dalam konteks hubungan dengan Khaliq, untuk mengenaliNya maka percayaila Dia. Kepercayaan yang dibina akan merangkum perasaan hormat padaNya dan mematuhi suruhanNya kerana kepercayaan yang ditaruh. Namun, kepercayaan yang langsung tidak wujud mahupun hanya menarikan perkataan ‘percaya’ pada bibir merupakan suatu perkara yang amat sia-sia. Percayalah, hanya kepercayaan yang menyebabkan kita menjadi hamba yang taat, kasih, patuh, cinta, dan rindu akan Tuannya. Percayalah kepada Allah kerana tidak akan sekali-kali Dia mengkhianati kepercayaan mahupun janji-janjiNya kepada kita. Dialah yang Maha Benar, dan tiadalah kebenaran itu datang melainkan daripadaNya.

Kepercayaan merupakan tiang utama perhubungan. Kepercayaan menimbulkan keeratan dan persahabatan. Ukhwah yang indah apakah mungkin dapat disulam tanpa kepercayaan sebagai pengikatnya. Mampukah berlayar bahtera persahabatan tanpa kepercayaan sebagai layarnya. Mampukah sampai bahtera ke tepian tanpa iman sebagai juragannya. Perhubungan diuji demi melihat sejauh mana keikhlasan mewarnai ikatan. Perhubungan diuji demi melihat sejauh mana kita saling mempercayai dan bergantung. Bukanlah adanya ujian kerana hubungan itu masih di awal jalan melainkan kerana Dia tahu apa yang tidak hamba-hambaNya ketahui. Dia menguji kasih yang ditutur mulut, Dia menguji sayang yang dimain bibir, Dia menguji percaya yang diukir lidah, Dia menguji iman yang indah dibicara. Dia menguji bukan kerana sia-sia melainkan mencungkil alpa yang makin terbenam pada hati kita; hamba-hambaNya. Insan, belajarlah untuk mempercayai teman-temanmu. Mungkin ada kata terlepas bicara, namun percayalah ianya bukan sengaja. Sepertinya yang meluah kata mengguris jiwaku tatkala hatimu dijerut marah dan api baran panas lagi membara. Apa pernah lagi selepasnya aku menolak percaya padamu? Tidak berubah kurang melainkan bertambah percayaku padamu kerana sedarlah daku, dikau menegurku tatkala aku kesilapan. Memang hatiku terluka, namun mengingati dirimu sudah cukup menjadi penawar bagi luka yang tidak pernah berbekas lagi. Sungguh kepercayaan tidak pernah berkurang sebanyak aku percaya kita akan sebahagia dulu biarpun seringkali dilanda kabus yang mengkaburkan masa depan. Aku masih percaya, percayalah.

Kepercayaan bukanlah mudah untuk dipupuk. Bukan sehari dua memerhati dan kepercayaan mulai berkembang. Putiknya biarlah lama agar ranumnya dapat memikat manis dan lemak. Jangan diperam percaya dengan takut, bimbang tidak mampu bertahan lama. Laluilah hidup dengan membina kepercayaan. Dan, demi sesungguhnya tanamkanlah kepercayaan yang agung kepada Allah subhanahuataala.

Insan. Terkadang kepercayaan yang disemai tidak juga tumbuh. Mungkin kerana tanah yang tidak subur, ataupun mungkin juga kita lupa membaja benih. Ada juga benih yang disemai kian subur, namun diragut saat belum berkembang. Itulah saat yang amat mendukacitakan. Saat pilu itu laluilah dengan tenang. Zikir dan doa pengubat jiwa. Akan hilang duka dibalut redha. Percayalah akan janji Allah kerana kepercayaan agung itu tidak akan pernah terkhianati. Dialah pemegang janji yang sebenar-benar.

1 comment:

Unknown said...

xpe piju~~
aku caye ke mu deh...

Blog Stats

SEKAYU

SEKAYU